Wednesday, October 27, 2010

Monopoli Mizz Nina


MIZZ NINA terkejut mampu tercalon dalam empat kategori.


KELAHIRAN semula Mizz Nina yang sebelum ini bersama kumpulan Teh Tarik Crew dalam lapangan seni tanah air dilihat membuahkan impak bermakna. Buktinya, selain diterima dengan lapang dada oleh khalayak, pelontar What You Waiting For itu dicalonkan sebanyak empat daripada 16 kategori yang dipertandingkan pada Shout! Awards 2010.

Memasuki edisi kedua penganjuran oleh 8TV, ia merupakan penyertaan pertama wanita berusia 30 tahun itu. Kategori yang mengisi nama Mizz Nina pada anugerah tersebut - Flava Award (Hip Hop/R&B Awards), Break Out Award (Best New Act), Hot Chick Award dan Popstar Award (Pop Award).

Mizz Nina yang ditemui pada majlis pengumuman calon akhir Shout! Awards 2010 di ibu negara baru-baru ini tidak mampu menyembunyikan perasaan gembira apabila menjadi artis paling banyak menerima pencalonan dan disenarai dengan nama-nama hebat dunia hiburan tempatan.

“Terus terang, saya sendiri terkejut dan tidak menyangka mampu tercalon sebanyak empat kategori. Sudah semestinya saya gembira dan amat bersyukur dengan kepercayaan yang diberi oleh individu-individu profesional dalam bidang muzik serta peminat. Berada dalam pencalonan akhir begitu membahagiakan saya.

“Saya memandang positif tentang perkara ini. Ia bermaksud bahawa orang ramai mula suka kepada saya dan karya yang dihasilkan. Cuma, saya mahu berusaha lebih gigih selepas ini kerana empat pencalonan diterima sekadar permulaan kepada karier. Banyak lagi perlu dijalani pada hari mendatang.

“Soal menang atau kalah, saya tidak mahu fikir. Yang penting, pada hari penganjuran Shout! Awards 2010, saya dan artis lain dapat berkumpul sudah dianggap lebih bernilai daripada segalanya," jawab Mizz Nina sambil tersenyum mengenang dirinya yang semakin menuju hierarki sukses.

Shout! Awards yang merupakan majlis pengiktirafan kepada sektor muzik, televisyen, filem dan radio tanah air memilih pemenang berdasarkan undian secara maya melalui www.shoutawards.com.my atau khidmat pesanan ringkas (SMS) di 33399 daripada peminat bermula 18 Oktober lalu serta berakhir 19 November ini.

Selain Mizz Nina, penyanyi dengan imej bertudung, Yuna tidak meletakkan sebarang ekspektasi tinggi terhadap pencalonannya pada kategori Popstar Award bersaing dengan Aizat, Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti, Jaclyn Victor, Mizz Nina dan Zee Avi.


JACLYN VICTOR berentap dengan Mizz Nina dalam kategori Pop Star Award.


Malah, dia menganggap pencalonan lain termasuk Break Out Award dan Mobile Artiste Of The Year Award menerusi lagu Dan Sebenarnya sekadar rezeki tidak terhingga daripada Tuhan. Kontra dengan niatnya, dia hanya ingin berkongsi bakat seni dimiliki dengan peminat. Itu mencukupi buatnya.

“Biarpun ada sebilangan pihak cakap laluan untuk menang mudah kerana memperoleh kemenangan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) beberapa bulan lalu, saya sebaliknya hanya mahu menikmati perjalanan Shout! Awards yang baru disertai buat kali pertama ini.

“Tahun lalu saya tidak sempat melibatkan diri pada anugerah ini kerana lambat diberitahu untuk menghantar penyertaan. Kalau hendak cakap saya dengan mudahnya boleh menang, ia tidak benar sama sekali. Calon-calon bertanding dengan saya juga dilihat hebat.

“Saya tidak berharap untuk menang kerana dapat ambil bahagian pada Shout! Awards sendiri menjadi kenangan paling indah. Paling pasti, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang terus mengundi. Saya cukup hargainya,” spontan jelasnya yang menerima tiga pencalonan secara total.

Selain Yuna, artis yang menerima bilangan pencalonan sama ialah Azlan & The Typewriter – Rockstar Award (Rock Award), Power Vocal Award (Powerful Vocal Award) dan Break Out Award ( Best New Act) serta Faizal Tahir menerusi Rockstar Award, Power Vocal Award dan Hot Guy Award.

Dalam pada itu, Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim menjelaskan, pihaknya sengaja menjadikan jumlah enam calon akhir bagi setiap kategori dipertandingkan berbanding lima pada awal penganjuran acara penganugerahan berkenaan.

“Oleh kerana ramai artis ingin turut serta pada acara ini, pihak kami mengambil keputusan untuk menambah satu lagi senarai akhir dalam setiap kategori. Persaingan pada musim kedua tidak dinafikan lebih sengit. Maka, tiada salahnya jika kami lakukan pembaharuan,” ujarnya yang bakal mengadakan sidang media lain untuk berbicara tentang senarai artis menjayakan persembahan kelak.

Shout! Awards bakal berlangsung pada 20 November ini bermula pukul 8.30 malam dipancarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur di 8TV (saluran 708).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: