|
|
TAHUN lalu semasa penulis berkunjung ke kediaman pemilik Butik Idaman Hawa, Jeffrey Arazmi, dekorasi rumahnya sudah cukup menarik. Baru-baru ini, penulis dipelawa untuk ke rumahnya sekali lagi bagi melihat dekorasi yang terkini. Pelawaan ini tidak dilepaskan kerana hasrat untuk menyaksikan apakah ilham terbaru insan seni ini dalam menata rias rumahnya.
Rumah teres dua tingkat yang telah didiami selama 15 tahun itu sememangnya nampak seperti rumah-rumah biasa saja. Namun jika melangkah ke dalam, anda akan berasa seperti berada di sebuah studio atau ruang pameran hiasan dalaman.
Jeffrey Arazmi yang begitu teruja dengan seni hiasan dalaman rumahnya berkata, ilham untuk menghias datang mencurah-curah semasa bulan Ramadan lalu. Dia sanggup tidak tidur malam bagi merealisasikan apa yang diidamkan.
Jika sebelum ini, dia memilih konsep moden namun kini klasik glamor menjadi pilihannya.
Katanya, kali ini dia benar-benar ingin menumpukan pada hiasan dalaman dan mahu menjadikan rumahnya sebagai ruang pameran.
''Saya lakukan beberapa pengubahsuaian supaya pelanggan mendapat ilham bagaimana hendak menghias rumah mereka nanti. Contohnya seperti pintu gelangsar di ruang tamu yang saya tutup sepenuhnya dengan simen dan digantikan dengan 10 tingkap empat segi kecil.
''Tingkap-tingkap kecil ini memang nampak unik, selamat dan angin boleh masuk sentiasa,'' kata Jeffrey yang sibuk membuat sentuhan hiasan terakhir di ruang tamu rumahnya.
Tambahnya, walaupun tidak mempunyai kelulusan akademik dalam hiasan dalaman namun minat dalam bidang ini telah lama tersimpan di jiwanya. Cuma kini dia mempunyai kesempatan apabila perniagaan butik pakaian sudah teguh.
Dia berkata, pelbagai barangan hiasan dalaman seperti kerusi, langsir, lampu, tingkap kayu, kabinet kecil dan perhiasan kaca menghiasi ruang tamu.
Setiap barangan adalah masterpiece dan ditempah mengikut idea Jeffrey Arazmi sendiri dengan nama Adam Masterpiece.
Semua barangan tersebut diletakkan pada tempat yang bersesuaian dan sememangnya dijual kepada yang berkenan. Ini bagi memberi idea kepada pelanggan di mana hendak meletakkan barang tersebut.
Dia juga berani bermain dengan warna-warna terang untuk dinding. Warna merah menjadi pilihan utama kerana katanya, warna tersebut menceriakan kehidupan, terang dan memberikan mood yang gembira.
Pada satu bahagian di ruang tamu, dinding dicat hitam dan dilekatkan dengan batu-batu kecil bercampur kulit tiram yang dipecahkan.
Katanya, warna hitam menyegarkan mata dan tidak letih setelah lama menonton televisyen.
Ruang ini diletakkan sebuah katil siang, dua buah kerusi bulat rotan besar dan empat buah kerusi bulat rotan kecil yang selesa.
Agar rumah tidak nampak membosankan, dia memilih kain sari yang dihiasi dengan batu-batu dan manik berkilat sebagai langsir.
Bukan itu sahaja malah pada bahagian tertentu dan siling rumah dilekatkan batu dan kristal yang berkilauan apabila bersatu dengan cahaya lampu.
Menurut Jeffrey, dia amat berpuas hati dengan konsep hiasan rumahnya kini. Sebab itu, dia turut ingin membantu mereka yang ingin menghias rumah namun tidak tahu bagaimana hendak melakukannya.
''Pelanggan yang ingin melihat konsep hiasan rumah saya ini boleh membuat temu janji terlebih dahulu. Perbincangan boleh dilakukan bagi mengetahui kehendak pelanggan. Selain boleh membeli barangan yang disukai di rumah ini, saya juga boleh ke rumah pelanggan bagi mengetahui lebih lanjut mengenai rumah mereka,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: