Sunday, December 5, 2010

Dua penuntut Malaysia terima biasiswa Panasonic 2011


MUSTAPA Mohamed berbual dengan Zed Daliela Zulkafli dan Keoh Sye Hoe sambil disaksikan Masahiko Horie (tiga dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Dua penuntut Malaysia hari ini menerima biasiswa tajaan syarikat elektronik Jepun, Panasonic untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di negara Matahari Terbit tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan penuntut Malaysia yang menerima biasiswa itu kini 40 orang sejak ia diperkenalkan pada 1998.

"Sehingga kini, saya diberitahu bahawa Panasonic telah menaja 301 penuntut termasuk dari negara China, Taiwan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

"Sehubungan itu, saya berharap kedua-dua penuntut ini akan dapat menyesuaikan diri dengan penuntut dari negara lain di sana dan apabila pulang kelak mampu memberi sumbangan terhadap perkembangan teknologi di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penganugerahan Biasiswa Panasonic di pejabatnya di sini hari ini.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Jepun, Masahiko Horie; Presiden Biasiswa Panasonic Sdn. Bhd., Kuzahiro Kawano dan Pengarah Pengurusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Hiroyuki Awaki.

Dua penuntut yang terpilih untuk melanjutkan pengajian ke Jepun itu ialah Keoh Sye Hoe, 25, penuntut dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Zed Daliela Zulkapli, 22, yang juga menuntut dalam jurusan yang sama dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Zed Daliela memberitahu, dia berasa teruja ketika diumumkan sebagai salah seorang penerima biasiswa itu memandangkan terpaksa berhadapan dengan calon hebat pada peringkat saringan.

"Saya mewakili rakan saya, Sye Hoe berterima kasih kepada Panasonic kerana memberi kepercayaan kepada kami berdua untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: