Thursday, December 9, 2010

Ana Raffali terus melangkah




Penglibatannya dalam industri muzik masih baru, bahkan namanya juga masih hijau. Ibarat anak kecil yang sedang belajar bertatih. Namun dengan bakat semula jadi serta kecintaan terhadap bidang seni menjadikan gadis ini dikenali ramai.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu tepat ditujukan buat penyanyi yang terkenal dengan lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur.

Membawa imej sopan dengan menjadikan baju kurung sebagai identiti setiap kali muncul membuat persembahan mahupun menghadiri sebarang majlis, Ana Raffali atau pemilik nama Ana Nur Hidayah Mohd Raffali cuba menampilkan dirinya sebagai penyanyi dan komposer dalam setiap sentuhan muzik.

“Biasanya saya mencipta lagu melalui mood kerana saya kuat berangan. Ada juga lagu yang dibuat melalui pengalaman rakan-rakan dan pemerhatian sendiri.

“Genre lagu yang saya hasilkan juga tidak terhad. Saya suka berfikiran jauh, asalkan lagu yang saya hasilkan itu tidak akan memerangkap saya balik dan tidak klise serta sedap didengar,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun siapa sangka, daripada sekadar berangan menghasilkan lagu, salah satu karyanya, Tolong Ingatkan Aku mendapat tempat ke Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL 25). Suatu tempat yang pasti diimpikan karyawan seni suara.

“Saya memang tidak menjangkakan lagu itu boleh menempah tiket ke final AJL. Memandangkan AJL merupakan sebuah pentas yang berprestij, jadi tentulah saya mahu memberikan yang terbaik.

“Menang atau kalah itu adat pertandingan, tetapi yang pasti saya mahu memberi yang terbaik dan akan dikenang semua orang pada malam itu nanti,” katanya.

Tidak cukup dengan kejayaannya melangkah ke final AJL, tuah sekali lagi menyebelahi gadis dari Johor Baharu ini apabila berganding dengan kumpulan Monoloque mengadakan Konsert ‘Analoque’ pada 19 Disember ini di Lambang Sari, Istana Budaya (IB).

“Sebagai artis yang masih baru di dalam industri, konsert ini merupakan satu penghormatan buat saya dan pastinya saya akan memberikan persembahan yang terbaik. Membuat persembahan di IB merupakan cita-cita saya sejak kecil lagi, dan ia ibarat angan-angan saya yang telah menjadi kenyataan.

“Pada konsert tersebut saya akan membawa band saya iaitu The Marhaens dan akan menyanyikan kesemua lagu dalam album pertama saya seperti Tolong Ingatkan Aku, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Ketika Aku Kecil dan Biarkan Kau Terlepas,” kata penuntut Universiti Teknologi Mara ini.

Tambah Ana, peluangnya untuk beraksi di pentas berprestij di IB dan diikuti persembahan di AJL menjadi pemangkin untuknya terus berjaya di dalam industri seni.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Aidit Alfian Records dan Universal Music Malaysia. Malah kerjasama Aidit begitu bermakna,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: