Saturday, December 4, 2010

Bintang terbesar di galaksi


Perbezaan saiz bintang R136a1 (berwarna biru kanan sekali) berbanding matahari (berwarna kuning) dan bintang-bintang yang lain yang pernah ditemui.


Kerlipan serta cahaya bintang sentiasa menemani langit malam. Sejak kewujudan alam, bintang pasti muncul saban malam.

Malah, kerlipan tersebut turut dijadikan sebagai panduan oleh manusia dalam menentukan arah ketika berlayar mahu pun sebagai rujukan bulan.

Sehingga abad ini, bintang terbesar yang temui hanya sekitar 150 massa matahari (Solar Mass) iaitu unit yang digunakan dalam mengira jisim bagi sesebuah bintang mahupun planet di ruang galaksi.

Malah, matahari sendiri yang juga merupakan bintang terbesar bersaiz sekitar 1.98892 didarab dengan 10 kuasa 30 atau sekitar 332.950 kali ganda massa bumi atau 1.048 kali ganda massa planet Musytari (Jupiter).

Namun baru-baru ini, sekumpulan ahli astronomi antarabangsa yang diketuai oleh United Kingdom telah menemui sebuah bintang terbesar di ruang cakerawala iaitu sehingga 300 massa matahari.

Bintang tersebut kini dikenali sebagai R136a1 sekali gus mengejutkan dunia astronomi kerana sehingga kini saiz bintang terbesar yang boleh diterima dalam komuniti tersebut hanyalah sebesar 150 massa matahari.

Lebih membanggakan, penemuan bintang terbesar tersebut turut melibatkan saintis nuklear fizik dari Malaysia.

Mereka adalah Prof. Madya Dr. Hasan Abu Kassim dan pelajar PhD beliau, Norhasliza Yusof daripada Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Menurut Hassan, ia merupakan kajian Norhasliza dalam teori permodelan bintang yang dinamakan Evolusi Stella bagi mengkaji serta menentukan saiz sesebuah bintang.

Untuk melengkapkan kajian tersebut, Norhasliza perlu kerjasama kumpulan saintis dari luar negara untuk mendapatkan data serta menjalankan uji kaji.

Teori Evolusi Stella telah digunakan Norhasliza untuk tujuan kajian tersebut.

"Ketika Norhasliza membentangkan teori tersebut, ia telah mengejutkan ketua penyelidik bintang dari Universiti Sheffield, United Kingdom dan sekali gus diterima untuk diguna pakai dalam kajian mereka," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teori permodelan tersebut telah digunakan dan dibuktikan benar serta tepat dalam menganggarkan saiz sesebuah bintang.

Jelas Hassan lagi, Norhasliza telah berada di United Kingdom bersama enam lagi pengkaji astronomi sejak Januari 2009 bagi mengukur saiz bintang-bintang baru melalui teori tersebut.

Hasilnya kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh Norhasliza berjaya menemui bintang baru. Salah satunya adalah bintang R136a1 sekali gus merupakan bintang yang terbesar serta telah mengejutkan dunia.

Norhasliza yang menerima biasiswa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) untuk sesi 2008-2009 dan biasiswa Commonwealth bagi 2010 berkata, pada peringkat awal kumpulan beliau seolah-olah tidak meyakini bintang yang ditemui itu adalah sebesar 300 massa matahari.

"Setelah berbandingan serta pengiraan dilakukan berkali-kali akhirnya kami (kumpulan penyelidik) bersetuju bahawa ia (R136a1) merupakan sebuah bintang.

"Malah ketika pengumuman yang dilakukan oleh kumpulan saya ketika itu di sebuah persidangan astronomi di Jerman, ia amat mengejutkan komuniti saintis astronomi seluruh dunia," katanya.

Malah, menurut Norhasliza, terdapat sebilangan saintis yang tidak mempercayai serta mengatakan ia adalah sesuatu yang amat besar dan mustahil.

Namun, akhirnya para saintis tersebut akhirnya akur dan mengiktiraf R136a1 merupakan bintang yang tersebar pernah ditemui abad ini.

Kajian yang melibatkan dua fasa, iaitu pemerhatian dan permodelan dengan UM terlibat di peringkat permodelan.

Hasil maklumat serta data yang diperolehi daripada kedua-dua fasa tersebut digabungkan dan dianalisis bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.

Bagi tujuan tersebut, kumpulan penyelidik yang dianggotai Norhasliza yang dijadualkan menamatkan PhD beliau pada 2011 telah menerima geran penyelidikan sebanyak RM140,000 dari UM.

Melalui penemuan tersebut, ia sekali gus melonjakkan imej negara amnya dan Universiti Malaya khususnya di kalangan komuniti saintis astronomi dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment