Sunday, December 5, 2010

DiGi perkenal aplikasi muzik iPhone


DiGiMusic Play menawarkan antara muka yang mudah dan mesra pengguna.


BERMULA dengan perkhidmatan DiGi Music Unlimited yang diperkenalkan pada tahun 2009, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. DiGi) terus komited menawarkan pengalaman hiburan terbaik kepada penggunanya.

Terbaru, penyedia rangkaian telekomunikasi terkenal itu menampilkan pula aplikasi untuk memuat turun muzik tanpa had menerusi gajet iPhone.

Dikenali sebagai DiGiMusic Play, servis berkenaan bakal memberi peluang kepada para pengguna iPhone memuat turun lebih daripada 40,000 buah lagu secara sah.

Menurut Ketua Segmen Pemasaran DiGi, Moharmustaqeem Mohammed, pengenalan servis itu bermatlamat menawarkan nilai tambah kepada operasi DiGi secara lebih relevan kepada pelanggan-pelanggan mereka.

''Dengan hanya RM5 sebulan, para pelanggan boleh mendapatkan pelbagai genre muzik kegemaran sama ada domestik mahu pun antarabangsa.

''Selain itu, mereka juga boleh menikmati promosi eksklusif dan diskaun untuk acara-acara muzik serta cenderahati,,'' katanya pada pelancaran aplikasi tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pelancaran itu juga, DiGi turut mengumumkan kerjasamanya dengan syarikat rakaman Universal Music dan Sony Music dalam usaha pelaksanaan aplikasi berkenaan.

DiGiMusic Play mempunyai kelebihan membenarkan pengguna mencipta playlist mereka sendiri mengikut kategori atau genre yang digemari.

Tidak cukup dengan itu, aplikasinya juga dilengkapi fungsi pencarian fail lagu secara mudah selain paparan permainan muzik yang mesra pengguna.

Pengguna yang ingin mendapatkan pautan ke laman DiGiMusic Play boleh melayari laman web DiGiMusic atau mengakses terus ke stor Apple App.

Mereka juga boleh boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip DMP ke 2016.

Aplikasi DiGiMusic Play ini hanya boleh dicapai menerusi model iPhone yang menggunakan sistem operasi iOS 3.1.2 dan ke atas.

Pada masa hadapan, DiGi bercadang untuk memperkembangkan operasi DiGiMusic Play bagi platform BlackBerry, Android, Windows 7 dan iPad pula.

Maklumat lanjut mengenainya, sila layari laman web www.DiGiMusic.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: