Sunday, October 31, 2010

Derma semua organ


ADA kesan parut berbentuk lambang kereta Mercedes di perut Hoong Ling. Beliau menganggap organ manusia sama seperti alat ganti kereta.


HAKIKATNYA, kesihatan Chew Hoong Ling, 30, tidak begitu memuaskan. Beliau mengalami masalah selesema berpanjangan, gastrik, pekak telinga kiri sejak lahir dan hanya mempunyai satu buah pinggang.

Namun, kekurangan itu tidak menghalang wanita kecil molek kelahiran Ipoh, Perak ini mendermakan sebanyak 60 peratus hatinya kepada seorang pesakit hepatoblasma pada tahun 2009.

Penerima hatinya itu ialah seorang remaja perempuan dari Kuala Lumpur, Lee An Qi, 14. An Qi menderita penyakit kanser hati sejak usia 13 tahun.

“Tiada seorang pun ahli keluarganya memiliki kumpulan darah yang sama dengan An Qi kecuali neneknya yang tidak boleh menjadi penderma kerana faktor usia.

“Jadi saya ambil keputusan untuk membantu,” kata Hoong Ling yang pernah mengacarakan Selamat Pagi Malaysia di TV1 dan sekarang aktif memberi ceramah mengenai pendermaan organ.

Menurut Hoong Ling, hatinya telah lama dijentik kesedaran menderma organ sewaktu berumur 13 tahun lagi iaitu selepas membaca buku kecil di sudut bacaan Persatuan Buddha Hilir Perak di Teluk Intan.

Berita budak berusia 11 tahun, Ong Ai Ling yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 20 April 1986 turut dimuatkan dalam buku itu.

Ai Ling, murid darjah enam Convent St. Anne di Kulim, Kedah berikrar untuk mendermakan kedua-dua matanya selepas kematiannya. Ai Ling ialah penderma mata paling muda di negara ini ketika itu.

“Ia seperti ABC atau permulaan kesedaran pendermaan organ kepada saya. Artikel mengenai Joy of Giving (Kegembiraan Memberi) itu ternyata menjadi inspirasi kepada saya,” kenang beliau.

Semenjak itu, satu persatu organ yang melekap kejap di tubuhnya diikrar untuk didermakan.

Semua organ yang boleh didermakan iaitu hati, mata, buah pinggang, paru-paru, jantung, kulit dan tisu, telah diikrarkan oleh Hoong Ling untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan selepas kematiannya.

E-mel

Dalam bukunya yang baru diterbitkan, I don’t Know You but Let Me Save You, Hoong Ling menceritakan pengalamannya mendermakan hati kepada An Qi, bermula daripada e-mel berantai yang diterimanya hinggalah kisah selepas beliau menjalani pembedahan pemindahan hati.

“Saya menerima e-mel itu pada November 2008. Saya sangka pesakit itu (An Qi) memerlukan darah jenis O+. Tetapi apabila saya menghubungi keluarganya, dia sebenarnya memerlukan hati baru.

“Saya tergamam sekejap. Yelah, saya ingatkan apa yang saya ikrarkan selama ini akan ditunai selepas saya mati. Tak sangka ia perlu dilakukan semasa saya masih hidup,” katanya dalam ketawa halus.

Cabaran pertama Hoong Ling untuk melaksanakan cita-cita murninya itu ialah mendapatkan keizinan ibu bapanya. “Anggap saja ia sebagai hadiah hari lahir dan memberi kehidupan baru pada seseorang,” begitulah kata-kata pujukan wanita ini kepada bapanya, Chew Wah Chye.


HOONG LING dan An Qi (kiri) selepas pembedahan pemindahan hati di Singapura Januari tahun lalu.


Mujurlah si bapa seorang yang sangat memahami. Sementelah bapanya, Wah Chye, lulusan Universiti Perubatan Tradisional Guangzhou di China, gemar menolong orang.

“Bapa saya menjadi pemain keyboard dan saksafon pada malam hari dan doktor tradisional pada sebelah siang. Dia belajar perubatan tradisional Cina kerana satu sebab sahaja iaitu mahu membantu orang lain.

“Dia mengenakan caj yang minimum untuk rawatan akupuntur khususnya bagi pesakit strok dan pesakit miskin,” beritahu Hoong Ling.

Perjalanan hidup penderma organ ini selepas itu diselang-seli dengan kejutan atau mungkin juga kebetulan.

Bapa

Apabila bertemu buat pertama kali dengan keluarga An Qi di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, Hoong Ling terkejut kerana bapanya dan bapa An Qi rupa-rupanya saling mengenali.

Manakala semasa diperiksa di sebuah makmal perubatan di Subang Jaya, Selangor bagi memastikan beliau benar-benar layak mendermakan hati, Hoong Ling terkejut apabila doktor memberitahu beliau tidak mempunyai buah pinggang sebelah kiri.

“Saya hampir terlompat daripada katil kerana kita sepatutnya memiliki sepasang buah pinggang. Dua orang doktor lain yang saya temui selepas itu turut mengesahkan saya hanya ada satu buah pinggang tetapi lebih besar sedikit berbanding saiz normal. “Saya menamakannya ‘penapis turbo’,” kata Hoong Ling.

Menurut Hoong Ling, ramai yang bertanya kepadanya kenapa beliau sanggup mendermakan hati dan semua soalan itu dijawab dengan pertanyaan ‘kenapa tidak?’.

“Gembira yang sebenar adalah pada saat saya melihat An Qi tersenyum lebar kepada saya ketika jururawat membuka tirai penghadang selepas beberapa hari pembedahan,” kata Hoong Ling yang agak fasih berbahasa Tamil kerana sering bergaul dengan rakan-rakan berketurunan India semasa di sekolah.

Pembedahan pada Januari tahun lalu itu dilakukan di Pusat Transplan dan Penyakit Hati Asia (ACLDT) di Singapura, sebuah pusat perubatan yang diasaskan oleh Datuk Dr. K.C. Tan pakar perubatan yang berasal dari Kuala Kubu Baru, Selangor. Bagaimanapun, An Qi meninggal dunia sembilan bulan kemudian akibat jangkitan paru-paru.

Parut

Jika ada yang takut mengenai parut pembedahan, Hoong Ling menjelaskan bukan saiz atau keadaan parut yang patut dinilai tetapi apa yang menyebabkan parut itu.

Setiap kali memandang parut itu, Hoong Ling yakin yang dia telah mengambil keputusan yang tepat dan bijak iaitu menyelamatkan satu lagi nyawa.

“Ajaibnya, saya semakin sihat setelah mendermakan sebahagian hati saya. Saya tidak lagi mengalami demam atau selesema yang berpanjangan. Ia seperti ubat ajaib,” katanya.

Sejak menjadi ahli Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia Jun lalu, kehidupan Hoong Ling semakin aktif.

Kata beliau, program-program kesedaran mengenai menderma organ itulah yang memacu kesihatannya pada tahap yang terbaik.

Lebih menakjubkan, hanya selepas lima bulan pembedahan, Hoong Ling telah berlari sejauh lima kilometer dalam acara KL Marathon 2009 dan 10 bulan kemudian, dia berlari dalam Larian Jambatan Pulau Pinang.

Kepada pembaca di luar sana hanya satu pesan Hoong Ling - dermalah organ dan anda akan hidup walaupun selepas mati. “Tubuh kita ibarat kereta. Alat ganti kereta mungkin digunakan semula untuk kereta yang lain, sama seperti tubuh kita. Bila kita mati, ‘alat-alat ganti’ itu iaitu organ-organ kita, akan terus tinggal di dunia untuk berkhidmat kepada orang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: