Wednesday, December 8, 2010

Peserta Adik-Adikku musim baru lapor diri


Peserta, pengetua dan murabbi program realiti Adik-Adikku musim kedua bergambar bersama Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (duduk dua dari kiri).


PADA 27 November lalu, seramai 16 orang peserta program realiti Adik-Adikku Musim Ke-2 telah selamat mendaftarkan diri ke Akademi Adik-Adikku di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.

Hadir menyempurnakan majlis perasmiannya ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Penyiaran, Abu Bakar Rahim mewakili Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran.

Mereka merupakan 16 orang peserta yang terbaik daripada lebih 400 calon yang telah mengikuti sesi uji bakat di 14 lokasi seluruh Malaysia.

Berumur antara sembilan hingga 12 tahun, mereka akan mengikuti sesi akademi dikumpulkan selama hampir sebulan dengan kelengkapan penuh serta wajib mengikuti kelas pembelajaran melalui kurikulum yang telah diwajibkan bermula 27 November hingga 25 Disember ini.

Manakala setiap Murabbi iaitu Ustaz Zamri Zainuldin, Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah, Ustaz Badrul Sani Baharudin dan Ustazah Asni Abu Mansor telah diberi empat orang Da'ie (pendakwah/peserta) untuk dididik, diasuh, diasah bakat mereka bagi pertandingan ini.

Pada majlis itu juga, Jakim turut memperkenalkan 30 penaja yang telah bersetuju untuk memberi tajaan hadiah berbentuk wang tunai, pakej umrah, pakej pelancongan, komputer riba, buku-buku dan barangan kepada pemenang serta menaja pelbagai jenis barangan dan pakaian sepanjang tempoh sesi peserta di akademi.

Jakim masih mengalu-alukan sebarang tajaan daripada mana-mana individu ataupun syarikat yang berminat untuk memberi tajaan.

Seperti musim pertama, pertandingan pidato ini akan diadili gandingan juri profesional daripada pelbagai bidang bagi melengkapkan penjurian dan keputusan juri adalah muktamad. Juri akan memberikan komen untuk setiap persembahan mereka semasa pertandingan berlangsung.

Kesemua para peserta akan mengadakan persembahan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1432H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang disiarkan siaran langsung sempena Maal Hijrah hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: