Friday, December 10, 2010

Anugerah tertinggi buat sifu


VOKALIS kumpulan Hujan, Noh (tengah) yang hadir ke Malam Anugerah MACP 2010 bersama tunangnya, Mizz Nina. Turut kelihatan komposer terkenal, Zul Mahat (kanan)


GANDINGAN duo, M. Nasir dan Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali dengan panggilan Loloq sememangnya cukup mantap sehingga mereka berjaya menghasilkan karya-karya yang berkualiti.

Lagu-lagu ciptaan mereka tidak pernah gagal menghiburkan pendengar dan peminat sehingga berjaya meletakkan kedua-dua figura unggul di kedudukan yang cukup tinggi di persada muzik tanah air.

Sehingga ke hari ini pun, karya ciptaan mereka masih lagi mampu membuai rasa pendengar dan kebanyakan lagu-lagu itu juga sudah mencapai tahap malar segar.

Selepas dua tahun pemergian Loloq, ramai yang menantikan sentuhan magis terbaru M. Nasir dengan penulis lirik lain tetapi nampaknya perjalanan untuk menyaksikan kehebatan itu barangkali pasti akan lebih jauh.

Walaupun pengganti Loloq sukar ditemui sehingga ke hari ini, bagi M. Nasir dia percaya dengan kebolehan dan keistimewaan penulis lirik baru yang bekerjasama dengannya.

Agak keberatan pada awalnya ketika diminta untuk menamakan mereka yang berpotensi itu, akhirnya, M. Nasir mengalah dengan pujuk rayu pihak media yang bertanyakan soalan itu kepadanya.

“Daripada pengamatan saya, memang ada beberapa nama yang saya lihat peluangnya memang cerah dalam industri antaranya AD Samad dan Budi kerana mereka memiliki identiti tersendiri,” luah M. Nasir tanpa selindung.

Seniman kreatif itu ditemui usai Malam Anugerah MACP 2010 yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malam bersejarah itu menyaksikan anak kelahiran Singapura itu menerima pengiktirafan tertinggi dalam kariernya sebagai seorang komposer apabila menerima Anugerah Nadi Cipta.

M. Nasir menerima trofi tersebut daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi tetamu kehormat pada malam itu.

Penerima lain sebelum ini yang pernah diiktiraf dengan gelaran tertinggi dalam anugerah yang menghargai komposer dan penulis lirk tempatan itu ialah Habsah Hassan, Kassim Masdor, Datuk Freddie Fernandez dan S. Atan.

Juga, untuk 10 kali berturut-turut, M. Nasir sekali lagi menerima trofi Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.

Syarikatnya, Luncai Emas pula dinobatkan sebagai Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Melihat kepada perjalanan karier seninya yang sudah menjangkau lebih tiga dekad itu, memang tidak dapat dinafikan lagi gelaran Anugerah Nadi Cipta itu layak menjadi milik komposer hebat itu.

Sempat juga M. Nasir berseloroh ketika memberi ucapan penghargaannya ketika di atas pentas.

“Dulu saya hanya tahu bermain muzik dengan tiga kord sahaja tetapi sekarang sudah lima kord. Semuanya saya belajar daripada pemuzik dan mereka yang berada di sekeliling saya selama ini,” katanya sambil ketawa dan disambut dengan tepukan gemuruh.

Bagi komposer ini, dia sendiri tidak mempunyai sebarang formula dalam menghasilkan lagu-lagunya kerana ilham akan datang kepadanya bila-bila masa sahaja biarpun di kala dia berdepan dengan tekanan.

“Kalau saya berada dalam keadaan tertekan, adalah lebih baik untuk saya mengeluarkan segala emosi saya ketika itu dalam penghasilan lagu-lagu saya.

“Apabila sudah selesai, ia umpama satu kelegaan dalam diri saya dan pendengar akan dapat merasakan apa yang saya luahkan itu dalam setiap karya saya,” ujarnya yang cukup masyhur dengan lagu Mentera Semerah Padi dan Juwita...Citra Terindah itu lagi.

Ketika ditanya tentang projek terkininya, suami kepada Marlia Musa ini sempat mengkhabarkan berita baru apabila dia sedang menyiapkan album terbarunya.

Dalam masa yang sama, dia juga akan menjadi penerbit album terbaru Misha Omar yang akan menjalani rakaman tidak lama lagi selain akan beraksi dalam sebuah konsert tahun depan.

Malam itu juga menyaksikan enam komposer tempatan iaitu Adnan Abu Hassan, Saari Amri, Tam Spider, Aidit Alfian, Pacai dan Taja menyanyikan lagu-lagu popular M. Nasir sebagai tanda penghormatan.

Antara lagu-lagunya adalah Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Mustika, Hati Emas dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Lebih menggamatkan apabila M. Nasir sendiri tampil membuat persembahan dengan mereka secara spontan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: