Saturday, December 4, 2010

Forensik bantu selesai kes jenayah


Mengenalpasti mayat yang telah reput memerlukan kepakaran forensik. - Gambar hiasan.


DI luaR bilik mayat sebuah hospital di ibu negara, terdengar raungan seorang isteri apabila mengetahui kematian tragis suaminya. Tambah menyedihkan, punca kematian si suami itu tidak diketahui. Pihak polis membuat kesimpulan awal bahawa mangsa dibunuh kejam.

Namun siapakah pembunuh? Apakah motif di sebalik kejadian yang berlaku? Bagaimanakah hendak mengesan pembunuh terbabit? Apakah benar mangsa telah dibunuh?

Dalam situasi berkenaan adakah penjenayah akan bebas begitu sahaja sedangkan isteri si mati itu terpaksa menanggung trauma seumur hidup?

Dalam keadaan beginilah kepakaran bidang forensik amat diperlukan. Ia untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

Pensyarah di Fakulti Sains Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Amidon Anan berkata, apabila berlaku sesuatu kematian yang mempunyai hubung kait dengan perbuatan jenayah, setiap aspek yang terdapat di lokasi kejadian akan diambil kira.

Setiap elemen yang ditemui di tempat kejadian tidak diambil mudah kerana ia mungkin bakal menjadi faktor utama bagi mengesan dalang di sebalik kejadian tersebut.

Satu lagi aspek penting dalam mengesan penjenayah terbabit dan mengheretnya ke muka pengadilan ialah melalui bedah siasat.

Namun kata Amidon, bedah siasat hanya dijalankan jika terdapat keraguan pada punca kematian.

Sekiranya punca kematian jelas, bedah siasat tidak diperlukan. Malah Islam juga tidak membenarkan mayat dibedah tanpa tujuan tertentu kerana perbuatan tersebut menghina dan menganiayai mayat.

“Pemeriksaan tersebut melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenal pasti punca kematian atau setakat mana perubahan, kemalangan dan kecederaan,” ujar beliau yang merupakan bekas Ketua Unit Tempat Kejadian, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas pakar forensik itu lagi, selain pihak polis, doktor juga turut bertanggungjawab mengumpul bukti bagi mendakwa suspek ke muka pengadilan.

Contohnya, dalam satu kes rogol dan bunuh, pihak polis tidak dapat mengesan pembunuhnya melainkan melalui bedah siasat untuk mencari kesan-kesan seperti air mani atau kesan-kesan luka yang melekat pada badan mangsa.

Apabila ujian DNA dijalankan, maka pihak polis mempunyai bukti yang sah dan tepat untuk memberkas penjenayah terbabit.

“Dalam situasi ini, memang bedah siasat adalah wajib dilakukan untuk mengetahui siapa yang bersalah melakukan pembunuhan.

“Dalam kes sedemikian juga kita tidak boleh biarkan penjenayah terlepas begitu sahaja kerana membahayakan nyawa orang lain.

“Secara tidak langsung, hasil bedah siasat tersebut mampu menyelamatkan nyawa orang lain daripada menjadi mangsa kekejaman penjenayah,” jelas beliau.

Hasil bedah siasat katanya, juga penting dalam mengembangkan ilmu forensik.

Hasil penyelidikan yang diperoleh melalui proses itu katanya, mampu mengelakkan nyawa orang lain daripada terancam.

Islam sendiri jelas Amidon, turut membenarkan untuk melakukan bedah siasat berdasarkan kepada prinsip qawa’id al-shari’at iaitu kaedah-kaedah yang menghalang atau membenarkan perkara-perkara yang haram dilakukan.

“Islam menggariskan agar pembedahan dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat,’’ katanya.

Malah menurutnya, dalam satu hadis daripada Aisyah RA., Rasulullah SAW bersabda: “Memecahkan atau mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya atau mematahkannya sewaktu hidupnya. (Riwayat Abu Daud)

Menurut Amidon lagi, dalam Islam mayat adalah sesuatu yang mulia dan tidak boleh dicampakkan ke laut atau dibiarkan di tepi-tepi longkang seperti sampah.

“Sebab itu, orang yang meninggal dunia akan diurus dengan baik iaitu dimandikan, dikafankan dan kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan,” ujarnya .

Tegas beliau lagi, siasatan anggota polis semata-mata belum mencukupi untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

Ia memerlukan gabungan penemuan yang pelbagai jenis supaya penjenayah tidak dapat lari daripada pendakwaan di mahkamah.

“Kerja-kerja pakar forensik tidak selesai selagi tidak memberi keterangan di mahkamah mengenai apa yang ditemui daripada hasil ujian bahan bukti yang ditemui,’’ ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini lebih daripada 20 tahun.

Jelas beliau lagi, perkara paling penting bagi seorang pakar forensik adalah kemampuan menjelaskan bahan bukti supaya dapat difahami umum.

Namun kini, dengan tekonologi moden, ia mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.

Tegas beliau, bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan, ikatan ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: