|
|
BAYANGKAN menikmati minum petang di kedai mamak sambil menunggu kenderaan anda siap dicas semula. Gaya hidup seperti itu mungkin kedengaran janggal namun realitinya sudah tidak begitu jauh di hadapan kita.
Begitulah gambaran dan gurauan mengenai kenderaan hibrid seperti yang diungkapkan Hazrin Fazail Haroon selaku Pengurus Besar Bahagian Perancangan Produk dan Kumpulan Pembangunan Perusahaan Otomobil Nasional (Proton).
“Hibrid adalah kenderaan yang akan kita lihat pada masa akan datang. Malah ia sebenarnya telah pun bermula,” ujar beliau ketika ditemui di galeri Proton pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010), baru-baru ini.
Kenaikan harga bahan bakar dan isu pencemaran sisa karbon adalah dua faktor paling utama yang mencetuskan perlumbaan baru ke arah penghasilan kenderaan yang lebih pintar dan mesra alam.
Di pasaran negara ini, kemunculan nama-nama seperti Prius, Civic Hibrid dan Insight menjadikan istilah hibrid sesuatu yang tidak lagi asing pada kita.
Selain membuat kejutan melalui lima model konsep iaitu Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu yang menjadi tumpuan sepanjang KLIMS, Proton turut membuka lembaran baru dalam teknologi hijau melalui peragaan kenderaan hibridnya.
Dua model berkenaan adalah Proton Exora REEV iaitu kereta yang ditingkatkan jarak perjalanan (Range Extended Electric Vehicle) dan Proton Saga EV (kenderaan elektrik) yang beroperasi dengan kuasa janaan elektrik dan petrol.
Model yang sama baru-baru ini memenangi hadiah pertama pertandingan Brighton to London Future Challenge selepas membuktikan penjimatan mengatasi prestasi jentera-jentera lain.
Berbanding model-model konsep Siri Pahlawan yang kemunculannya masih menjadi tanda tanya (sebagai kenderaan yang sah), kedua-dua model hibrid itu mempunyai masa depan yang lebih cerah dan dekat.
Hazrin memberitahu, sebelum dipasarkan secara komersial pada 2012, hibrid yang sudahpun terbukti memberi penjimatan itu akan melalui beberapa peringkat ujian dan penyelidikan yang dijadual bermula awal tahun depan.
Pengumuman mengenai pengagihan kenderaan ujian fleet (FTV) membabitkan agensi-agensi kerajaan terpilih di Putrajaya dan Cyberjaya dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, baru-baru ini.
Menurut Hazrin, dianggarkan 200 model prototaip Exora dan Saga akan diagihkan melalui program FTV secara berperingkat untuk proses pengumpulan data, isu-isu teknikal dan maklumat yang berkaitan.
“Apa yang boleh dipertingkatkan pada kenderaan ini akan dilakukan, begitu juga dengan isu-isu berkaitan keselamatan.
“Paling penting kita mahu tahu bagaimana kenderaan hibrid ini memberi kesan terhadap gaya hidup dan kehidupan seharian,” ujarnya.
Bagi memendekkan penantian dan mempercepatkan (pengeluaran), penyelidikan di dua bandar hijau itu akan dilaksana berlandaskan konsep ‘projek’ dan bukannya sekadar ujian.
Yang pasti, pencapaian terbaru di dalam teknologi hibrid itu telah memartabatkan imej Proton ke satu tahap lebih tinggi di pentas automotif antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: