Tuesday, December 7, 2010

Pendidikan jadi mangsa keganasan


SEBUAH bilik darjah terbiar kosong kerana guru dan pelajar tidak lagi hadir ke sekolah.


RIBUAN remaja di Kashmir, India terlibat dalam kekejaman, bahaya, demonstrasi prokemerdekaan yang berpanjangan selama berbulan-bulan. Rakan-rakan Ali Raza juga mengharapkan dia turut bersama mereka dalam demonstrasi jalanan dan rusuhan.

Namun begitu, daripada membaling batu-batu ke arah pasukan keselamatan, Ali, 17, dan tiga orang sepupunya telah terbang jauh pada musim panas September lalu untuk meninggalkan pergolakan di bandar Kashmir.

"Ibu bapa saya sudah menempah tiket penerbangan ke New Delhi dan mengarahkan kami memohon pendaftaran di kolej di sana bagi tahun pengajian akademik akan datang," kata Raza, yang kini berada di ibu kota India bagi membuat persediaan ujian kemasukan.

Raza memberitahu, dia ialah antara pelajar cemerlang di kelasnya di Srinagar iaitu pekan besar di Kashmir, India dengan majoriti penduduknya menganut Islam. Dia sangat berminat meneruskan kerjaya dalam bidang perbankan.

"Keganasan yang menimpa bandar itu memberi amaran kepada saya. Jika saya mahu melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup saya, maka saya mesti keluar dari Kashmir dan mungkin tidak harus kembali lagi.

"Rakan-rakan sekolah lama menyatakan bahawa saya 'hidup dalam negeri musuh India'," ujarnya.

Kumpulan pemisah

Seorang lelaki muda bertopeng melaungkan slogan anti-India di barisan hadapan kumpulan pemisah yang menghimpunkan orang India Kashmir. Sambil menjerit, mereka membaling batu ke arah pasukan polis dan tentera.

Pasukan keselamatan sering melepaskan tembakan sebagai balasan. Seramai 111 orang awam ditembak mati di antara bulan Jun dan Oktober tahun ini dengan kebanyakan daripada mereka ialah pelajar remaja.

Perhimpunan sebegitu mula berkurangan sejak New Delhi membebaskan 50 orang penunjuk perasaan yang ditahan, mengundurkan pasukan keselamatan di Srinagar dan bersumpah untuk mencari keadilan untuk keluarga mangsa.

Oleh kerana takut terhadap nasib mereka di rantau itu, Ali dan sepupu-sepupunya menolak untuk diambil gambar foto oleh AFP. Mereka khuatir jika keluarga mereka yang masih hidup bersama pertubuhan pemisah akan disasar kerana mereka meninggalkan tanah Kashmir.

Hidup tidak pernah tenang di Kashmir kerana ada sahaja kumpulan-kumpulan berkempen menuntut kemerdekaan dari India dan menyeru serangan berulang. Pihak kerajaan negeri pula mengenakan perintah berkurung terhadap orang yang terperangkap dalam rumah selama beberapa hari hingga berminggu-minggu.

Sebagai agenda berterusan Quit Kashmir Campaign, ketua-ketua pemisah mengeluarkan jadual selang 10 hari bagi mengisytihar tarikh serangan.

"Tiada sesiapa melihat kalendar tetap, kami memeriksa jadual yang diatur pemisah untuk memastikan sama ada kami akan terkurung di dalam rumah untuk sehari lagi atau sebaliknya," kata seorang pensyarah komunikasi massa, Islam Jan, di Universiti Kashmir melalui panggilan telefon.


PERGOLAKAN politik dan krisis pertentangan agama menyumbang pada suasana ketegangan di Kashmir.


"Keganasan telah memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar yang mampu untuk meninggalkan negeri itu. Pendidikan adalah mangsa utama keganasan," ujar Islam.

Semua sekolah dan maktab, pejabat kerajaan, bank, premis perniagaan dan kedai terus ditutup apabila berlaku serangan dan perintah berkurung. Penduduk-penduduk terpaksa terkurung di dalam rumah mereka menjadi semakin marah dan kecewa.

Kekecewaan besar

"Terdapat satu rasa kekecewaan yang sangat besar. Semasa di kuliah, pelajar-pelajar lain berteriak dan menggesa saya berhenti mempromosi keamanan atau persamaan," kata seorang guru sosiologi, Mirza Rangrej.

Menurutnya, institusi tempat dia bertugas hanya dibuka 10 hari berbanding 90 hari sepanjang musim panas lalu. Beberapa sekolah pula berusaha menghantar e-mel kepada para pelajar mereka tetapi hakikatnya ramai pelajar tidak mempunyai komputer di rumah.

"Mereka hanya duduk kosong, menonton televisyen sepanjang hari dan mendengar tentang keganasan dan pertumpahan darah daripada ibu bapa mereka," terang Mirza.

Jadual peperiksaan juga telah dibinasakan sekali gus menutup peluang pelajar-pelajar menamatkan pengajian dan menerima ijazah.

Syed Ali Geelani, ahli politik pemisah veteran yang banyak menganjurkan serangan dan bantahan, menjelaskan bahawa gangguan tersebut (kekacauan terhadap institusi pendidikan) sebagai satu pengorbanan kecil dalam perang menentang India.

"Kami mahu kebebasan dan dalam pertempuran ini rakyat Kashmir perlu mengorbankan pendidikan, harta malah hidup," katanya.

Kashmir adalah negeri pertama di India yang menawarkan pendidikan percuma dan wajib pada tahun 1951. Namun, kekacauan pada hari ini menjejaskan rantau itu pada masa hadapan.

"Kerajaan berpendapat pengangguran adalah masalah terbesar tetapi mereka tidak sedar para belia ini tidak akan mendapat kerja jika mereka tidak belajar dan mendapat kelayakan akademik," kata pegawai kanan sebuah bank yang beroperasi di Srinagar di bawah naungan kerajaan negeri Jammu dan Kashmir.

"Dua orang anak remaja lelaki saya tidak dibenarkan belajar hari ini. Tiada siapa akan memberi mereka suatu pekerjaan esok."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: