
KEMUNCULAN Etihad Airways (Etihad) sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan terbaik dunia dalam waktu yang pantas membuka peluang lebih cerah bukan sahaja ke arah memantapkan penjenamaannya malah ke 64 destinasi penerbangannya terutama Malaysia.
Sebagai salah sebuah hab pelaburan terbesar Asia Tenggara, Etihad melihat keunikan pasaran pelancongan negara sebagai ‘perkongsian bijak’ disebabkan keseimbangan demografi penumpang yang menggunakan Kuala Lumpur sebagai platform transit antarabangsa serba versatil.
Menurut Pengurus Etihad Airways Malaysia, Jeffrey Lim, jaringan destinasi yang cukup luas termasuk Eropah dan Amerika Utara menjadi fokus utama pasaran penumpang yang mengembara menerusi ibu negara selain Asia Barat seperti Baghdad, Amman, Bahrain dan Kuwait.
“Tidak dinafikan Malaysia berperanan penting sebagai pusat transit tenaga kerja untuk sektor pembangunan wilayah-wilayah bergolak seperti Iraq.
“Keunikan dan kepelbagaian segmen pasaran Malaysia menjadikan ia destinasi penting sekali gus meningkatkan kekerapan penerbangan ke Abu Dhabi,” katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Etihad Airways pada asalnya mengendalikan lima penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur. Bagaimanapun, mulai Mac 2003 Etihad memulakan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Abu Dhabi sebelum beroperasi sepenuhnya dari Kuala Lumpur pada 16 Januari 2007.
Syarikat penerbangan nasional Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tersebut hari ini terbang ke 64 destinasi antaranya Iskandariah, Almaty, Astana, Athens, Bangkok, Chicago, Cochin, Colombo, Dammam, Doha, Dublin, Erbil, Kathmandu, Larnaca, Minsk, Muscat, Nagoya, New York, Paris, Riyadh, Tehran, Toronto dan Thiruvananthapuram.
Pada masa sama, Etihad mempunyai 23 perjanjian perkongsian koc dengan Aer Arann, ANA, Alitalia, American Airlines, Bangkok Airways, Brussels Airlines, Cyprus Airways, Flybe, Jet Airways, Kuwait Airways, Malaysia Airlines, Malev, Middle East Airlines, Qantas, Royal Air Maroc, Saudi Arabia Airlines, Sri Lankan Airlines, Turkish Airlines, Ukraine International Airlines dan bmi.
Lim berkata, kejayaan Etihad bangkit daripada kegawatan ekonomi global beberapa tahun lalu berjaya dibuktikan dengan lebih 6 juta penumpang tahun ini dan dijangka jumlah itu meningkat kepada 7.3 juta menjelang akhir 2010, berbanding 6.3 juta penumpang tahun lalu.
Jeffrey LimBagi memenuhi peningkatan jumlah penumpang dari 74 peratus pada 2009 kepada 77 peratus tahun ini, Etihad turut menambah tiga pesawat baru termasuk A330-300 dan dua pesawat pengangkut A330-200F menjadikan jumlah pesawatnya sebanyak 57 buah menjelang akhir tahun ini.
Kecemerlangan Etihad Airways bukan sekadar gimik sebaliknya realisasi perkhidmatan udara berprestij sebenar sehingga dianugerahkan gelaran World’s Leading Airline dua tahun berturut-turut pada World Travel Awards (WTA).
Di samping itu, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Abu Dhabi itu juga dianugerahkan gelaran World’s Leading First Class selama tiga tahun berturut-turut.“Penganugerahan tersebut adalah kejayaan luar jangka bagi sebuah syarikat penerbangan yang baru berusia tujuh tahun. Ini kerana misi Etihad untuk menjadi penyedia perkhidmatan penerbangan terbaik, tidak semestinya yang terbesar di dunia,” kata Lim.
Beliau menjelaskan, etika perkhidmatan dan komitmen untuk memenuhi keperluan penumpang menjadi kelebihan Etihad dalam pesaingan sengit industri penerbangan dunia.
Justeru, tidak hairanlah Etihad diiktiraf kerana kecemerlangannya dalam menyediakan produk berkualiti, ruang menunggu mewah dan etika perkhidmatan yang kukuh sepanjang pertumbuhan pesatnya.
Etihad menawarkan tiga kelas penerbangan iaitu Diamond First Class, Pearl Business Class dan Coral Economy Class yang dimuatkan dalam pesawat serba baru dan dilengkapi sistem hiburan dalam pesawat terkini serta perkhidmatan hidangan bertaraf lima bintang.
Tidak cukup cabin penginapan mewah dan peribadi (Diamond First Suite), penumpang bertuah berpeluang menikmati hidangan kelas pertama dengan kepakaran Pengurus Makanan dan Minuman (F&B) yang terpilih dari restoran hidangan eksklusif seluruh dunia.“Pengurus F&B Etihad meluangkan masa dengan panel chef kami untuk sama-sama berkongsi idea malah membantu menghasilkan menu menarik untuk para penumpang,” ujar beliau.
Pengalaman disajikan Etihad Airways bermula di lapangan terbang, dengan ruang menunggu mewah dan selesa termasuk kemudahan bagi ibu bapa yang melancong bersama bayi atau anak-anak kecil.
Untuk tempahan, destinasi penerbangan dan maklumat lanjut mengenai Etihad Airways, layari laman web www.etihadairways.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: