Friday, November 5, 2010

SMK Kajang Utama rai pelajar PPKI


Pelajar PPKI SMK kajang Utama dirai pada majlis Jamuan Akhir Tahun di sekolah itu di Kajang, Selangor, baru-baru ini.


KAJANG - Seramai 70 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama diraikan pada Jamuan Akhir Tahun di sini baru-baru ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya (HEM), Khairiah Ab. Karim berkata, melalui aktiviti seperti ini diharap mampu menjadikan pelajar PPKI Bermasalah Pembelajaran dan Bermasalah Penglihatan itu berdikari dan berdaya saing apabila tamat persekolahan kelak.

Menurut beliau, majlis ini juga dapat mengukuhkan kerjasama antara guru, ibu bapa, pembantu pengurusan murid (PPM) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Kebajikan sekolah itu dalam usaha meluaskan pengetahuan serta pengalaman pelajar, mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di luar bilik darjah merentasi mata pelajaran Sains Sosial dan Alam Sekitar.

"Ia juga mampu merapatkan lagi hubungan sesama pelajar PPKI, guru, ibu bapa dan PPM," katanya pada majlis itu.

Pada majlis itu, pihak sekolah turut meraikan perpisahan guru pendidikan khas, Wan Maziani Wan Muhammad yang akan berpindah ke Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Putrajaya.

Majlis Sambutan Hari Jadi Murid-murid, guru dan PPM peringkat kedua dan ketiga juga turut diadakan.

Menurut Khairiah lagi, objektif majlis itu adalah untuk melatih pelajar berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan masyarakat luar.

"Secara tidak langsung ia dapat menimbulkan rasa dihargai dan diperlukan dalam diri pelajar PPKI ini seterusnya menjadikan mereka lebih ceria dan bersemangat untuk belajar," tambahnya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: