Saturday, December 25, 2010

Mesra tulen di Paya Guring


KESERONOKAN aktiviti menimba ikan di petak sawah umpama sebuah festival meriah bagi orang bandar.


BUKAN paluan kompang atau warna-warni bunga manggar yang membuatkan saya teruja sekiranya berpeluang melawat sesebuah homestay. Itu bagi saya sudah terlalu klise meskipun mungkin dikagumi para pelancong asing. Ada faktor lain yang saya mahukan.

Faktor yang saya maksudkan itu pernah saya rasakan ketika menjadi tetamu Homestay Kampung Paya Guring, Arau, Perlis. Lebih lazat daripada minuman segar atau pulut berinti yang dihidangkan, keikhlasan mereka begitu tulen.

Bukan sekadar cantik berpakaian batik dan bersalaman dalam tertib barisan, orang kampung di situ memberi keselarasan rentak dalam seni perhubungan antara manusia tatkala saya melihat terus ke dalam mata mereka.

Kemesraan mereka tidak dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Maka benarlah akan khabar yang disampaikan kepada saya oleh para tetamu yang telah menginap terlebih dahulu daripada saya di homestay itu.

Kesemua keluarga angkat yang menyertai program inap desa itu ternyata sporting belaka. Baik anak kecil, remaja, mak cik dan nenek yang bukan dari kalangan jawatan kuasa sambutan tetamu, secara impromptu terus menghampiri untuk memulakan perbualan. Bual bicara yang spontan amat mudah berlangsung.

Saya sangat gembira! Itulah hospitaliti sebuah kampung Melayu yang mencerminkan adab resam sebenar masyarakat negara ini.

Maka, sambil mendengar ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Gerakan Desa Wawasan kampung tersebut, Romle Hassan, fikiran dan pandangan mata saya sudah mengimbas setiap sudut kampung.

Pastinya agenda inap desa yang beridentitikan semangat dan kegiatan pertanian seperti tanaman padi serta getah itu menjanjikan keseronokan.


PERSEMBAHAN muzik tradisional ketika melangsungkan majlis persandingan olok-olok.


Apatah lagi kala saya ternampak dusun buah-buahan. Seperti 'lupa diri', orang bandar seperti saya ini langsung tidak segan untuk bergayut di dahan dan memetik hasilnya!

Terletak dalam kawasan Pauh dan sejauh empat kilometer dari Arau, kampung itu mempunyai tarikan pelancongan seperti Galeri Diraja Arau. Kemeriahan ibu negerinya, iaitu Kangar, pula hanya berjarak 15 kilometer.

Homestay itu juga berada dalam lingkungan institusi pengajian tinggi awam seperti UiTM Arau, Kolej Matrikulasi Arau, Politeknik Syed Sirajudin, dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Pendek kata, Arau bolehlah diandaikan sebagai sebuah perkampungan ilmu.

Keluarga angkat

Selepas pembahagian penginapan dibuat, saya dibawa pulang ke rumah oleh bapa angkat saya iaitu Salim Saabun, seorang yang 'portfolio'nya antara lain sebagai tukang gunting rambut di kampung tersebut.

Sayang sekali rambut saya telah pun digunting pendek lebih awal di Kuala Lumpur. Kalau tidak, pasti sentuhan Pak Salim boleh saya dapatkan secara percuma! Tidak mengapalah, mungkin di lain kesempatan.

Cuma, apabila terdengar aktiviti 'nilai tambah' yang dilakukan teman-teman rombongan lain dengan keluarga angkat masing-masing, saya terasa cemburu juga.

Ada antara teman-teman saya sungguh bertuah kerana mereka berpeluang untuk menyertai aktiviti kemahiran sara diri keluarga angkat masing-masing seperti membuat ikan pekasam, mempelajari rawatan urut tradisional dan juga mendekati perusahaan minyak angin raja kayu. Pasti ada yang bertuah menerima hadiah istimewa daripada keluarga angkat mereka itu.

Siri sapaan hormat yang tidak putus-putus diterima daripada setiap orang yang ditemui di sekitar rumah keluarga angkat saya menyebabkan saya meletakkan 'markah' penilaian yang tinggi untuk homestay itu.


AKTIVITI memproses getah keping mencuri perhatian tetamu homestay.


Saya mengerti, elemen tradisi kedesaan di Kampung Paya Guring masih utuh sifatnya. Setiap penduduknya memahami konsep hospitaliti walaupun mereka bukan dari kelompok peserta tuan rumah program homestay.

Tatkala leka dengan layanan istimewa itu, deria hidu saya sudah 'menangkap' aroma yang menyelerakan.

Tengah hari itu isteri Pak Salim sudah sedia memenuhkan meja makan dengan pelbagai hidangan kampung. Selera mana yang tidak terbuka kalau digoda dengan nasi putih panas berlaukkan ikan goreng, gulai lemak, ayam rendang, sambal belacan, sayur asam, kerabu mangga muda dan banyak lagi.

Keliling kampung

Puas beristirehat di ibu rumah atau di anjung, tetamu homestay boleh meneroka isi kampung yang pelbagai ragam dan warnanya. Pilihlah, sama ada hendak berjalan kaki, berbasikal, menaiki motor ataupun dibawa dengan kereta oleh si 'ayah' yang benar-benar memanjakan si 'anak'.

Kalau ke kebun getah, menoreh dan menggelek getahlah aktivitinya. Kalau ke sawah padi pula, boleh cuba aktiviti menyemai atau menuai mengikut musimnya. Namun, saya paling teruja apabila menyertai orang kampung menimba ikan di dalam petak sawah.

Dalam debar saat melangkah masuk ke dalam lumpur separas paha, terasa geli apabila tapak kaki terpijak ikan yang cuba bersembunyi jauh ke dalam kepadatan selut. Bangga betul saya (dan juga kecoh sebendang) apabila berjaya menangkap ikan sepat, anak jelawat, keli dan haruan dengan tangan kosong!

Sememangnya, hari menginap di homestay terasa cepat berlalu kalau dipenuhi aktiviti sebegitu.

Begitupun, kenangan paling terkesan dalam hati adalah ketika berbual dengan keluarga angkat tentang tatacara kehidupan mereka, dapat berjemaah di surau, bermain sepak takraw bersama pemuda kampung, serta belajar membuat kraf tangan tradisional.

Kata bapa angkat saya: "Lain kali tinggallah lebih lama di sini. Ayah boleh bawa ke banyak tempat lain. Ada kilang gula, ada Gua Kelam, kita boleh melawat pekan Kuala Perlis dan beli-belah di sempadan Padang Besar Utara. Semua itu tidak jauh."

Semua cadangannya itu mungkin tidak sempat dilakukan bersama dalam tempoh singkat. Saya sekadar membalas: "Baiklah ayah, saya mahu datang lagi!".

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: