Tuesday, November 23, 2010

Bicara klip video seks Ariel berlangsung 82 minit


ARIEL ditemu ramah pemberita dari dalam lokapnya sebelum kesnya didengar di Bandung semalam.


BANDUNG - Perbicaraan penyanyi band Peterpan, Ariel berhubung dakwaan dia menyebar klip video seks yang menampilkan lelaki yang memiliki wajah miripnya berlangsung selama 82 minit di sebuah mahkamah di sini semalam.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup bermula pada pukul 8.58 pagi dan berakhir pada pukul 10.20 pagi waktu tempatan.

Selepas perbicaraan itu selesai, Ariel dibawa menaiki sebuah kenderaan menuju ke pusat tahanannya di Rutan Kebonwaru.

Ariel yang merupakan penyanyi terkenal di Indonesia didakwa menyebarkan dua klip video di Internet.

Kes itu mengejutkan penduduk di Indonesia.

Salah satu klip video menunjukkan seorang lelaki yang memiliki wajah seperti Ariel sedang melakukan hubungan seks dengan wanita mirip kekasihnya, Luna Maya, 27, yang merupakan seorang pengacara TV.

Satu lagi klip video menampilkan seorang lelaki memiliki wajah mirip Ariel melakukan hubungan seks dengan wanita seperti bekas kekasihnya, Cut Tari, 33, yang kini sudah bersuami.

Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Ariel, 29, muncul di mahkamah di sini dengan memakai baju berwarna kelabu dan seluar gelap.

Menurut pendakwa raya, Rusmanto, dia didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang antipornografi 2008.

Lebih 500 anggota polis dikerah untuk mengawal kawasan sekitar mahkamah tersebut.

Sejumlah peminat Ariel terutama wanita muda turut hadir di luar mahkamah selain anggota-anggota kumpulan Islam yang melakukan tunjuk perasaan.

"Terdapat banyak kes seperti ini. Kenapa mereka (suspek klip video lucah) dibebaskan dan tidak Ariel.

"Adakah kerana dia (Ariel) seorang yang terkenal? Kami mahukan keadilan," kata seorang pelayan, Ruri Astara.

Kira-kira 20 peminat menyanyikan lagu-lagu popular Ariel dan membawa kain pemidang bagi menuntut pembebasan Ariel.

Penyanyi itu tidak mengaku bersalah mengedar klip video tersebut.

Seorang aktivis Islam, Hirman Firdaus berkata, perbuatan penyanyi itu merupakan satu ancaman ke atas masyarakat dan dia perlu dihukum dengan hukuman maksimum.

"Saya mahu dia dikenakan hukuman berat. Ini (perbuatannya) tidak bermoral," katanya.

Jika disabitkan kesalahan, penyanyi itu boleh dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak AS$672,000 (RM2.08 juta) kerana beberapa kesalahan termasuk mengedarkan pornografi di Internet.

"Ariel membantu untuk menyediakan kemudahan bagi mengedarkan video pornografi itu," kata Rusmanto.

Penyanyi itu kelihatan tenang semasa dia bercakap kepada pemberita di dalam lokap mahkamah.

"Saya sudah membaca dakwaan-dakwaan itu. Saya sudah bersedia untuk berdepan apa sahaja," katanya.

Dia dipenjarakan selepas menyerah diri kepada polis pada 22 Jun lalu ekoran pendedahan media mengenai penyebaran klip video tersebut.


SEORANG anggota sebuah pertubuhan Islam melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut Ariel dihukum di luar sebuah mahkamah di Bandung semalam.


Kekasihnya, Luna Maya turut berada di mahkamah itu.

Bagaimanapun, Luna Maya dan Cut Tari tidak dikenakan sebarang pendakwaan walaupun golongan aktivis radikal mendesak supaya kedua-dua selebriti tersebut dikenakan hukuman rejam sampai mati.

Kedua-dua wanita itu turut kehilangan kontrak komersial ekoran skandal tersebut.

Menurut seorang hakim, perbicaraan itu diadakan secara tertutup bagi melindungi masyarakat daripada mendengar perbuatan seks yang didedahkan sepanjang Ariel dibicarakan.

Kes Ariel akan disambung semula pada 29 November depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: