
SEJAK tiba di sebuah hotel bajet, Siam’s Place Resort yang terletak di Pantai Kamala, Phuket, Thailand, Norzeela Sulaiman, 36, atau lebih mesra dengan panggilan Nozie tidak pernah terfikir mengenai kekerapannya bertemu seorang wanita tempatan di Phuket.
Kehadirannya bersama suami, Hanifah Yoong, 62, dan anak mereka, Aaliyah yang berusia 17 bulan ketika itu adalah untuk menikmati percutian akhir tahun sempena perayaan Krismas pada tahun 2004.
Sebaik sampai pada 23 Disember, Nozie memilih untuk memanjakan diri dengan menikmati satu sesi urutan. Phuket memang terkenal dengan khidmat tukang urut di tepi pantai.
Daripada puluhan tukang urut yang ada, entah bagaimana dia tergerak hati untuk memilih khidmat seorang wanita yang berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Lin. Dari situlah bermula perkenalan Nozie dengan Lin.
Memandangkan Lin agak kurang fasih bertutur bahasa Inggeris, jadi komunikasi mereka lebih banyak menggunakan isyarat tubuh untuk berbual. Namun, ia bukan penghalang untuk membuahkan kemesraan. Lin juga turut memperkenalkan suaminya berkenalan dengan suami Nozie.
Memori tsunami
Malah, setiap pagi Nozie sering melihat suami Lin yang menaiki motorsikal beroda tiga untuk menghantar ais ke kedai yang terdapat di sepanjang pantai Patong dan Karon bersama rakannya yang cacat.
Bagaimanapun, perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa hinggalah berlaku tragedi yang tidak diduga pada percutian tersebut.
Tarikh 26 Disember pasti akan terpahat dalam ingatan Nozie buat selama-lamanya apabila tsunami yang mengorbankan kira-kira 230,000 nyawa melanda di 12 buah negara termasuk Malaysia.
Angkara ombak ganas itu, dia dan anaknya terpisah dengan suami yang dan terpaksa bertarung nyawa menyelamatkan diri dengan bantuan Lin.
“Selepas gelombang pertama melanda, suami cakap mahu berpatah semula ke bilik untuk mengambil barang-barang penting. Saya melarang keras, namun dia tidak peduli.
“Suami meninggalkan saya dan Aaliyah di tepi jalan berhampiran kompleks Fantasea seketika. Tiba-tiba Lin datang mengajak saya pergi dari situ kerana keadaan boleh menjadi semakin berbahaya.
“Meskipun hati agak keberatan untuk meninggalkan suami, tetapi saya tiada pilihan,” terang Nozie yang kemudian menaiki motorsikal roda tiga bersama Lin, suaminya dan seorang rakan.
Apabila Nozie menoleh ke belakang apa yang dilihat hanyalah air bercampur lumpur yang sudah memenuhi semua kawasan peranginan tersebut. Malah, tembok tinggi yang dipanjat untuk menyelamatkan diri sewaktu gelombang pertama melanda sudah pun roboh menyembah bumi.
Keadaan itu menyebabkan Nozie putus harapan sambil menganggap bahawa suaminya mungkin sudah terkorban. Badannya lemah longlai untuk menerima hakikat tersebut.

Lin yang menyedari kesedihan Nozie hanya mampu mengurut-urut bahu Norzie sambil menunjukkan wajah simpati. Suami Lin pula terus memandu hingga sampai ke kaki pergunungan Naka.
Kemudian, mereka terus meredah semak-samun dan mendaki bukit tersebut hingga sampai di satu kawasan yang dipenuhi ramai orang yang terselamat daripada bencana tersebut. Bagaimanapun, ramai di kalangan mereka kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata.
Sementara itu, Hanifah yang disangka meninggal dunia oleh isterinya berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi korban tsunami selepas melalui satu detik cemas iaitu pemisah antara hidup dan mati.
Sebaik sampai di hotel, Hanifah tidak dapat membuka pintu biliknya kerana bilik tersebut telah dipenuhi air. Tetapi di luar bilik, air yang bertakung hanya separas betis. Dia kemudian bertindak memecahkan cermin tingkap untuk mengurangkan paras air di dalam bilik.
Dengan seluruh kekuatan mengharung kedalaman air yang berbaki separas tingkap itu, Hanifah berjaya membuka pintu bilik bagi melepaskan semua air keluar sebelum menemui beg dan komputer riba di atas almari pakaian.
Selang beberapa minit, Hanifah terdengar jeritan kuat dari luar bilik. Dia kemudian berlari keluar dan tiba-tiba melihat ombak setinggi enam meter merempuhnya sekali gus menggelamkannya.
Dalam situasi sukar itu juga, Hanifah berumur 56 tahun ketika itu tetap berdegil dan enggan melepaskan beg paspot serta komputer riba yang dipegangnya. Beliau terus menggunakan kudrat kakinya untuk timbul.
“Beg yang ada di bahu kanan saya terpelanting apabila mengenai sekaki payung pantai. Di keliling saya penuh dengan sampah sarap, batang pokok, motosikal dan kepingan papan yang dihanyutkan bersama arus.
“Akhirnya saya memutuskan untuk melepas beg komputer riba kerana memerlukan kedua-dua belah tangan untuk menyelamatkan diri,” jelas Hanifah yang merasakan saat kematiannya sudah tiba pada masa itu.
Bersama dengan puing-puing runtuhan dan sampah sarap, Hanifah sampai ke tempat dia meninggalkan isteri dan anaknya. Beliau baru tersedar apa yang dilakukannya itu sebagai satu yang bodoh dan sia-sia.
Seribu penyesalan terbit daripada jiwanya kerana terlalu mengikut kata hati. Justeru, meskipun keletihan dan mengalami luka-luka yang teruk, beliau tetap berusaha untuk mencari keluarganya.
Sewaktu Hanifah bertanya petugas di pusat bantuan sementara di Fantasea, sama ada mereka melihat seorang wanita bertubuh kecil memakai kemeja-t warna biru dengan seorang bayi, beliau menerima jawapan yang positif.
Ujar petugas itu, wanita itu mengalami keretakan di kaki dan telah dihantar ke hospital di Patong tetapi bayinya berada di pusat tersebut berhampiran pintu masuk.
“Saya terus bergegas ke sana, malangnya bayi yang dilihat bukan Aaliyah. Lantas saya keluar semula di tengah-tengah keriuhan penduduk tempatan membantu mangsa yang tercedera dan menjerit nama Nozie.
“Bukan sekali dua tetapi ratusan kali nama isteri saya panggil dengan sekuat hati, tetapi tiada sebarang jawapan,” imbau Hanifah yang kemudian diberikan rawatan apabila petugas di hospital terbabit menyedari pendarahan teruk yang dialaminya.
Menjelang pukul 11 pagi, Hanifah mengeluarkan kad sim daripada telefon bimbitnya yang sudah tidak berfungsi lagi. Dia cuba mencari seseorang yang boleh membantu meminjamkan telefon mereka.

Panggilan telefon isteri
Orang pertama yang ditanya merupakan pekerja di Fantasea yang menjadi sukarelawan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Tanpa membuang masa, pekerja itu terus mengeluarkan dan memasukkan kad sim kepunyaan Hanifah.
Panggilan terhadap Alex, anaknya di Kuala Lumpur berjaya dilakukan pada percubaan kedua walaupun ketika itu talian sangat teruk.
“Ayah, is that you? Are you ok?” suara Alex kedengaran cemas di hujung talian.
“Yes, I’m ok. Thank God. Did Nozie called you?” balas Hanifah.
“Yes, she and Aaliyah are saved and it’s in the news. She told that she was up in the hills with many others,” tutur Alex sekali gus memberi khabar gembira yang tidak terhingga buat Hanifah.
Selepas dirawat di hospital, Hanifah dan pelancong asing yang terlibat dalam bencana itu dihantar menginap di hotel lima bintang, Pacific International di Thalang.
Pada pukul 5 pagi 27 Disember, akhirnya Hanifah dikejutkan dengan panggilan telefon daripada isterinya. Sebaik mendengar suara Hanifah, kedengaran esakan Nozie yang waktu itu berada di pejabat daerah Phuket.
Dua jam kemudian, pasangan itu dan anak mereka bersatu kembali selepas 22 jam terpisah angkara tsunami. Ternyata Nozie dan Aaliyah dijaga dengan baik oleh Lin, seorang sahabat yang baru dikenalinya tiga hari sebelum tragedi itu.
Dalam pada itu, Aaliyah, 7, berkata, dia memang tidak dapat mengingati kejadian malang yang menimpa keluarganya sewaktu bercuti di Phuket.
Tetapi, Aaliyah memberitahu, dia gembira kerana mengikut apa yang diceritakan mamanya, sepanjang semalaman berada di hutan, dia langsung tidak meragam.
Meskipun berdepan dengan risiko kehilangan nyawa dalam bencana tsunami, Hanifah Yoong yang merupakan bapa kepada bekas pelumba Formula Satu negara, Alex Yoong mengakui dia tidak pernah trauma dengan laut.
Malah, peristiwa itu membuatkannya menyedari kepentingan menguasai kemahiran berenang di air terbuka seperti laut dan sungai untuk survival diri dalam apa-apa situasi.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ma’rof Redzuan berkata, trauma merupakan penyakit psikologi yang dikenali sebagai kecelaruan stres pascatraumatik atau dikenali sebagai Postraumatic Stress Disorder (PTSD).
“Dalam bidang psikologi ia tergolong dalam bidang kecelaruan kebimbangan atau keresahan disebabkan peristiwa lampau yang pernah dialami.
“Namun, tidak mustahil ada individu yang langsung tidak berdepan dengan masalah trauma walaupun mereka pernah mengalami satu tragedi yang dahsyat.
“Keadaan ini mungkin bergantung kepada kekuatan dalaman mereka dalam menghadapi peristiwa tersebut,” jelas Ma’rof mengulas mengenai kesan trauma yang tidak menjejaskan mangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: