Saturday, December 4, 2010

Izwanie reda bayi dalam kandungan mati


Noorqaseh Qistina menjadi kekuatan Izwanie meneruskan kehidupan selepas kematian anak pertamanya.


Memilih untuk mendiri-kan pada seawal usia 24 tahun, Izwanie Nordin, 26 sememangnya bersedia untuk memperolehi cahaya mata. Rezeki berpihak padanya, dia disahkan mengandung pada tahun pertama perkahwinan. Alangkah gembiranya ketika itu apabila mendapat tahu keluarganya akan menerima orang baru.

Sepanjang mengandung, Izwanie bersyukur kerana tidak diserang penyakit serius seperti kencing manis dan darah tinggi.

Cuma alahan teruk sedikit menganggu rutin hariannya.

“Setiap pagi apabila tiba temu janji bulanan dengan doktor, saya berkeadaan biasa. Ujian ultra bunyi yang dibuat menunjukkan bayi berkeadaan baik. Masuk bulan kelima, alahan yang saya alami hilang,” ujarnya.

Seperti kebanyakan orang, Izwanie dan suami teruja menyediakan persiapan untuk anak pertama.

Apabila kandungan mencapai sembilan bulan, semua kelengkapan bayi sudah tersedia.

Tiga hari sebelum kejadian yang tidak dapat dilupakan Izwanie berlaku, dia membuat pemeriksaan kandungan seperti biasa. Usia kandungan sembilan bulan sepuluh hari itu berkeadaan baik.

Doktor menasihatkannya menunggu kandungan cukup 40 minggu memandangkan belum ada tanda-tanda untuk dia bersalin.

Pada pagi itu, Izwanie bangun pada pukul 7 pagi. Pelik, detik hatinya kerana dia tidak terjaga pada waktu pagi seperti biasa dalam pukul 4 atau 5 pagi.

Kebiasaannya, dia akan terjaga pada waktu itu kerana dia akan tersedar apabila bayi dalam kandungannya bergerak dan menendang perut.

Tapi pagi itu sesuatu yang berbeza berlaku. Izwanie berasa debar dan tanpa membuang waktu, dia segera menghubungi doktor.

Doktor segera memintanya datang ke hospital dan membuat ujian ultrabunyi.

Tekaan Izwanie seolah-olah benar, jantung bayinya tidak kedengaran lagi. Hanya tuhan yang tahu debaran hatinya ketika itu.

“Nak menangis rasa macam tak guna sebab dia tidak akan kembali. Rasa tak percaya pun ada. Terfikir juga, mana tahu denyutan jantung bayi kembali. Pada masa doktor itu doktor memberitahu, pihak hospital tidak dapat mengesan komplikasinya sehingga dia bersalin. Masa itu, air mata saya jatuh satu persatu kerana baru semalam dia merasakan pergerakan bayinya dan pagi ini bayinya seperti tidak bernyawa lagi,” ungkapnya dalam nada sedih.

Bersabar

Pada waktu itu, Izwanie seperti tidak mahu bersalin kerana dia mahu bersama bayinya. Namun, dia reda dan dia selamat bersalin secara normal.

Tidak seperti ibu bapa lain, Izwanie dan suami tidak mendengar tangisan bayi. Sebaliknya, dia yang menangis tanpa henti. Mujurlah, suami memberi sokongan padanya dan meredakan keadaan.

Dalam pada itu, doktor menjelaskan bayinya meninggal dunia dalam kandungan kerana oksigen tidak sampai kepada bayi selepas tali pusat terlilit pada kaki bayi.

Berhadapan dengan orang ramai dan kawan-kawan yang tahu dia mengandung adalah saat yang paling sukar. Masa itu Wanie berasa lemah dan tiada semangat apabila orang bertanya apa yang terjadi.

Masuk hari kedua berpantang, Izwanie terbaca surat khabar menceritakan artis Dynas yang mengalami nasib sama dengannya.

“Waktu itu baru saya sedar bukan saya seorang mengalami kejadian ini. Mungkin ada hikmah apa yang berlaku. Saya perlu bangkit kerana masih ada suami dan keluarga yang banyak membantu dan mereka masih sayangkan saya,” ujarnya.

Alhamdulillah sekarang, wanita kecil molek ini sudah pun mempunyai anak perempuan bernama Noorqaseh Qistina berusia 8 bulan.

“Perancangan sekarang cuma nak membesar dan menjaga Qistina sepenuhnya. Tak terfikir lagi nak tinggalkan kepada pengasuh memandangkan saya seorang surirumah. Mengenai kerjaya sebagai model, saya dan suami bergilir-gilir menjaga bayi atau membawa ke lokasi fotografi. Buat masa ini, saya belum lagi terfikir nak tambah anak kerana mahu menumpukan perhatian kepada Qistina,” ujarnya.

Nasihat Izwanie, kesabaran untuk menghadapi masalah ini terutamanya ketika pantang kerana wanita ketika itu tidak boleh bersembahyang.

“Jangan lupa berdoa dan kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan. Kita perlu ingat, Tuhan sayangkan anak kita dan sebab itulah dia diambil bayi kita dulu daripada kita,” ujarnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: