Tuesday, November 9, 2010

Kesedihan bandar Bergen


DUNIA ketenteraan telah sekian lama membawa kemakmuran terhadap Bergen.


BERITA yang mengatakan bahawa Britain bakal membawa pulang kesemua 20,000 anggota tentera yang berpangkalan di Jerman menjelang tahun 2020 begitu menggemparkan masyarakat di bandar kecil, Bergen.

Bandar itu mengingatkan semua orang pada bekas kem Nazi yang padat, Bergen-Belsen. Di sana, tentera Inggeris dan Kanada dibebaskan pada bulan April 1945, hanya seminggu selepas penulis diari Yahudi, Anne Frank, meninggal dunia pada usia 16 tahun.

Ketika itu, kuasa tentera sedang berada di kemuncaknya.

Laporan dari London walaubagaimanapun, menyatakan bahawa mereka tidak akan mendedahkan jadual spesifik berkaitan pengunduran tentera tersebut sehingga pertengahan 2011.

Datuk Bandar, Rainer Prokop sudah mengetahui ia akan menjadi saat perpisahan yang menyedihkan apabila masanya tiba kelak.

"Mereka bermula sebagai kuasa penjajahan yang mengajar kami erti demokrasi. Tetapi, seiring peredaran masa, mereka menjadi rakan kongsi tentera, jiran, kawan-kawan malah pasangan dan ibu bapa kepada anak-anak di Bergen," kata Prokop, 60.

Faktor ekonomi

Tidak ketinggalan Prokop memberitahu, bahawa mereka juga sebahagian daripada faktor ekonomi yang penting.

Pekan di utara Hanover yang dipenuhi rumah separa kayu itu mempunyai populasi penduduk seramai 16,000 orang.

Mereka telah menjadi jiran selama enam dekad kepada kem Bergen-Hohne Garrison iaitu 'rumah' kepada Angkatan Bersenjata ke-7 yang dihantar berkhidmat ke Bosnia, Kuwait, Kosovo, Iraq dan Afghanistan.

Sejumlah 4,100 rakyat Britain di stesen Hohne termasuk anggota tentera, kakitangan dan keluarga mereka menyediakan garis hidup ekonomi yang penting kepada Bergen.

Mereka sering mengunjungi pub Speaker's Corner, restoran ikan Al's, kedai pakaian tentera Bergen dan empat restoran stik di bandar itu yang memenuhi selera anggota tentera.

"Ini jelas akan menjadi tamparan hebat buat perniagaan di sini. Tetapi, apa yang lebih memalukan adalah apabila menyedari bahawa kanak-kanak di bandar ini tidak akan membesar dalam kelompok komuniti yang bercakap bahasa Inggeris lagi. Kebanyakan mereka kini boleh bertutur dalam dwi-bahasa," ujar Sonja Grabow, 33, seorang peniaga kedai peralatan tentera.

Pangkalan tentera Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis ditempatkan di Jerman Barat selepas Perang Dunia Kedua sebagai tanda sokongan kepada sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tetapi, pada akhir Perang Dingin dan penguncupan defisit bajet telah memaksa mereka memikirkan semula keutamaan aspek ketenteraan.


JALANAN di Bergen ini lazimnya meriah menjelang hujung minggu.


Perdana Menteri Britain, David Cameron membentangkan rancangan penarikan keluar itu sebagai sebahagian daripada langkah berjimat kerajaan.

"Sumbangan besar yang dilakukan tentera Britain di Jerman sewaktu pasca perang tidak boleh dinafikan dan saya fikir ramai rakyat Jerman berterima kasih terhadapnya," kata jurucakap Cancelor Jerman, Angela Merkel, Steffen Seibert selepas pengumuman Cameron pada 19 Oktober lalu.

Penyumbang ekonomi

Jurucakap tentera, Mike Whitehurst berkata sejumlah 20,000 tentera Britain, kira-kira 23,000 perkakasan dan sekitar 4,700 kakitangan awam negara itu menyumbang sebanyak 1.3 bilion euro (RM5.6 bilion) kepada ekonomi Jerman setiap tahun.

Setengah daripada kakitangan itu akan kembali ke Britain menjelang 2015 manakala baki yang lain sepanjang lima tahun berikutnya.

Prokop berkata, dia tahu masanya akan tiba namun dalam mesyuarat mengenai perintah tersebut, dia percaya bahawa ia akan mengambil masa lebih lama daripada 10 tahun.

"Apa yang memeranjatkan saya adalah betapa radikalnya keputusan itu dibuat," tegas Prokop.

Tambahnya, sebanyak 200 rumah baru dibina sejak tiga hingga empat tahun lalu untuk anggota tentera yang berkhidmat di sana dengan kebanyakan kontrak sewa dimeterai hingga 2025.

Pesara, Leftenan Kolonel Norman Wilkins kali pertama datang ke Bergen pada tahun 1952 sebagai seorang askar muda dan kemudian kembali untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama isterinya yang merupakan rakyat Jerman. Ternyata,77 dia juga sedih dengan keputusan tersebut.

"Apabila kamu berada di dalam pasukan tentera, amat sukar untuk berkawan. Tetapi, itu yang saya lakukan di Bergen. Ia telah menjadi seperti rumah sendiri," kongsi bekas tentera berusia 78 tahun yang dipilih sebagai ahli majlis perbandaran di Bergen.

"Kami lebih bimbang mengenai tentera Rusia berbanding tentera Jerman," kata Erika Slatter yang menjalan perniagaan Restoran Al's selama 23 tahun bersama suaminya yang merupakan bekas tentera Britain.

"Sesetengah perniagaan akan merudum. Itu satu perkara yang pasti. Tetapi, anggota tentera Britain yang akan dihantar pulang sudah tentu merindui kehidupan di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: