PASTI ramai rakyat Malaysia yang teringin mencuba aksi-aksi ekstrem sukan luncur seperti yang sering ditayangkan di dalam drama-drama atau filem Hollywood, sama ada meluncur di pantai, bodyboarding, wakeboarding atau snowboarding.
Kini semua aksi lasak sukan-sukan ekstrem berkenaan dapat dilakukan di atas platform yang sama iaitu di FlowRider. Ia merupakan simulator meluncur pertama yang disediakan untuk pengunjung setia Taman Tema Sunway Lagoon.
Pengunjung akan teruja melihat ombak tiruan berkelajuan tinggi yang menolak kira-kira 200,000 liter air ke atas simulator FlowRider, sekali gus mencipta laluan air yang laju dan berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Taman Tema Sunway Lagoon, Aaron Soo berkata, teknologi FlowRider membolehkan pengunjung menikmati pengalaman lebih daripada meluncur, manakala di negara lain, aktiviti seperti itu sudah dilakukan sejak lebih sedekad lalu.
"Kini tiba masanya kami membawa trend ini ke Malaysia," katanya yang sejak sekian lama meletakkan FlowRider di bawah senarai utamanya sejak memegang jawatan CEO Sunway Lagoon pada tahun 2005.
Menurut Aaron, pembinaan FlowRider di Sunway Lagoon menelan kos RM3 juta bagi kelengkapan, pemasangan dan tema rekaan dan hiasan.
"Sebagai simulator meluncur pertama di Malaysia, kami menetapkan satu standard untuk FlowRider ini. Memandangkan Sunway Lagoon mempunyai lebih 80 permainan dan tarikan, kami meletakkan usaha yang lebih supaya FlowRider mendapat perhatian pengunjung.
"Bagaimanapun, rekaan hiasan di sekitar FlowRider tidak sama dengan tempat-tempat lain," tambah Aaron.
Pelancaran FlowRider di Surf Beach @ Sunway Lagoon baru-baru ini yang disokong oleh Oakley itu menampilkan aksi lagak ngeri peluncur mahir Sunway Lagoon menggunakan bodyboard.
Mereka memakai pakaian Donning Oakley sambil meluncur mengikut irama muzik pantas dan menghiburkan pengunjung. Aaron tidak ketinggalan menunjukkan bakat meluncur di simulator berkenaan bersama peluncur lain.
Dalam pada itu, sebagaimana sukan luncur lain, FlowRider mencabar peluncur untuk mencipta gaya tersendiri dengan menggabungkan gaya wakeboarding atau skateboarding.
"Sukan ini menggabungkan teknik-teknik sukan luncur yang pelbagai. Semuanya boleh dicuba di FlowRider," katanya.
Mencabar untuk dilakukan mahupun dengan melihat sahaja, FlowRider direka untuk pergerakan lasak tetapi tidak akan mencederakan kerana ia dibina menggunakan komposit membran yang dapat menyerap impak. Sehubungan itu, pengunjung boleh bangun kembali dan mencuba berkali-kali.
Ia muat untuk tiga peluncur pada satu-satu masa. Ia juga mempunyai pembahagi yang membolehkan dua orang peluncur meluncur dengan selesa. Untuk meluncur seorang diri, pembahagi itu boleh dicabut untuk ruang yang lebih selesa.
FlowRider dibuka bermula pukul 11 pagi hingga pukul 6 petang kecuali Selasa, pada pukul 10 pagi hingga 6 petang pada hujung minggu. Untuk maklumat lanjut layari laman web www.sunwaylagoon.com atau www.facebook.com/sunwaylagoonMsia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: