Monday, December 13, 2010

Keasyikan kota Heidelberg


PEMANDANGAN di celah-celah kota Heidelberg yang dipenuhi bangunan bersejarah.


TERUJA. Itulah rasanya tatkala berpeluang menjejakkan kaki ke Jerman atau secara rasmi dikenali sebagai Republik Persekutuan Jerman atau dalam bahasa Jerman, Bundesrepublik Deutschland baru-baru ini.

Secara jujur, tidak banyak yang diketahui mengenai negara yang terletak di Eropah Tengah ini kecuali sedikit mengenai latar belakang sejarah dan tokoh politiknya.

Berbicara mengenai Jerman, siapa yang tidak pernah mendengar nama Adolf Hitler. Perancang pintar, pemidato hebat dan seorang tokoh politik yang telah menjadi idola di Jerman antara akhir 1920-an dan 1940-an.

Melalui subjek sejarah yang dipelajari di sekolah suatu ketika dahulu, kita mengetahui Hitler terlibat dalam Perang Dunia Pertama tetapi memainkan peranan penting dalam Perang Dunia Kedua.

Beliau terkenal sebagai orang yang berjaya menyatukan penduduk berbahasa Jerman walaupun akhirnya negara itu berpecah kepada dua bahagian iaitu Jerman Timur dan Barat.

Kini, Hitler dilabel oleh kebanyakan orang Barat sebagai orang yang kejam, bengis dan diktator yang gila kuasa seperti yang selalu dipertontonkan dalam filem Hollywood.

Walaupun kunjungan itu adalah urusan kerja kerana menerima jemputan kerajaan Baden-Wurttemberg, sebuah negeri terletak di selatan Jerman untuk membuat liputan mengenai pembangunan sains dan teknologi di situ, ia adalah peluang keemasan untuk menimba pengalaman dan melancong ‘percuma’ ke negara berkenaan.

Lokasi pertama yang dikunjungi sewaktu tiba di Baden-Wurttemberg ialah Stuttgard iaitu ibu negeri bagi wilayah berkenaan.

Selama dua hari dan dua malam berada di Stuttgard, penulis tidak berkesempatan untuk berjalan-jalan dan membeli-belah di bandar tersebut kerana terikat dengan jadual kerja yang ketat bermula awal pagi sehinggalah larut malam.

Pada hari ketiga, kami dibawa melawat ke universiti dan institut penyelidikan di daerah lain iaitu Esslingen yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Stuttgard sebelum bermalam di Karlsruhe.

Perjalanan dari Esslingen ke Karlsruhe mengambil masa sejam setengah.

Pada keesokkan harinya seawal pukul 8.30 pagi, kami sudah mendaftar keluar dari hotel untuk meneruskan lawatan terakhir ke Institut Teknologi Karlsruhe.

Setelah empat hari mengikuti jadual kerja yang memenatkan, akhirnya barulah kami diberi kesempatan berjalan-jalan dan membeli-belah di bandar Heidelberg dengan ditemani seorang pemandu pelancong bernama Valerie berusia lingkungan 60-an.

Memandangkan lawatan tersebut diadakan agak lewat dan singkat iaitu bermula pukul 4.45 petang hingga 5.30 petang, maka tidak puas rasanya menerokai kota lama berusia 814 tahun itu.

Rasa tidak puas menyaksikan keindahan kota lama Heidelberg menyebabkan penulis bersama seorang rakan menaiki bas datang kembali ke situ pada keesokan harinya.

Walaupun kunjungan ke Heidelberg amat singkat, tetapi dapat juga meneroka kota tua bersejarah yang mempunyai pemandangan indah dan romantik terletak di tepi Sungai Neckar itu.

Antara yang menarik perhatian ialah istana lama terletak di atas bukit dinamakan Schloss Heidelberg yang dibina oleh Putera Elector Ruprecht III antara tahun 1398 hingga 1410.

Asalnya, bangunan tersebut hanya dijadikan sebagai benteng sebelum ia diubah menjadi istana pada abad ke-16 dan ke-17 oleh Elector. Sekarang, istana berkenaan masih digunakan untuk kegiatan seperti jamuan makan malam, majlis perkahwinan, opera dan teater.

Satu lagi pemandangan menarik di Heidelberg ialah sebuah jambatan yang merentasi Sungai Neckar iaitu Alter Bruke (Jambatan Tua). Jambatan diperbuat daripada batu dilengkapi dengan menara dan patung-patung itu dibina semasa zaman pemerintahan Putera Elector Karl Theodor setelah empat jambatan kayu yang didirikan sebelum itu mengalami kerosakan akibat banjir, kebakaran dan hentakan salji pada 1786.

Heidelberg juga terkenal sebagai pusat penyelidikan yang menempatkan Institut Planck Max dan Universiti Heidelberg yang dibina pada 1386 iaitu salah sebuah universiti tertua di Eropah. Semasa berada di sini, jangan lupa melawat Penjara Pelajar yang dibina khas untuk memenjarakan pelajar-pelajar yang melanggar peraturan universiti.

Di sekeliling kota lama Heidelberg dan sepanjang Sungai Neckar suasananya sangat romantik yang melihatkan banyak seniman jalanan, bangunan dan gereja lama. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa Heidelberg merupakan tempat awal agama Kristian Roman Katolik berpecah menjadi Protestan yang dipelopori oleh Martin Luther.

Semasa Perang Dunia Kedua, Heidelberg terselamat daripada pengeboman tentera Bersekutu kerana salah seorang jeneral yang memimpin tentera Amerika Syarikat dikatakan bekas pelajar Universiti Heidelberg yang mengarahkan agar kota itu tidak diusik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: