![]() |
| Mengangkat motif bunga senduduk membolehkan rekaan batik kumpulan Avant meraih tempat kedua. |
BATIK hanya sekadar untuk kebaya atau kurung sudah tidak relevan jika mahu fabrik warisan itu melakar nama di peringkat dunia.
Tidak dinafikan memang sudah ada gerakan membawa batik melangkaui benua sama ada melalui kolaborasi antara pereka batik dengan pereka fesyen antarabangsa mahupun penyertaan dalam peragaan di kota-kota fesyen dunia.
Namun tidak keterlaluan jika dikatakan sehingga saat ini belum nampak perubahan yang signifikan apabila batik Malaysia masih di takuk lama.
Angin perubahan mungkin boleh diharapkan melihat kepada hasil rekaan 12 peserta yang dipertontonkan dalam pertandingan akhir reka cipta batik Piala Seri Endon (PSE) 2010 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Garapan idea dan kreativiti anak-anak muda nyata memberi nafas segar kepada batik dengan kepelbagaian rekaan, motif, teknik baru, serta kesesuaian fesyen.
Membuktikan kebenaran kata-kata itu, gaun malam bermotif batik nyata tampil elegan dan indah cukup untuk memukau penonton.
Kekuatan tema Ritma Jiwa (Soul of Rhytm) yang digarap secara abstrak melalui teknik canting memberi kelebihan kepada kumpulan Jun Design untuk dinobatkan sebagai juara.
Kumpulan yang dianggotai empat pereka muda, Rahman Rosman, Junaidi Awang, Syahmiza Razli dan Siti Farah Ani Yusof ini memperlihatkan lapisan garisan yang mewakili ekspresi ritma atau rentak emosi.
Menurut Junaidi, kumpulannya mengambil masa hampir dua bulan untuk membuat kajian dan penelitian bagi mendapatkan rekaan yang menepati tema.
"Yang penting kami suntik rekaan dengan elemen-elemen segar dan versatil," katanya yang merupakan pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dengan kemenangan tersebut kumpulan itu berkongsi hadiah kemenangan berupa wang tunai RM30,000 dan piala.
Tempat kedua yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 pula diraih oleh kumpulan Avant dengan tema Melastoma Senduduk.
Keberanian mengangkat bunga senduduk yang hidup meliar untuk dijadikan motif utama dalam rekaan batik telah membawa tuah kepada empat rakan baik ini, Anuar Ridzuan Arshad, Hazlly Noor Shaera Wook, Nadhia Zin Azni dan Wan Nur Jamilah Wan Nasaruddin.
Lebih istimewa kumpulan penuntut dan graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM ini menggunakan teknik renjis, iaitu teknik yang jarang digunakan oleh pereka-pereka batik sebelum ini.
Menurut Anuar, teknik tersebut agak rumit dan mengambil masa yang lama namun ia memberi hasil yang lebih terperinci dan halus.
Bersama pasukannya, mereka mengambil masa kita-kira tiga minggu untuk disiapkan memandangkan perlu membahagi masa dengan peperiksaan akhir yang sedang dijalani.
"Memang tak sangka terpilih sebagai pemenang kedua memandangkan ini merupakan percubaan pertama kali. Kemenangan ini bakal menjadi dorongan kepada kami untuk lebih serius dalam bidang rekaan batik selepas ini," kata.
Biarpun hanya mampu menduduki tempat ketiga, kumpulan Altesbson yang dianggotai tiga anak muda, Tan Kim Siong, Haw Han Siang dan Alan Kam Wai Loon antara yang mendapat tepukan gemuruh penonton.
Membawa tema Fury Of Peseidon, keseluruhan motif batik dan rekaan fesyennya cukup ranggi dengan konsep abstrak yang nyata lain daripada lain.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: