Tuesday, December 7, 2010

Melukis terus dari hati




DI bawah rimbunan pepohon rendang di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur, sekumpulan kanak-kanak yang berpakaian seragam putih tekun mendengar penerangan seorang lelaki pertengahan usia yang berada di hadapan mereka.

Terik matahari pagi yang mula terasa hangat di tubuh langsung tidak dihiraukan. Malah, pelbagai gelagat dan aksi anak-anak kecil itu menceriakan suasana.

Ada yang mengangguk-angguk kepala, menopang dagu, memeluk tubuh, menggaru badan yang gatal dan ada juga yang bergurau senda sesama mereka.

Sejurus sesi demonstrasi melukis yang dilakukan oleh lelaki itu selesai, mereka dengan pantas mula mencapai berus dan palet yang telah berisi dengan beberapa bancuhan cat air.

Sebaik disuruh, semua mereka kemudian terus melakar sesuatu di permukaan kanvas kecil berbentuk segi empat sama yang dibekalkan.

Ketika tangan asyik menarikan berus lukisan ke kiri dan ke kanan, mulut masing-masing tidak henti bertanya kepada rakan-rakan serta guru pengiring yang setia menemani.




Tidak cukup dengan itu, lelaki berbaju merah yang bertanggungjawab mengendalikan bengkel lukisan tersebut turut memainkan peranan memberi tunjuk ajar pada anak-anak berusia antara empat hingga enam tahun itu.

Tidak sampai setengah jam, masing-masing berjaya menyiapkan sekeping lukisan dengan pelbagai rupa walaupun pada awalnya mereka hanya diminta melukis seekor ikan.

Walaupun ramai yang memilih ikan sebagai subjek lukisan mereka, namun ada juga yang memilih rama-rama, rumah dan kuntuman bunga mengikut kreativiti masing-masing.

Ternyata, di sebalik kepelbagaian karya seni yang terlakar di dada kanvas hasil kerja tangan anak-anak kecil itu, semuanya tetap dianggap menarik, unik dan mempunyai seni tersendiri.

Menurut pengendali bengkel lukisan itu, Ismail Baba, 59, setiap kanak-kanak mempunyai daya imaginasi masing-masing. Justeru, apabila apa yang difikirkan diterjemah di atas permukaan kanvas, maka akan terserlah hasil kreatif mereka.

Dalam erti kata lain, semua kanak-kanak biasanya akan melukis terus daripada hati. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan apa yang difikirkan orang lain, sebaliknya mengikut kegemaran sendiri.

“Meskipun pada pandangan mata kasar, ia mungkin bukan lukisan yang baik tetapi hakikatnya karya mereka itu tetap mempunyai nilai seni.

“Oleh itu, kita mesti sentiasa memberi sokongan kepada mereka untuk meluahkan apa yang dirasai melalui lukisan. Dengan cara ini, ibu bapa khususnya akan dapat memahami fikiran anak-anak mereka,” ujar Ismail yang merupakan pelukis aliran seni naif di Malaysia.


KANAK-KANAK tekun melihat demonstrasi lukisan.


Lawatan ke pameran

Bengkel lukisan itu melibatkan 89 orang kanak-kanak dari tadika Q-Dees Setiawangsa dan 12 orang guru pengiring. Selain acara nelukis, mereka turut dibawa melawat ke sekitar Kompleks Kraf bagi menyaksikan pameran tembikar yang sedang dianjurkan.

Pengetua pusat pembelajaran kanak-kanak itu, Zaharah Talib, 40, memberitahu, melalui penganjuran aktiviti luar sedemikian, ia mampu merangsang minda kanak-kanak agar menjadi lebih kreatif.

“Pada usia begini, mereka memang suka melukis atau mewarna. Berilah sekeping kertas, pensel warna atau berus lukisan, nescaya pasti ada hasilnya kelak,” tutur Zaharah ketika ditemui Kosmo! selepas bengkel lukisan itu berakhir.

Sementara itu, pengisian program aktiviti luar selama sehari bagi pelajar tadika Q-Dees Setiawangsa sempena cuti persekolahan itu dikendalikan oleh syarikat Multiform Educational Tour.

Pemiliknya, H.B. Tey berkata, pihaknya bukan sahaja menganjurkan aktiviti berbentuk bengkel lukisan semata-mata, bahkan mengadakan pelbagai program bagi memenuhi masa kanak-kanak yang menyertai lawatan tersebut.

“Kami amat mementingkan kesan yang akan diterima kanak-kanak apabila menyertai sesuatu lawatan atau aktiviti luar. Jadi, setiap aktiviti yang dilakukan pasti mempunyai manfaat dan bernilai.


SETIAP satu kepingan kanvas ini mewakili imaginasi kreatif kanak-kanak yang melukis di atasnya.


“Contohnya, dengan membawa mereka melawat kawasan sawah padi, kanak-kanak ini dapat menyaksikan kaedah penanaman padi yang diusahakan para pesawah seterusnya pemprosesan beras.

“Ini secara tidak langsung memberi pengetahuan kepada kanak-kanak dan membuatkan mereka lebih menghargai setiap butir beras yang dimakan,” tegas Tey yang mahu mengubah standard pembelajaran ke arah yang lebih baik dengan cara lawatan ilmiah sedemikian.

Tambah beliau, usai mengikuti program berkenaan, kanak-kanak biasanya akan pulang dengan banyak cerita untuk dikongsi bersama keluarga.

Maka, situasi itu juga membuatkan lebih banyak komunikasi terjalin sekali gus mengeratkan lagi hubungan kasih-sayang antara mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: