Sunday, December 5, 2010

Microsoft Office untuk pengguna Mac


Vosen Chong (kiri) menunjukkan produk Microsoft Office untuk Mac 2011 pada pelancaran media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEBAGAI memenuhi keperluan segmen pengguna produk pengkomputeran Macintosh, syarikat peneraju pembangunan perisian dan teknologi Internet, Microsoft Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Microsoft Office untuk Mac 2011.

Dilancarkan secara rasmi diseluruh dunia pada penghujung Oktober lalu, perisian tersebut menawarkan ciri-ciri lebih maju dan dipertingkatkan.

Microsoft Office Mac 2011 hadir dalam dua edisi iaitu Office for Mac Home and Student 2011 dan Office for Mac Home and Business 2011.

Menurut Pengurus Produk Windows dan Office, Bahagian Jualan Runcit dan Pemasaran Microsoft Asia Tenggara, Vosen Chong, Microsoft untuk Mac 2011 menawarkan fungsi dokumentasi lengkap serta menyeluruh.

''Penciptaan perisian ini telah mengambil masa selama lebih daripada tiga tahun menerusi penglibatan seramai 200 orang pembangun.

''Dalam jangka masa itu juga, kita turut mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada para pengguna di seluruh dunia,'' katanya pada pelancaran media Microsoft untuk Mac 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Vosen Chong memberitahu lagi, pembangunan perisian tersebut memberi fokus kepada beberapa fungsi seperti keserasian, mudah digunakan serta bersifat profesional.

Menerusinya, ia memberi peluang kepada pengguna mencipta dan membangunkan projek serta pembentangan mereka secara lebih kreatif.

Apa yang menarik, penampilan versi ini boleh diselaras bersama Microsoft Office untuk Windows dan juga Microsoft Office untuk Mac 2008 tanpa sebarang kehilangan atau gangguan pada data.

Bagi menggantikan aplikasi Entourage pula, Microsoft untuk Mac 2011 menampilkan Outlook yang menggabungkan fungsi seperti emel, kalendar, tugasan dan maklumat kontak.

Dengan kelebihan tersebut, kedua-dua pengguna Mac dan PC kini boleh mengakses serta memaparkan aplikasi Outlook 2010 dengan lebih mudah.

Di samping itu, Microsoft Office untuk Mac 2011 juga boleh disambung secara terus kepada platform Microsoft Office Web Apps bagi membolehkan pengguna berkongsi dokumen sekali gus menjalankan tugasan secara maya.

Untuk pilihan menu Standard Toolbar, ia menawarkan pengalaman operasi yang lebih lancar serta menepati keperluan pengguna.

Tidak cukup dengan itu, menerusi aplikasi baru Dynamic Reorder pula, pengguna boleh menyusun lapisan paparan sama ada dalam bentuk dokumen mahu pun persembahan.

Office for Mac Home and Student 2011 ditawarkan pada harga RM468 untuk satu pengguna dan RM599 bagi pek keluarga (tiga pengguna).

Untuk Office for Mac Home and Business 2011 pula, harganya RM768 bagi satu pengguna dan RM1,099 untuk pek famili (dua pengguna).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: