
SUASANA di sekitar puncak bukit bertanah merah yang terletak berhampiran Kem Bina Semangat Meru agak meriah daripada biasa.
Kebetulan ia merupakan cuti hujung minggu. Tidak hairanlah lokasi yang dikenali sebagai Bukit Ramli dalam kalangan penggemar-penggemar acara turun bukit (downhill) berbasikal itu tiba-tiba menjadi tumpuan.
Mazlan Ismail, 29, juga tidak terkecuali, dia dan rakan-rakannya akan menghabiskan masa sehari suntuk di situ sekiranya mempunyai kelapangan.
Lelaki itu pantas menurunkan basikalnya yang sebelum itu diikat kemas di atas bumbung kereta.
Ia bukan basikal gunung biasa, basikal berteknologi tinggi itu sememangnya dicipta khas untuk aktiviti downhill. Dia membelinya di KSH Cyles, antara pengedar utama aksesori dan basikal downhill di sekitar Lembah Klang.
Dilengkapi sistem suspensi di depan dan belakang, rangka yang lebih kukuh serta tayar berbunga kasar, cukup lasak untuk meredah laluan hutan yang curam dan berbatu seperti di Bukit Ramli.
Harganya kata Mazlan, bermula dari RM5,000 hingga RM24,000 sebuah bergantung kepada jenamanya.
Peralatan keselamatan seperti topi keledar, pelapik siku, lutut, kasut serta sarung tangan sudah siap disarungkan ke tubuhnya. Mazlan sudah bersedia melakukan kayuhan.
Berbeza dengan sukan-sukan berbasikal yang lain, downhill lebih ekstrem dan berisiko tinggi.
Tidak ada kayuhan mendaki sebaliknya semua adalah acara menurun. Faktor penentunya adalah kemahiran penunggang mengekalkan momentum dan mengawal basikal yang meluru laju.
“Dalam kelajuan tinggi menuruni bukit di antara 30 hingga 40 kilometer sejam, penunggang perlu pantas berfikir dan membuat keputusan yang tepat,” jelasnya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Malaya.
Bagi Mazlan, laluan sepanjang satu kilometer dari puncak ke kaki Bukit Ramli sememangnya mencabar.
Adrenalin pasti memuncak setiap kali cuba mengawal kayuhan ketika menuruni bukit merentas akar-akar pokok yang berselirat di lantai hutan.
![]() |
| LALUAN yang lasak dengan akar kayu atau laluan berbukit tidak rata menambahkan lagi keterujaan sukan adrenalin. |
Kelajuan kadangkala terpaksa diperlahankan terutama apabila menempuhi halangan di laluan Rolling Stones, Garden Drop, Titi Balak Berning Bertam, Rock Sahara, Snake Egg Gap yang sedia menanti.
Paling mengujakan adalah ketika di Giant Drop. Di sini, penunggang akan melompat beberapa meter di udara sebelum mendarat. Namun awas, jika tersilap langkah penunggang pasti terlompat keluar dari trek.
“Walaupun aktif menyertai beberapa sukan lasak seperti motocross, terjun (diving) dan go-kart sebelum ini, namun downhill lebih menjanjikan kepuasan sebenar,” ujarnya yang baru setahun berjinak-jinak dalam aktiviti itu.
Rakannya, Derrick Johnson, 20, pula berkata, peluang menghirup udara segar jauh daripada kesibukan kota yang menyesakkan nyata memberi ketenangan pada dirinya.
Dia yang aktif dalam sukan downhill sejak empat tahun yang lalu berkata, keunikan dan halangan semula jadi di Bukit Ramli memberi kepuasan kepada penunggang sepertinya.
“Meredah laluan hutan yang lasak dan mencabar serta lakukan lompatan tinggi ke udara merupakan satu pengalaman yang sukar diungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya yang merupakan pelajar kejuruteraan di sebuah kolej swasta di Damansara.
Katanya, selain menjadi tempat riadah, lokasi itu juga sering dijadikan gelanggang pemanas badan sebelum memasuki pertandingan yang diadakan di dalam dan luar negara.
Mendapat tunjuk ajar daripada atlet downhill negara, Mohd. Fadzlee Ariff, Derrick merupakan bintang baru yang semakin menyinar dalam sukan itu.
Dia sering mencatat kejayaan membanggakan apabila menyertai pertandingan-pertandingan seperti Kiara Downhill Domination dan Kuala Lumpur Downtown yang diadakan setiap tahun manakala terbaru, Perlumbaan Downhill Bukit Ramlee yang berlangsung pada 5 Disember lalu.
Bercerita tentang sukan kegemarannya itu, Derrick memberitahu sukan berbasikal seakan sudah sebati dengan dirinya.
Sejak berusia 12 tahun lagi, pemuda itu sudah mahir melakukan aksi-aksi ekstrem melalui penglibatannya dalam aktiviti basikal BMX.

“Tiga tahun kemudian, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti basikal gunung. Daripada situ saya mula mengenali pelbagai kategori kayuhan seperti cross country dan downhill,” katanya.
Katanya, setiap kategori memerlukan kemahiran dan kelengkapan basikal dan trek yang berbeza.
Cross country misalnya memerlukan stamina yang tinggi kerana jarak perjalanannya yang panjang, manakala downhill pula lebih menumpukan aspek kemahiran teknikal penunggang.
Pemuda yang berasal dari Petaling Jaya itu berkata, biarpun sudah berpengalaman luas, namun dia sentiasa mempelajari teknik dan memperbaiki tunggangan agar mampu menyinar pada masa hadapan.
“Saya mahu terus berkayuh dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi dan mencipta kejayaan seperti idola saya, Mohd. Fadzee,” katanya.
Bagi Shahrizan Abdul Rahim, 28, pula, sejak melibatkan diri dalam sukan itu dua tahun lalu, dia kini sudah tiga kali menukar basikal kerana ketaksubannya terhadap tuntutan sukan lasak itu.
“Saya bermula dengan sebuah basikal murah, apabila duit sudah mencukupi barulah saya beralih kepada yang lebih berkualiti.
“Mujurlah ada forum di Internet, di situ kita boleh dapatkan basikal yang baik dan berkualiti bergantung kepada kemampuan masing-masing,” katanya yang bekerja sebagai kerani di Puchong, Selangor.
Biarpun sibuk dengan kerjaya serta komitmen sebagai suami dan bapa kepada tiga cahaya mata, namun ia tidak pernah menghalang Shahrizan untuk terus aktif dan menyertai beberapa pertandingan yang diadakan di seluruh negara.
Jelasnya, dia bersyukur kerana isterinya, Norashikin Abdul Shukor, 28, sentiasa memberi galakan biarpun aktiviti itu agak berisiko tinggi.
“Ketakutan merupakan halangan utama yang perlu dihadapi oleh setiap penunggang, ketika pertama kali mencubanya badan dan kaki mengigil-gigil.

“Namun berkat latihan berterusan di samping tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman, perasaan takut akhirnya bertukar menjadi seronok. Tidak hairanlah pantang ada waktu lapang saya pasti berkayuh di mana-mana saja,” ujarnya.
Pengalaman patah jari manis akibat terjatuh pada awal tahun lalu yang memaksanya berehat selama tiga bulan tidak melunturkan semangat Shahrizan untuk meneruskan aktiviti kegemarannya itu.
Baginya, jatuh dan tergolek merupakan perkara lumrah yang perlu dilalui kerana daripadanya seseorang itu dapat belajar daripada kesilapan dan berpeluang memperbaiki diri.
Sementara itu, pemilik Bukit Ramli, Ramli Marwah, 50, berkata dia tidak menyangka kawasan seluas 1.2 hektar yang pada mulanya mahu dijadikan lokasi penanaman pisang dan nanas itu kini berubah menjadi salah satu trek bagi aktiviti downhill di negara ini.
“Dulu ia hanya sekadar menjadi gelanggang kepada dua hingga tiga penunggang menguji kemahiran mereka, lama-kelamaan semakin ramai pula penunggang yang datang setiap minggu termasuk dari luar negara seperti dari Belanda, Iran, Singapura dan Thailand,” katanya.
Bagi keselesaan penunggang, dia turut menyediakan beberapa kemudahan seperti kafe, tandas, surau di puncak bukit itu.
Katanya, dia mahu kawasan itu dijadikan medan dalam melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan donwhill pada masa hadapan.
“Saya mahu menjadikan lokasi ini sebagai kawasan ekoperlancongan yang mampu menjadi tarikan kepada pelancong di samping menjana pendapatan ekonomi penduduk sekitarnya,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: