
LELAKI ini tidak pernah terfikir untuk menerima sebarang penghargaan atau membolot sebarang anugerah berkaitan dunia sukan. Penglibatannya sebagai 'orang kuat' yang memajukan sukan bot laju di Malaysia menerusi Formula 1 Powerboat Malaysian Grand Prix sejak tahun 2001 dilakukannya kerana kecintaannya terhadap sukan tersebut.
Namun, jerih payah memajukan sukan itu melalui syarikatnya H2O Sports Sdn. Bhd. menyebabkan Datuk Yahya Abd. Jalil hari ini boleh tersenyum bangga. Tiga hari lalu, dia diangkat sebagai penerima anugerah Tokoh Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) 2010.
"Saya bersyukur dan berasa amat terharu di atas pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan kepada saya sebagai Tokoh ASUS 2010," kata Yahya yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan sijil.
Katanya, pemilihan itu bertitik tolak daripada kepercayaan dan sokongan padu kerajaan terutamanya kementerian, persatuan-persatuan sukan, orang perseorangan dan syarikat swasta yang bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan sukan air bermotor mendapat perhatian daripada masyarakat.
ASUS berlangsung dengan jayanya pada 22 November lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Ia dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed yang mewakili menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Selain Kategori Tokoh, sebanyak tujuh anugerah lain disediakan pada tahun ini iaitu Kategori Pemimpin Lelaki ASUS, Kategori Pemimpin Wanita ASUS, Kategori Persatuan Sukan ASUS, Kategori Keluarga Aktif ASUS, Kategori Penggerak/Sukarelawan ASUS, Kategori OKU Pemimpin ASUS dan Kategori Kelab Sukan Komuniti (KSK) Cemerlang.
Secara amnya, objektif Anugerah ASUS itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pihak yang telah menyahut seruan kerajaan ke arah menjayakan sukan untuk semua.
Selain itu, bagi mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan penggerak sukan di negara ini dan meningkatkan kesedaran serta penglibatan yang menyeluruh masyarakat.
Antara jenis-jenis sukan yang diberi pengiktirafan ialah kategori sukan kecergasan, sukan paralimpik, sukan rekreasi, sukan seni mempertahankan diri dan sukan tradisional.

Pada tahun ini, sebanyak 140 pencalonan diterima dari seluruh negara melibatkan semua kategori.
Pemenang dipilih oleh panel penilai berdasarkan kepada kriteria penilaian yang telah ditetapkan.
Sementara itu, pemenang bagi kategori Penggerak Sukan dan Sukarelawan berjaya dirangkul oleh Nafeesa Bee Habib Abdul Majid.
Beliau merupakan seorang jurulatih senamrobik yang aktif serta kreatif dalam mengendalikan kelas aerobik. Beliau juga mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas dalam bidang kecergasan.
Di samping itu, dia mempunyai ciri-ciri kualiti peribadi yang cemerlang sebagai penggerak sukan untuk semua. Nafeesa berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.
Bagi kategori OKU Pemimpin pula anugerah itu dimenangi oleh Ir. Shaharuddin Sidek. Beliau yang menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU (Pesron) Negeri Sembilan itu sememangnya bergiat aktif dan memegang beberapa jawatan penting dalam pelbagai persatuan sukan di samping menjadi presiden, pengurus, jurulatih dan Ketua Pasukan Persatuan Catur Negeri Sembilan.
Beliau yang termasuk dalam kategori cacat penglihatan itu juga menjadi Timbalan Presiden Pengelola Kejohanan Taekwando Terbuka Negeri Sembilan, tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.
"Jutaan terima kasih kepada pihak Majlis Sukan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua insan istimewa OKU. Tanpa kerjasama anda semua saya tidak mampu mencapai ke tahap ini," katanya ketika ditemui.
Bagi kategori Keluarga Aktif pula, ia dimenangi oleh Dr. Abdul Halim Abdul Manaf manakala kategori Pemimpin Wanita berjaya diraih Habibah Ahmad. Maniam Manikkam yang aktif dalam menggerakkan sukan lumba basikal dan kabbadi pula dianugerahkan kategori Pemimpin Lelaki.
Kategori Kelab Sukan Komuniti Cemerlang pula telah diberikan kepada Kelab Sukan Komuniti Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala kategori Persatuan pula dimenangi Persatuan Permotoran Melaka sementara Persatuan Muaythai Malaysia pula meraih Anugerah Khas juri.
Apa yang pasti pengiktirafan kerajaan melalui ASUS akan menjadi pemangkin kepada individu serta organisasi untuk menyumbang tenaga, jasa dan khidmat bakti mereka secara lebih gigih untuk memartabatkan sukan untuk semua.
Diharapkan ASUS dapat mempertingkatkan peratus masyarakat aktif melakukan aktiviti fizikal daripada 34 peratus kepada 40 peratus menjelang tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: