Monday, December 6, 2010

Terima kasih, Yuna




“BAYANGKAN, tamat saja rancangan Shout! Awards, dalam tempoh tidak sampai sejam, saya menerima puluhan pengikut di Twitter dan kenalan baru di Facebook. Ini semua gara-gara Yuna,” tutur pereka fesyen Syomir Izwa, 33, yang terkejut dengan situasi yang melandanya usai pertandingan Shout! Awards 2010 yang disiarkan menerusi 8TV melabuhkan tirai.

Malah, sehingga ke hari ini, momen itu masih segar dalam memori Syomir Izwa atau nama penuhnya Syomir Izwa Sen Gupta Pawiz Khairi. Meskipun sudah lapan tahun bergiat aktif dalam industri fesyen tempatan, insiden malam tersebut bagaikan hari kemenangannya sebagai pereka fesyen.

Mana tidaknya, bukan laman sosialnya saja menjadi tumpuan, malah telefon bimbitnya bertalu-talu menerima layangan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada teman-teman dan pelanggan setia yang mengucapkan tahniah kepadanya. Mereka tidak henti-henti memuji sut putih yang memiliki hud dan sepatu biru firus rekaannya tampak anggun sekali gus menyerlahkan keanggunan penampilan penyanyi Yuna di atas pentas.

Lebih membanggakan nama Syomir Izwa atau mesra disapa Syomir semakin menjadi perhatian, gara-gara kemenangan besar Yuna yang dinobatkan menerusi anugerah tiga kemenangan Ultimate Shout!, Pop Star dan Break Out.

“Memang saya akui kemenangan Yuna dalam tiga kategori, secara tidak langsung memperkenalkan nama Syomir Izwa kepada khalayak. Inilah yang dinamakan rezeki datang bergolek daripada Tuhan.


INILAH sut rekaan Syomir yang digayakan Yuna pada malam Shout! Awards 2010, baru-baru ini.


“Saya juga ingin berterima kasih kepada Yuna kerana berjaya membawa sut itu dengan baik. Konsep sut berkenaan cukup ideal membaluti Yuna yang berimej kerudung, funky dan ranggi. Apatah lagi, Yuna mengenakan selendang rona merah terang yang menyuntik kombinasi warna menarik,” terang Syomir ketika ditemui Stailo di butiknya di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Minimalis tetap anggun

Bicara lanjut, Syomir yang pernah bekerjasama dengan selebriti tanah air seperti Juliana Ibrahim, Aishah Sinclair, Salamiah Hassan dan Atilia, menyatakan signatur konsep rekaan fesyennya mudah dikenalpasti. Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu lebih selesa bermain dengan fabrik jenis sutera dan rekaan polos.

Bukan tidak meminati hiasan labuci atau taburan manik, tetapi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur itu ingin mendidik pelanggan Melayu bahawa tanpa perincian yang sarat, mereka masih mampu tampil bergaya dan menawan.

Ketengahkan teknik lipatan

“Sesetengah pelanggan obses untuk menghiasi pakaian mereka dengan labuci atau manik. Sedangkan, baju tempahan itu sudah kelihatan manis dengan rekaan dan teknik perincian jahitan yang minimum.

“Bagi saya keanggunan sehelai pakaian itu terserlah sekiranya potongan dan rekaannya mengikut saiz serta personaliti si pemakai. Sekiranya, memilih busana polos maka serikan penampilan dengan kombinasi aksesori yang sesuai. Mudah saja,” ujar Syomir yang juga gemar mempraktikkan teknik lipatan pada gaun koktel, gaun meleret ataupun seluar rekaannya.

Tambah Syomir yang pernah menuntut di Kolej Raffles Kuala Lumpur dalam bidang rekaan fesyen, koleksi pakaiannya sesuai menjadi pilihan golongan wanita urban, sofistikated dan berani. Namun, turut dinyatakan sebahagian pakaiannya sengaja direka buat golongan bertudung yang gemarkan kelainan dan bercirikan funky.


SYOMIR IZWA gemar bermain dengan teknik lipatan dan fabrik sutera.


Menyingkap rahsia minatnya dalam bidang fesyen, Syomir yang berdarah Melayu-Indonesia (sebelah ibu) dan India (sebelah bapa) memberitahu kecenderungan itu timbul sejak usianya menginjak empat tahun. Pada usia berkenaan, kehidupan hariannya asyik berkepit dengan pensil dan kertas.

Conteng dinding rumah

Jika disogok dengan gula-gula atau mainan, dia langsung tidak mengendahkannya. Tutur pemuda yang gemar ketawa itu: “Dulu kecil-kecil saya suka membaca buku bahasa Inggeris dan melukis saja. Tak cukup di atas kertas, saya dan adik bongsu akan melukis di dinding-dinding rumah.

“Selalu kena marah dengan ibu tetapi kami tetap degil. Sudah beberapa kali dinding rumah dicat baru, kami masih tak serik. Tapi, kata ibu kalau nak saya duduk diam, cuma berikan saya kertas dan pensil saja.”

Mengulas lanjut mengenai minatnya, Syomir memberitahu dia sentiasa teruja melukis masa dan wanita cantik. Selain itu, dia juga memiliki bakat memadankan warna baju sehinggakan setiap hari ibunya meminta Syomir menyarankan busana yang ideal untuk digayakan ke tempat kerja.

Bukan itu sahaja, dia juga tanpa segan silu mengaku mahu menjadi pereka fesyen di depan guru dan rakan-rakan di sekolah.

“Saya ingat lagi, dek kerap memberitahu nak jadi pereka fesyen, kawan-kawan memanggil saya Sam iaitu nama watak dalam sitkom 2+1 yang dilakonkan oleh Imuda. Dalam sitkom tu, Sam seorang pereka fesyen.


AKSI Syomir (tengah) pada pertunjukan Minggu Fesyen Malaysia Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pavilion KL.


“Walaupun diperli sedemikian, saya tak malu kerana saya tahu pereka fesyen merupakan kerjaya yang bagus. Sebab itu, ketika menuntut dalam tingkatan empat dan lima saya memasuki Sekolah Sains Rumah Tangga Vokasional Setapak, Kuala Lumpur dalam bahagian jahitan,” ujar Syomir yang memberitahu dia seorang saja pelajar lelaki dalam kelas jahitan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: