SEPATAH kata daripada pendeta lama, pertalian suami dan isteri tidak ubah seperti perjalanan sang semut hitam yang meniti batu hitam yang licin di tengah malam yang amat kelam. Ia seolah-olah memberi gambaran betapa mudahnya ikatan yang hanya berpaksikan akad itu tergelincir daripada laluan sepatutnya.
Apa yang berlaku kepada rumah tangga Siti Norsaida Taruddin, kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ketika ini boleh disamakan dengan analogi semut hitam tersebut. Tersasar seketika, hanya usaha dan doa mampu mengembalikan kebahagiaan.
Jika Saida bukan bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam, jika Saida bukan juga penyanyi yang sedang ingin menggilap nama, jika Saida bukan juga ibu kepada empat cahaya mata yang masih kecil, Siti Nurunnyssa (13), Anas (11), Khalid (7) dan Siti Nurul Marshitah (4) dan jika Saida juga bukan kakak kepada Siti Nurhaliza, gelora rumah tangganya pasti tidak mendapat liputan hangat.
Biarpun agak kejam untuk diterima oleh anak-anak dan keluarga, gejolak keretakan dan sejauh mana kebenaran wujudnya orang ketiga dalam jodoh Saida, 34, dan Ghazali, 40, tidak sudah-sudah diperkatakan orang. Sejak dua minggu lalu, ketika timbulnya khabar angin tentang keberantakan hubungan mereka sehinggalah kes difailkan seterusnya menerima penangguhan daripada Mahkamah Syariah, Selasa lalu, Saida dan Ghazali masing-masing mengambil tindakan untuk mengunci mulut. Mereka tidak memberikan sebarang respons kepada media. Mujurlah ada kakak ipar Saida, Rozie Abdul Rashid yang menjadi orang perantaraan untuk bertanya khabar.
Selepas dipujuk-pujuk dengan bantuan Rozie sekali lagi, Saida berlembut hati untuk bercerita biarpun tanpa bersuara. Tiga hari lepas, Saida melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) akhirnya buat pertama kali memberi kenyataan tentang kemelut rumahtangga yang sedang dihadapi.
"Saya harap pihak wartawan tidak berkecil hati dengan tindakan saya sebelum ini. Saya bukan melarikan diri atau tidak mahu menjawab segala pertanyaan media. Ada sebab kenapa saya harus bertindak begitu, terlalu banyak hati yang harus dijaga walaupun memang saya agak kurang senang dengan cerita dan spekulasi yang cuba dilemparkan," luah Saida menerusi SMS.
Tanpa menyatakan sebab musabab sehingga tuntutan penceraian nekad difailkan, Saida sekadar menjelaskan apa yang telah diketahui umum.
"Kes fail tuntutan cerai buat masa ini diberikan penangguhan dan saya harap, jangan ada cerita-cerita yang tidak benar dikeluarkan kerana sedikit sebanyak ia akan mengganggu kehidupan kami. Hormatilah keluarga saya, keluarga suami saya dan juga anak-anak saya. Berikan kami masa dan ruang. Saya harap perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Doakan yang terbaik buat saya dan suami," pohon Saida.
Rabu lalu, Saida serta suami tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ketika kes penceraian mereka disebut. Kes itu ditangguhkan sehingga 20 Disember nanti.
Ditanya terpalitkah faktor populariti dan sejauh mana benarnya spekulasi kehadiran orang ketiga mendatangkan impak kepada kerukunan hubungannya dengan suami, Saida kembali berdiam. Hanya permintaan 'doakan yang terbaik buat Saida dan suami' yang dibalasnya kepada Sensasi Bintang.
Selaku orang tengah dan sebahagian daripada anggota keluarga, Rozie pula menjelaskan: "Saida dan suami masih tinggal sebumbung dan tiada penceraian. Tindakan Saida berdiam itu ada moleknya, daripada banyak bercakap, lebih banyak buruk daripada baiknya.
"Saya tidak boleh komen tentang populariti atau orang ketiga yang dikatakan sebagai punca keretakan, itu hal rumah tangga Saida dan setakat ini juga, karier Saida masih berjalan mengikut perancangan dan dia masih menjalankan kerja-kerja di Siti Nurhaliza Productions (SNP) seperti biasa," ulas Rozie tentang perkembangan terbaru Saida yang muncul dengan duet Apresiasi bersama Saerah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: