Tuesday, December 7, 2010

Parti Puteri Rapunzel


SEMUA kanak-kanak bergembira dengan tema pemakaian, cenderamata dan juga pengisian program Princess Party: A Tangled Experience baru-baru ini.


RUANG legar panggung wayang Golden Screen Cinema (GSC) di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini meriah dengan kehadiran pengunjung cilik dengan persalinan indah masing-masing.

Di pintu gerbang yang dihiasi belon berwarna-warni, dua orang puteri jelita berambut perang setia menunggu untuk menyambut kehadiran kumpulan si kecil yang diraikan.

Ada yang datang dengan mengenakan gaun seputih salju, dres kembang rona merah jambu serta memakai kostum bak seorang putera raja lengkap dengan mahkota dan pedang yang tersisip di pinggang.

Ternyata gaya kreatif yang ditonjolkan pada setiap kostum berjaya menyuntik kemeriahan pada majlis AmBank Princess Party: A Tangled Experience yang dianjurkan itu.

Menurut Pengurus Besar Penyelesaian Deposit dan Pelanggan, Perbankan Runcit AmBank (M) Berhad, Zarida Jean Noordin, acara tersebut dianjurkan sempena Pertandingan AmBank-Disney Magical Adventure.

“Kami rasa sangat gembira kerana dapat menganjurkan acara Princess Party ini bagi meraikan pemegang-pemegang akaun Savers G.A.N.G dan keluarga mereka sebagai aspirasi untuk mengeratkan hubungan,” ujar Zarida sambil memberitahu itu merupakan kerjasama sulung mereka dengan pihak Disney.

Seramai 200 orang termasuk pemegang akaun Savers G.A.N.G serta peminat-peminat Facebook AmBank Disney Rapunzel telah dijemput bagi memeriahkan acara berkenaan.


PUTIH menjadi warna gaun pilihan bagi dua orang kanak-kanak ini.


Selain hadir dengan pakaian bak puteri dan putera raja, kanak-kanak ini turut dilayan dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Antaranya adalah seperti seni mewarna kuku, seni tatu, melukis karikatur dan sesi bergambar bersama Puteri Rapunzel dan beberapa watak dalam kartun Disney.

Tidak ketinggalan, AmBank juga menyediakan hadiah istimewa dalam pertandingan kategori Pose Terbaik Putera/Puteri dan Pakaian Terbaik Putera/Puteri.

Kesemua pemenang menerima wang tunai bernilai RM500 yang dimasukkan ke dalam akaun Savers G.A.N.G masing-masing.

Di samping itu, setiap kanak-kanak tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima Kolektibel Eksklusif iaitu set peralatan alat tulis edisi khas AmBank Rapunzel.

Lebih menarik, lima orang pengunjung parti tersebut turut bernasib baik apabila dipilih menerima wang tunai RM100 dalam akaun AmBank Family First atau Savers G.A.N.G menerusi cabutan bertuah yang diadakan. Program itu kemudian diteruskan dengan sesi menonton filem Disney Rapunzel: Tangled secara 3D.

Salah seorang puteri cilik, Callista Chim, 10, memberitahu, dia teruja dapat menyertai parti berkenaan. Hadir bersama kedua ibu bapa dan adik lelakinya, Callista gembira kerana dapat bergambar dengan dua orang Puteri Rapunzel.


PERTANDINGAN Pose Terbaik Putera/Puteri menyediakan hadiah yang lumayan buat kanak-kanak yang memenanginya.


“Saya rasa seronok menghadiri parti ini dan menerima layanan bak seorang puteri. Ia pengalaman yang sukar dilupakan,” kata pelajar tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yoke Nam itu.

Adik Callista, Ian, 8, terpilih memenangi kategori Pose Terbaik Putera.

AmBank Princess Party diadakan sempena Pertandingan AmBank-Disney Magical Adventure yang menawarkan peluang kepada penyimpan individu AmBank dan AmIslamic baru dan sedia ada untuk memenangi percutian keluarga Magical Disney.

Ia terdiri daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak ke Florida, Paris, Tokyo dan Hong Kong. Selain itu, terdapat juga hadiah mingguan berupa kamera digital Canon EOS DSLR dan Canon IXUS.

Secara keseluruhan terdapat 347 hadiah bernilai RM180,000 boleh dimenangi melalui pertandingan itu yang akan berakhir pada 31 Disember.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: