Tuesday, October 12, 2010

Zul Huzaimy elak kontroversi



Tahun lalu, industri seni hiburan tanah air dikejutkan dengan kisah percintaan pelakon Zul Huzaimy Marzuki, 29, dengan seorang wanita yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Ekoran kisah cinta itu, Zul Huzaimy atau lebih mesra dengan panggilan Zul dikatakan telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rumah tangga. Paling mengejutkan apabila pelakon ini dikatakan turut mengasari isterinya.

Kontroversi tersebut telah menyebabkan pelakon yang popular dengan watak antagonis ini ke mahkamah bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya itu.

Namun, segala-galanya seperti sudah berlalu. Bagaikan ada lembaran baru dalam hidup pelakon ini. Zul yang ditemui mengakui kesilapannya dan sedang memperbaiki setiap kesilapan dan kelemahan dirinya.

“Setiap manusia pastinya ada melakukan kesilapan. Saya sendiri tidak terlepas. Apa yang pasti, kesilapan itu tidak mahu saya ulangi lagi. Biarlah yang lepas itu berlalu pergi.

“Di atas peristiwa itu saya banyak belajar. Saya juga menerima banyak nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan saya. Sekarang masanya saya mengorak langkah dan memulakan semuanya kembali.

“Saya akui pernah lalai dalam menjalankan tanggungjawab saya terhadap keluarga dan menyebabkan banyak masalah telah berlaku.

“Apa yang boleh saya katakan, saya mahu buka buku baru dan tutup buku lama. Kalau boleh buku lama tu saya buang jauh-jauh. Sebagai selebriti, kontroversi dan gosip sedikit sebanyak membantu dalam kerjaya. Saya tak nafikan perkara ini.

“Cuma saya berharap tidak akan berlaku lagi perkara yang sama. Saya mahukan keharmonian dalam hidup saya,” katanya yang bakal muncul dengan filem terbarunya Haq tidak lama lagi.

Zul berkata, sejak insiden tersebut, dia kini tidak lagi mengaktifkan laman sosial Facebook miliknya.

“Sudah lama saya tak aktif dalam Facebook. Bukan takut, cuma lebih berjaga-jaga. Lagi pula sekarang ni ada tiga akaun yang menggunakan nama saya sebagai profil.

“Saya tak kisah pun. Siapa nak guna gambar dan nama saya. Tapi, janganlah sampai melampaui batas. Selagi saya boleh berdiam, saya diamkan saja.

“Saya harap peminat tidak keliru. Buat masa ini memang saya tak aktif apa-apa. Jika ada sesiapa terbaca mengenai diri saya di laman sosial itu, ia bukan datang daripada diri saya.

“Saya sendiri tak tahu siapa yang buat dan apakah tujuannya. Yang penting, selagi ia tidak mengganggu kerjaya dan peribadi saya, saya tidak akan mengambil tindakan apa-apa,” katanya lagi yang pernah dinobatkan sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik pada tahun 2008 menerusi filem Wayang.

Selain berlakon, Zul kini terlibat secara langsung dengan program Mari Menari sebagai penasihat dan juri.

“Pada mulanya memang saya terkejut dan perkara pertama yang saya ajukan soalan kepada pihak produksi mengapa saya dipilih. Ternyata pihak produksi mahukan saya membantu para peserta untuk mempertingkatkan keyakinan mereka ketika berada di pentas.

”Selain keyakinan, saya juga akan pastikan mereka menjiwai setiap gerak tari yang akan dipersembahkan. Bagi saya, semua orang boleh menari tetapi jiwa menari itu sendiri perlu di asah agar apa yang akan dipersembahkan sampai kepada penonton,” katanya.

Program Mari Menari yang diilhamkan oleh Astro akan menemui penonton bermula 16 Oktober ini pada jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: