
Selepas aktres jelita, Rozita Che Wan, membuat pengumuman akan bersara dari bidang seni, kini giliran pengantin baru, Raja Farah pula mengikut jejak yang sama.
Bagaimanapun, itu bukanlah rancangan terdekat Raja Farah kerana komitmennya dalam industri seni masih diperlukan. Namun bila tiba masanya, dia akan melepaskan juga dunia yang penuh glamour itu.
“Sekarang saya masih terikat dengan beberapa projek. Tapi selepas ini, saya akan hadkan tawaran dan akan perlahan-lahan berundur dari industri seni.
“Sebenarnya, saya nak beralih ke bidang perniagaan dan sejak dua tahun lalu saya teringin nak ada perniagaan SPA sendiri. Insya-Allah, dalam tahun hadapan saya akan ikut suami balik Kelantan dan buka SPA di sana,” ujar Raja Farah yang tidak menyesal dengan keputusannya itu meskipun namanya kini masih meniti di bibir peminat.
Bagaimanapun kata Farah, cintanya dalam dunia lakonannya tetap menebal di hati dan sekiranya ada tawaran yang baik, dia tidak keberatan untuk kembali beraksi.
“Saya tak kisah tinggalkan dunia glamour, tetapi saya sayangkan dunia lakonan. Sejujurnya, saya masih belum puas berlakon dan belum puas dengan pencapaian yang ada.
“Walaupun saya sudah membintangi banyak drama dan filem, tapi saya masih belum menang apa-apa anugerah,” katanya.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Raja Farah tidak menafikan, gosip dan kontroversi yang sering menghambatnya, membuatkannya hampir berputus asa untuk meneruskan perjalanan sebagai anak seni. Malah akui Farah, perkara itu juga menjadi sebahagian sebab dia mahu bersara lebih awal.
“Terus-terang, saya kecewa juga dengan gosip yang ada dan ia banyak menjejaskan imej baik saya.
“Sampai satu tahap, saya pernah tertekan sehingga tak boleh bangun sepanjang hari. Lagi pula saya ada ‘migrain’ yang serius sehingga doktor menasihatkan saya supaya tinggalkan dunia seni,” katanya.
Turunkan berat badan
Sejak akhir-akhir ini, berat badannya menjadi bualan ramai pihak.
Farah akui berat badannya kini semakin meningkat dan dia cuba berusaha kembali mendapatkan berat ideal.
“Badan saya mula mendadak naik sejak saya menyertai kursus lesan skuba di Pulau Redang dan Pulau Perhentikan ketika pertengahan tahun lalu.
“Ketika menjalani latihan, saya mudah berasa lapar dan banyak makan nasi. Sehingga sekarang pun saya susah nak kawal makan. Malah saya pun jenis yang malas nak bersenam,” katanya.
Majlis persandingan Diraja
Bertanyakan lebih lanjut tentang majlis resepsinya, Raja Farah, berkata, hari bahagianya itu akan berlangsung pada Februari depan. Berkonsepkan, tradisional dan ala diraja, majlis itu akan dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.
“Untuk majlis itu, saya masih menggunakan khidmat perunding perkahwinan yang sama dan tema ini dipilih atas persetujuan saya dan suami,” kata Raja Farah yang bakal muncul dengan filem terbaru, Aku Masih Dara, di pawagam bermula 16 Disember ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: