![]() |
| Yahya Mohd. Yusuf memberikan motivasi kepada para penghuni Kewaja. |
1.
TERPEDAYA dengan janji manis teman lelaki dan ghairah dengan nikmat kehidupan turut memesongkan kehidupan Zamirah daripada landasan agama.
Melihatkan beliau, berkulit hitam manis tetapi sangat terserlah wajah kesucian seorang remaja yang seharus-harusnya sedang bertungkus lumus mengejar cita-cita untuk terlibat dalam industri pelancongan.
“Saya berjaya memasuki sebuah kolej yayasan yang terkenal di Negeri M dan mengambil jurusan perlancongan,’ katanya.
Namun perkenalan dengan Rais Manaf (bukan nama sebenar) ketika menjadi seorang kerani sementara di sebuah syarikat pembinaan di Bandar U, Selangor mengubah segalanya.
Setiap kali pulang dari kolej, pasti Rais menunggu dan sehinggalah pada suatu hari Rais mengajak Zamirah berjalan-jalan.
“Puas kami berjalan-jalan sekeliling Bandar U, Rais mengajak saya pulang ke rumahnya tanpa saya menyedari sebarang niat buruknya,” katanya.
Ini kerana selama perkenalan mereka, Zamirah menyenangi sikap Rais yang sentiasa mengambil berat dan jujur dalam perhubungan.
“Namun semua itu rupa-rupanya palsu belaka. Malah tidak ubahnya seperti syaitan bertopengkan manusia, baik di dalam busuk di luar apabila beliau sanggup mencemarkan maruah saya.
“Saya sendiri ketika itu seperti di bawah pengaruh dan khayalan dengan kata-kata manisnya untuk bertanggungjawab jika berlaku sebarang yang tidak diingini terhadap saya,” katanya.
Zamirah termakan pujuk rayu Rais dan menyerahkan mahkota kegadisannya kerana yakin Rais akan menjadikannya suri dalam hidupnya.
“Tetapi apabila saya didapati hamil, semua itu tidak ada lagi, sama ada Rais mahu bertanggungjawab mahupun tidak selepas ini, yang saya tahu saya tidak mahu lagi mempercayai kata-kata lelaki.
“Saya serik,” kata Zamirah.
Beliau yang kini hamil lima bulan hasil hubungan terlarang dengan Rais, lebih bersedia untuk memperbaiki diri dengan menanamkan semula cita-cita untuk terus sambung belajar selepas ini.
“Saya belum bersedia untuk berkahwin kerana tanggungjawab pasti berat untuk ditanggung sementelah saya masih muda. Saya rasa saya masih belum terlambat untuk bergelar siswazah yang berjaya, selagi dunia belum kiamat,” katanya.
2.
KINI sedang hamil enam bulan hasil hubungan sulit dengan Zakir Hassan (bukan nama sebenar) yang dikenali sejak dari bangku sekolah menengah lagi, Lilis (bukan nama sebenar) kini bertekad untuk berubah.
Semuanya bermula gara-gara pergaulan bebas tanpa had dan batas. Lilis dan Zakir akhirnya melakukan persetubuhan haram yang menyebabkan Lilis mengandung.
Kali pertama kandungan itu digugurkan. Namun mereka tidak pernah serik. Kelakuan sumbang tetap berterusan dan menyebabkan Lilis mengandung lagi.
“Akibat perlakuan buruk, saya pernah digantung sekolah di bandar K, Selangor yang menyebabkan orang tua menyerahkan saya kepada seorang ibu saudara untuk menjaga saya dan berpindah sekolah di daerah lain di utara Selangor.
“Tetapi saya lebih banyak menghabiskan masa dengan seorang ayah angkat yang mempunyai lima orang anak angkat remaja yang hampir sebaya semuanya termasuk saya yang satu-satunya perempuan,” kata Lilis.
Kesilapan paling besar apabila si ayah angkat membiarkan mereka tidur bersama-sama di ruang tamu.
Bertambah teruk lagi apabila Zakir dan yang lain-lainnya sering menonton video lucah.
Lalu Lilis dijadikan bahan uji kaji, rangsangan selepas menonton video itu.
Namun bagi Lilis sendiri hubungan haram yang berlaku itu adalah atas kerelaannya sendiri.
Jika hamil pertama tidak sampai ke pengetahuan ibunya sendiri, hamil yang kedua ini tidak sahaja diketahui oleh si ibu malah seluruh keluarga yahg kemudian setuju untuk menghantarnya ke Kewaja ini.
“Sekarang Zakir sedang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di bandar S. Kami hanya menanti dia tamat pengajian dan saya sendiri selamat bersalin untuk kami bernikah dan mulakan kehidupan baru.
“Itulah hijrah yang bakal kami lakukan. Sesungguhnya kami sangat kesal dan kini bertaubat. Sambutan Maal Hijrah kali ini benar-benar memberikan makna yang cukup besar kepada saya,” kata Lilis.
3.
SAMBIL duduk tersandar kerana kepayahan membawa kandungan yang telah berusia lapan bulan, Kartini Kamaruzzaman (bukan nama sebenar) yang berwajah mulus putih bersih tidak menyangka bahawa hubungan cintanya dengan Khairul Azhar Ghazali (bukan nama sebenar) telah menyebabkan mereka terlanjur sejauh itu.
Semuanya gara-gara beliau terpaksa tinggal sendiri bersama adiknya, Kamal Zuhdi (bukan nama sebenar) menyebabkan hubungan cinta bersama Khairul telah melewati batasan budaya dan agama.
“Bapa seorang ahli perniagaan yang berjaya tetapi kejayaannya itu telah menyebabkan ramai yang menaruh dengki dan khianat terhadap kami sekeluarga.
“Akhirnya pada suatu hari, kami menjadi mangsa ilmu hitam tetapi ilmu yang ditujukan kepada bapa saya itu telah terkena kepada Kamal Zuhdi.
“Secara tiba-tiba perlakuan Kamal dari seorang yang tidak pernah menimbulkan masalah bertukar menjadi seorang agak ganas dan tidak dapat dikawal.
“Akibat terkena ilmu hitam itu Kamal secara tiba-tiba membenci kedua-dua orang tua kami terutama bapa. Dia tidak boleh bersemuka dengan ayah, dia akan terus mengamuk dan tenaganya bertukar menjadi sangat kuat dan seperti hendak mencederakan ayah,” kata Kartini.
Lantaran itu menyebabkan dia terpaksa duduk berasingan daripada ibu bapa demi menjaga keselamatan mereka sekeluarga.
“Kami berubat secara tradisional namun dalam tempoh itu, saya dan Kamal tinggal menyewa di rumah lain tetapi dikira masih berdekatan dengan rumah orang tua kami di Bandar I, Perak.
“Kamal tidak menimbulkan masalah ketika tinggal bersama dengan saya. Tetapi apabila pulang semula ke rumah, dia seolah-olah hendak menerkam orang tua kami,” katanya.
Keadaan itu memberi kesempatan kepada Khairul Azhar lebih kerap menemui Kartini tanpa kawalan dan pengetahuan keluarga.
Walaupun Khairul lebih bertujuan membantu Kartini dengan menyediakan pelbagai keperluan dan tidak ubahnya seperti ketua keluarga apabila kekasihnya kini tinggal bersendirian dengan adiknya namun hubungan mereka yang menjadi terlalu rapat telah menyebabkan mereka akhirnya terlanjur.
Apabila didapati dirinya mengandung Kartini memberitahu pihak keluarga apabila kandungannya sudah jelas kelihatan. Pihak keluarganya sangat terkejut dan sudah terlambat untuk menyesal kerana membenarkan anak mereka tinggal bersendirian.
Kartini mahu mereka dikahwinkan tetapi pihak keluarga tidak mahu dalam trempoh masih berbulan madu kelak, tiba-tiba mereka telah mendapat cucu 'segera'.
Lalu sebagai jalannya, Kartini dihantar terlebih dahulu ke Kewaja. Setelah Kartini bersalin dan kembali seolah-olah seperti tidak ada apa-apa yang berlaku maka akan nampak ‘cantik’lah jika anak mereka dapat disatukan dengan Khairul.
Begitupun kata Kartini, dia menginsafi sepenuhnya kesilapan besar yang telah dilakukan. Lebih-lebih lagi terpaksa melahirkan seorang bayi yang tidak sah taraf hasil hubungan dengan seorang yang dia cintai.
“Saya tetap akan memelihara bayi ini. Ini anak kandung kami, saya dan Khairul. Tetapi malangnya nasibnya kerana tarafnya tidak sama seperti adik-adiknya yang bakal lahir apabila saya dan Khairul mendirikan rumahtangga secara sah,” katanya.
4.
BELIAU merupakan salah seorang pelajar sebuah kolej terkemuka di negeri M. Mengambil jurusan dalam bidang pelancongan, namun kini segala-galanya bagai tiada makna bagi Nadia akibat hubungan terlarang. Dia sudah empat bulan hamil.
Akibat bertubuh kecil, tidak ada siapa yang menyangka Nadia kini sedang sarat hamil. Lebih dari itu tidak ada siapa yang menyangka seorang remaja yang sentiasa terpelihara perlakuannya sebelum ini terjurumus dengan hubungan yang terlarang lagi menjijikkan.
Segala-galanya gara-gara termakan pujuk rayu Hafizi Shamsuddin (bukan nama sebenar) yang merupakan rakan sebaya ketika sama-sama belajar di sebuah sekolah menengah di negeri S.
“Kami tidak bercinta seperti pasangan kekasih yang lain. Tetapi pertemuan semula selepas tamat persekolahan dan saya pulang ke kampung dari kolej maka terjalin semula hubungan sebagai kawan.
“Tetapi lama kelamaan Hafizi yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu pandai melayan saya dan kami kerap bertemu apabila ada kesempatan.
“Sehinggalah pada suatu hari saya didapati mengandung, barulah saya sedar betapa saya telah jauh terlanjur.
“Ketika itu, saya benar-benar panik lebih-lebih lagi apabila Hafizi mencadangkan agar saya segera menggugurkan janin dalam kandungan ini.
“Tetapi mujur dengan nasihat kawan-kawan kolej saya tidak sampai tahap membunuh tetapi bagaimana saya hendak sorokkan muka,” katanya.
Akhirnya kes Nadia telah sampai ke pengetahuan pihak kolej. Dia dinasihatkan supaya menangguhkan pengajian sehingga selamat melahirkan anak.
“Akhirnya saya berhijrah ke sini dan terpaksa melupakan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi gara-gara hubungan terlarang ini,” katanya.
Tanpa banyak pilihan Nadia kini hanya menjaga kandungannya dengan baik dan hanya menunggu saat untuk melahirkan sambil mengambil pengajaran dengan rakan-rakan senasib di Kewaja.
“Tidak mungkin saya akan kembali kepada Hafizi. Sekali saya tertipu dan termakan dengan pujuk rayunya sehingga menyebabkan kami terlanjur, selama-lamanya saya tidak akan mempercayainya lagi.
“Cukuplah dan saya tidak mahu mengambil tahu mengenainya lagi. Cuma yang saya tahu, sehingga kini Hafizi tidak berkerja dan seperti tidak ada matlamat hidup.
“Tidak mungkin saya akan hidup dengan orang yang seperti itu,” ujar Nadia.
Mengenai anak yang dikandungnya itu, Nadia hanya menantikan takdir untuk menentukan segala-galanya.
“Namun sebagaimana yang selalu dinasihatkan, umur saya masih muda, perjalanan hidup saya masih jauh lagi, yang pasti saya ingin melakukan yang terbaik untuk diri saya, harap saya dapat diterima belajar kembali.
“Itu janji saya, pasti,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: