PENGEMBARAAN penulis ke Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC), China baru-baru ini adalah untuk membuat liputan siri jelajah Asia Road Racing (ARRC) tetapi tidak sedikit pun terlintas di hati untuk merasai bagaimanakah terujanya menjadi sehebat Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo tanpa kemahiran mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.
Bagaimanapun apabila dipelawa oleh pihak penganjur untuk merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal di atas litar itu, seluruh badan penulis terasa menggeletar.
Takut, risau dan bimbang semua bermain di fikiran sebelum dibawa ke ruangan khas untuk mengenakan sut lumba yang biasanya digunakan oleh pelumba profesional.
Pada saat dan ketika itu, macam-macam melintas di fikiran penulis, teringat ibu dan ayah di kampung, anak serta isteri tercinta. Mana tahu jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Namun kegelisahan tersebut berjaya ditenangkan setelah melihat sendiri siapa yang bakal mengendalikan motosikal yang akan dinaiki penulis. Ya..siapa lagi jika bukan dengan ‘orang lama’ yang mempunyai puluhan tahun pengalaman dalam perlumbaan.
Siapa tidak kenal dengan Kuan Meng Heng yang layak dilabel sebagai legenda dalam sukan permotoran tanah air. Dengan pengalaman yang ada padanya membuatkan penulis yakin dengan keselamatan ketika beraksi di litar nanti.
Sebelum dibawa ke pit stop, penulis terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan yang mana ia merupakan proses wajib bagi mereka yang menyahut cabaran ini.
Tekanan darah dan denyutan nadi diperiksa bagi memastikan calon tidak mempunyai sebarang penyakit kronik seperti lemah jantung atau darah tinggi yang mungkin membahayakan mereka yang ingin mencubanya.
Setelah itu, penulis dibawa ke ruangan khas untuk menyarung sut lumba dan memilih saiz sesuai. Saiz bagi sut mestilah tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar bagi memudahkan pelumba bergerak di atas jentera yang sedang memecut laju.
Kegagalan dalam memilih sut sesuai boleh membuatkan seseorang pelumba rasa tidak selesa ketika beraksi dan faktor ini juga boleh menjadi penyebab seseorang pelumba itu kecundang di litar.
Namun penulis tidak risau kerana ini hanya pengalaman menaiki motosikal lumba bukannya mengejar podium atau berlumba dengan pelumba lain.
Sut pertama yang disarung membuatkan penulis tidak boleh bernafas dengan sempurna kerana agak ketat ditambah pula dengan pad pelindung belakang yang membaluti badan penulis.
Tapi menurut salah seorang kru yang menguruskan sut pelumba, itulah saiz yang ideal bagi seorang pelumba ketika beraksi dilitar di mana ia memudahkan pelumba menggelongsor jika terjatuh dari jentera.
Penulis tidak dapat bayangkan bagaimana seseorang pelumba boleh bertahan dengan sut yang ketat untuk menghabiskan 18 pusingan di litar yang sudah pastinya keadaan cuaca tidak menentu mengikut negara di mana mereka beraksi.
Setelah mengenakan sut yang sesuai, penulis diajar pula isyarat yang perlu diberikan kepada pengendali jentera jika berlalu sesuatu yang tidak diingini atau berada dalam keadaan tidak selesa.
Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Dada semakin berombak kencang ketika Kuan Meng heng keluar dari pit stop untuk memanaskan tayar dan jentera.
Mendengar saja deruman enjin yang meraung kencang membuatkan penulis bertambah kaget dan panik, namun ramai yang memberi kata-kata semangat serta menenangkan penulis ketika itu.
Sebaik sahaja selesai sesi pemanasan, penulis terus menaiki jentera Yamaha R1 dan dibawa ‘menjelajah’ ZIC sebanyak dua pusingan.
Tiada apa yang dapat penulis gambarkan ketika itu, dengan cuaca sejuk dan pecutan motosikal yang laju membuatkan penulis bertambah panik kerana sebelum ini langsung tiada pengalaman memecut motosikal selaju itu.
Namun pada selekoh kedua, penulis ditenangkan oleh Kuan Meng Heng yang memperlahankan jentera tunggangan. Lega seketika tapi bila masuk sahaja pada pusingan kedua, Meng Heng langsung tidak memberi peluang dan terus memecut laju.
Ketika inilah penulis merasai bagaimana gambaran sebenar yang dihadapi oleh pelumba-pelumba kita ketika beraksi di litar dan menyaingi pelumba lain.
Selesai sahaja sesi Pillion Ride, sehelai kemeja-t menandakan penulis pernah menjelajah litar tersebut diberi sebagai hadiah kenangan yang disampaikan oleh Pengurus Petronas Motosports, Saiful Amri Abdullah. Inilah kenangan terindah yang pastinya tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: