
SELEPAS mengejutkan ramai dengan kejayaannya menjadi juara program realiti TV, One in A Million musim ketiga
(OIAM3), pada tahun 2009, umum melihat anak muda yang pernah berada dalam arus perdana muzik tempatan bersama kumpulan New Boyz itu akan terus memahat namanya ke kemuncak populariti dengan gaya dan genre lagu yang jauh menyimpang ketika bersama kumpulan itu sebelum ini.
Namun setahun sudah berlalu, jangkaan itu tidak menjadi realiti. Malah, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Tomok seolah-olah sepi tanpa sebarang pencapaian yang membanggakan.
Apakah kejayaannya merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta sebagai juara OIAM3 menyebabkan dia terleka, lalu dengan sewenang-wenangnya dia mulai menghilangkan diri dari persada seni?
Namun, segala persoalan itu terjawab pada sidang media di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena pelancaran album sulung solo Tomok.
Pasti ada yang menyangka, selepas dilahirkan semula oleh OIAM3, Tomok pasti enggan lagi dikenali sebagai Tomok, kerana nama itu cukup sinonim dengan vokalis New Boyz yang diklasifikasikan sebagai penyanyi lagu mendayu atau dalam bahasa slanganya ialah ‘penyanyi jiwang-jiwang’ atau ‘penyanyi tangkap leleh’.
Namun, album terbaru Tomok yang diberi judul Tomok itu segera menimbulkan persoalan, apa sudah jadi dengan penjenamaan semula Tomok?
Tenang berhadapan dengan pihak media, Tomok memberitahu, dia selama ini bukan menghilangkan diri tetapi banyak menyiapkan album solonya.

“Kalau ikutkan tempoh masa setahun memang lama selepas tamat OIAM3. Dalam tempoh masa itulah saya telah merancang tentang masa depan karier ini.
“Walaupun orang kata saya seolah-olah menghilangkan diri, tetapi saya turut mengeluarkan beberapa single yang ke udara di corong radio ketika itu,” ujarnya.
Bersatu dengan New Boyz
Menjelaskan pula mengenai dirinya yang masih dikenali sebagai Tomok, dia mengakui memang pada mulanya dia mahu menukarkan namanya untuk dikenali sebagai Shah Indrawan bagi merealisasikan penjenamaan semula dirinya itu.
“Tetapi selepas difikirkan dari sudut komersial nama Shah sudah ramai digunakan dalam industri hiburan kita. Jadi, saya buat keputusan pilih nama Tomok kerana kerana nama ini saya seorang sahaja yang guna,” katanya.
Dalam pada itu, Tomok juga menegaskan dia tidak kisah jika ada pihak yang melihat dia masih dibayangi New Boyz. Ini kerana dia dan New Boyz masih bersatu.
“Sebelum ini pun nama New Boyz juga yang mengangkat nama Tomok.
Cuma bila Tomok tampil dengan imej dan konsep lagu solo ini sudah jelas menunjukkan kematangan Tomok,” katanya yang merancang membawa album solonya itu ke pasaran Indonesia.
Tambahnya, dia dan New Boyz masih satu kumpulan cuma untuk album Tomok itu dia tampil secara solo.
“Anggota kumpulan New Boyz semua faham dan ada antara mereka juga ada menyertai band lain juga. Perkara berkenaan grup kami ini telah dibincangkan sebelum saya menyertai OIAM3 lagi dan alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
![]() |
| MAHU fokus dan berusaha penuh giat buat masa ini khusus untuk Anugerah Juara Lagu ke-25, Tomok begitu serius mahu mencapai kejayaan pada majlis anugerah berprestij itu nanti. |
Mentah memilih watak
Kehadiran Tomok didalam industri muzik tanah air sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila singlenya yang berjudul, Berlari berjaya tercalon untuk Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) selepas lagu Rindu Terhenti tercalon pada AJL24.
Katanya, walaupun selepas 10 tahun berkecimpung sebagai penyanyi baru kini dia berjaya merebut peluang tersebut, dan bagi Tomok, perkara itu jelas memberi maksud pengorbanannya selama ini berbaloi.
“Pada awalnya dulu pun saya dah rasa album ini jelas akan beritahu peminat dan akan membezakan Tomok dulu dengan Tomok sekarang,” ungkapnya.
Menyentuh mengenai karier lakonannya yang baru bersemi itu, Tomok yang melakonkan watak penting menerusi filem Mantera bagaimanapun mengakui dia sebenarnya lebih fokus kepada bidang nyanyian berbanding lakonan.

“Saya lebih serius dalam bidang nyanyian berbanding berlakon. Tomok pun masih mentah nak memilih watak,” jelasnya.
Bercerita mengenai perancangan kariernya pada masa depan, dia memberitahu akan memulakan siri jelajah ke seluruh negeri untuk mempromosi albumnya selepas bertanding di AJL25 pada 9 Januari tahun depan nanti.
“Buat masa ini Tomok akan fokus dengan AJL25 dahulu sebelum meneruskan perancangan lain,” katanya.
Keyakinan syarikat rakaman Monkey Bone terhadap Tomok dapat dilihat melalui penghasilan album solonya yang berjudul Tomok itu.
Penghasilan album yang mengambil masa lebih setahun itu amat berbaloi dan sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat-peminat Tomok.
Menurut pengurus label Monkey bone, Edris Adrian, album tersebut menggunakan kos yang mencecah kira-kira RM100,000.
“Album ini juga adalah hasil wang kemenangan semasa OIAM3 itu. Ia turut menampilkan gabungan Tomok bersama produser baru dan lama seperti Afiez New Boyz, Edry KRU, Aidit Alfian, Audi Mok dan Aubrey Suwito.
“Gabungan mereka ini sememangnya memberikan sesuatu kelainan dalam industri hiburan tanah air,” katanya.
Tambahnya, album itu merupakan satu bentuk penghargaan daripada Tomok buat peminat-peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan tanpa jemu selama ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: