Puan B sering diherdik dan dihina oleh suaminya melalui panggilan-panggilan yang mengaibkan dan kata-kata kesat yang digunakan suaminya dalam berinteraksi dengannya.
Suaminya tidak pernah memukul atau mengasari Puan B. Tetapi Puan B tidak pernah merasakan dirinya dihargai dan dimuliakan suaminya walaupun dalam keadaan dia berkorban bagi kegembiraan suami tersebut. Sekian lamanya, hidup Puan B berendam air mata.
Kes di atas merupakan contoh tekanan emosi dan perasaan yang oleh suami terhadap isteri hingga boleh menyebabkan isteri hilang harga diri dan kemuliaan sebagai seorang wanita.
Kajian menunjukkan bahawa komunikasi antara suami dan isteri yang tidak berkesan adalah antara punca utama konflik antara suami dan isteri.
Perlu difahami bahawa komunikasi amat penting dalam kehidupan rumah tangga. Tanpa komunikasi mustahil untuk pasangan suami dan isteri menyelesaikan masalah, mengembangkan hubungan secara sihat, membina kebahagiaan rumah tangga dan mencapai tujuan asal perkahwinan iaitu untuk mendapatkan ketenangan jiwa dan keredaan Tuhan.
Sebab itu sebilangan pengkaji ilmu komunikasi keluarga menyatakan bahawa perkahwinan adalah sesungguhnya komunikasi yang berlaku antara suami dan isteri.
Namun ramai suami atau lelaki tidak menyedari bahawa cara mereka berbicara atau berkomunikasi dengan isteri boleh menimbulkan tekanan emosi dan perasaan. Seterusnya menyebabkan hilangnya harga diri dan kemuliaan seseorang wanita tersebut.
Situasi ini amat memilukan apabila ia berlaku pada wanita yang hidupnya diabadikan untuk mengembirakan dan memuliakan suami.
Situasi yang berlaku pada Puan B di adalah satu contoh di mana suaminya tidak menggunakan kekerasan fizikal terhadap isteri. Namun secara sedar atau tidak, sang suami tersebut telah melaksanakan tindakan keganasan psikologi atau emosi melalui perlakuan yang secara terus-terusan menggunakan bahasa dan cara komunikasi yang mendatangkan kesedihan dan kepiluan yang melampau bagi si isteri.
Menurut takrifan keganasan rumah tangga yang termaktub di bawah seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994, keganasan rumah tangga itu juga boleh melibatkan sebarang tindakan, perlakuan atau perbuatan yang menyebabkan kesedihan yang berterusan kepada pasangan dalam perkahwinan tersebut.
Juga melalui pelbagai peruntukan yang wujud di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, tindakan kezaliman emosi yang dilakukan oleh suami boleh dijadikan asas kukuh bagi isteri mendapatkan perceraian daripada suaminya.
Umumnya terdapat pelbagai kaedah yang digunakan suami secara mereka sedar atau tidak, adalah tindakan keganasan psikologi atau emosi terhadap isteri mereka yang tersayang.
Antaranya, tindakan menyepikan diri (silent treatment) dalam rumah sendiri yang akhirnya menjurus kepada penyeksaan batin isteri, apabila isteri tidak dipedulikan sama sekali.
Seterusnya tindakan suami yang mengabaikan tanggungjawab sama ada melalui zahir atau batin, meninggalkan isteri tanpa sebarang khabar berita atau nafkah adalah satu bentuk kezaliman emosi terhadap isteri.
Situasi ini banyak berlaku dalam kehidupan suami yang mengamalkan poligami secara tidak adil dan malahan mendatangkan keseksaan selalunya kepada isteri pertama.
Terdapat juga suami yang sering memperkecilkan kebolehan isteri mereka lantas mengaplikasikan komunikasi yang sentiasa disulami dengan maki hamun dan cercaan kepada isteri tersebut.
Selain itu, ada juga suami yang suka mengawal pemikiran isteri melalui tindakan manipulasi pemikiran dan provokasi perasaan takut atau meletakkan segala kesalahan pada pihak isteri tanpa justifikasi yang waras.
Juga wujud situasi suami yang membuat suasana rumah tangga mereka dalam keadaan dikawal penuh oleh suami dan isteri dilarang sama sekali untuk bercampur atau berinteraksi dengan orang luar walaupun dengan ahli keluarga isteri itu sendiri.
Akhirnya wujud situasi kebergantungan yang melampau oleh isteri kepada suami disebabkan isteri tersebut tiada pilihan lain dalam hidupnya.
Semua situasi ini adalah contoh jelas bahawa keganasan psikologi telah dan masih boleh berlaku dalam masyarakat kita ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: