
PADA hari-hari biasa, suasana rumah milik Alejandro Langer kelihatan normal dan sama seperti rumah-rumah orang lain. Susunan potret keluarga yang tergantung rapi di dinding dan barang permainan anak perempuannya kelihatan berserak di atas lantai.
Namun setiap kali menjelang hujung minggu, ruang tamu kediamannya bakal bertukar wajah lalu menjadi tumpuan orang ramai. Apakah yang dicari oleh mereka di teratak Langer itu?
Restoran dalam rumah mungkin kedengaran luar biasa kerana bagi sesetengah orang, rumah merupakan sebuah tempat privasi bagi sesebuah keluarga.
Kalau pun ada yang datang melawat, ia hanya terdiri daripada saudara-mara atau rakan taulan dan bukannya terbuka kepada pengunjung asing yang tidak diketahui latar belakangnya.
Namun bagi Langer, dia selesa mempertontonkan kediamannya kepada orang luar pada setiap hujung minggu. Bukan itu sahaja, mereka juga bebas untuk berehat dalam kediamannya dan turut diberi keizinan mutlak untuk menggunakan tandas selain melepak selama yang mereka mahu.
Langer sebenarnya mengusahakan sebuah restoran yang diberi nama La Cocina Discreta. Dia sendiri memegang peranan sebagai seorang tukang masak di ruang tamu rumahnya yang ditransformasi menjadi sebuah restoran unik setiap hujung minggu.
Pernah bertugas sebagai seorang jurugambar, Langer bagaimanapun memilih untuk tidak lagi meneruskan karier itu sejak tiga tahun lalu dan dia tampil dengan idea untuk mengusahakan sebuah restoran di kediamannya yang terletak di kejiranan Villa Crespo, Argentina.
Sebelum memutuskan untuk berbuat demikian, Langer terlebih dahulu mengkaji selera dan cita rasa makanan yang digemari oleh penduduk setempat.
"Restoran yang terletak di dalam rumah semakin digemari di Buenos Aires," kata tukang masak berusia 34 tahun itu.
"Pelancong datang dan menikmati makanan di tempat-tempat sedemikian kerana mereka ingin lari daripada kebiasaan.
"Argentina tampil mengikut jejak langkah yang sama (menyediakan restoran di dalam rumah) kerana mereka bosan dengan ciri tradisional yang sering diamalkan. Selain itu, mereka berbuat demikian kerana mahu menikmati makan malam dalam suasana yang lebih tertutup dan selesa.
Setakat ini, terdapat lebih kurang 40 perniagaan makan yang bercirikan restoran dalam rumah di sekitar Argentina dan angkanya semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Menarik minat
Ia bukan hanya menarik minat penduduk setempat, malah turut menawan hati warga Amerika Syarikat, Kanada dan Australia yang bercuti di Argentina.
Mereka bukan sahaja berpeluang merasai pengalaman tersebut, bahkan berjaya menjimatkan duit poket daripada dibazirkan ke restoran-restoran mahal yang lazimnya menjadi tumpuan pelancong.
Sebagai bonus, pengunjung turut diberi peluang untuk menyelami kehidupan harian yang diamalkan oleh penduduk Argentina.
"Di restoran ini, mereka bebas memilik untuk duduk di mana sahaja dan lebih menarik, mereka boleh menjengah ke dapur untuk melihat cara penyediaan makanan yang dipesan.
"Sudah tentu mereka juga diberi kebebasan untuk menggunakan tandas.
"Lebih menarik, saya membenarkan mereka untuk melepak selama mana yang mereka mahu. Perkara itu tidak akan diperolehi di mana-mana restoran lain kerana mereka lazimnya perlu cepat beredar selepas menghabiskan makanan bagi memberi peluang kepada pelanggan lain," kata Langer.
Meskipun hanya menggunakan kerusi dan meja yang sedia ada, Langer berpendapat suasana itu mampu menghasilkan suasana yang lebih mesra.
![]() |
| LANGER gembira apabila para pelanggan melihat sendiri cara penyediaan hidangan di dapurnya. |
Pada masa yang sama, dia juga tidak bercadang untuk meluas atau menambah ruang atau tempat duduk di restorannya itu.
"Saya tidak mahu kerusi dan meja yang lebih daripada yang telah ada kerana ia akan menyukarkan saya untuk bersembang dengan pelanggan saya," ujarnya.
Tampung kehidupan
Sebagai rekod, Argentina merupakan sebuah negara yang menyaksikan majoriti penduduknya mengambil langkah menjadikan rumah mereka sebagai restoran untuk menampung kehidupan seharian atau meningkatkan bakat masakan mereka.
Antara negara yang berjaya dalam menjalankan perniagaan bercirikan restoran di dalam rumah adalah Cuba.
Cuba tampil sebagai negara yang paling dikenali dalam menjalankan restoran berkonsep begitu kerana disokong kerajaannya. Pihak pemerintah Cuba telah meluluskan gaya bisnes sedemikian ekoran majoriti yang terlibat menghadapi masalah kewangan dan bergelut untuk meneruskan kehidupan harian setiap hari.
Namun begitu, Argentina masih lagi mengekalkan konsep penyediaan yang berbeza dengan Cuba kerana kebanyakan tukang masak mereka mempunyai cita rasa yang lebih baik dalam menyediakan hidangan.
"Kami tidak terikat dengan menu-menu tradisional sahaja. Hidangan yang disediakan di Argentina amat berbeza dengan Cuba. Di Buenos Aires, kami bebas untuk menyajikan apa juga bentuk makanan berdasarkan kreativiti masing-masing," terang Langer.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: