Wednesday, December 8, 2010

Ya Jameel penuhi cita rasa fesyen


Aksesori dengan pelbagai motif.


SEJAK kebelakangan ini para peminat fesyen terutamanya di Kuala Lumpur mempunyai banyak sebab untuk berasa teruja.

Banyak label dan butik tersohor daripada peringkat atasan hingga kepada fesyen khalayak ramai dari seluruh dunia berusaha membuka cawangannya Mereka menyedari potensi serta status bandar raya ini sebagai salah satu destinasi beli-belah paling berkembang di Asia Tenggara.

Ikut membangkitkan rasa teruja ini adalah Ya Jameel Gallery, butik pakaian berinspirasikan fesyen Islam berbilang label yang pertama berlokasi di Aras 6, Pavilion Kuala Lumpur.

Memulakan operasinya pada awal November lalu ia menampilkan hasil rekaan para pereka tempatan dan antarabangsa yang dipilih kerana keunggulan mereka dalam mencipta busana berunsurkan Islam dengan kualiti dan prestij tersendiri.

Gagasan di sebalik Ya Jameel Gallery tercetus ekoran Festival Fesyen Islam (IFF) hasil buah fikiran Datuk Raja Rezza Shah, yang juga penasihat butik.

Pakaian-pakaian yang dipilih untuk butik tersebut terdiri daripada rekaan eksklusif para pereka ternama yang pernah memeriahkan IFF.

Menurut Raja Rezza, pakaian yang ada di Ya Jameel Gallery cukup istimewa kerana sungguhpun berunsur Islam, ia juga direka agar tampak menarik kepada golongan bukan Islam kerana ciri-cirinya yang serba guna, anggun dan berkualiti tinggi.

"Busana muslim menempuh perubahan mengikut peredaran zaman dan dalam masyarakat masa kini yang mementingkan ikon, fesyen Islam yang kaya dengan unsur-unsur kelincahan, kesantunan dan tradisi telah melepasi garisan sempadan dan lokasi geografi.

"Bergaya terkini dan segar, busana muslim seharusnya dinikmati dan dialami oleh semua tanpa mengira bangsa, budaya dan agama," ujarnya.

Seperti IFF katanya, Ya Jameel Gallery disasarkan dengan cara yang akan menarik dan menakluki hati supaya khalayak dan sasarannya tertarik untuk membuat tafsiran sendiri tentang busana tersebut.

"Pereka-pereka yang kami tampilkan terdiri daripada pereka Islam dan bukan Islam yang mempunyai daya tarikan global," katanya.

Antaranya, Tom Abang Saufi, Jovian Mandagie, Khoon Hooi, Melinda Looi, Khadani, Pink Jambu, Amir Luqman, Jarumas serta Aktif Bestari.

Manakala dari Indonesia pula Itang Yunasz dan Jeny Tjahyawati dan Mantra, label dari Singapura.

"Kami juga komited dalam usaha mencari bakat dan jenama baru demi memastikan senarai busana sentiasa dikemaskinikan, dan pelanggan terus teruja," katanya.

Menurut Raja Rezza, sebagai butik busana fesyen berbilang label berunsur Islam yang pertama di Kuala Lumpur, ia diharap dapat membawa perubahan kepada persada fesyen tanah air.

"Wanita yang mahu kelihatan santun dan penuh gaya, kini tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan gubahan yang cantik, berhias indah serta halus buat koleksi mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: