Friday, October 29, 2010

Punca warga emas hilang penglihatan




SETIAP lima saat, seorang akan hilang penglihatan. Dijangkakan lebih tujuh juta manusia di dunia hilang penglihatan setiap tahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 314 juta orang di seluruh dunia hidup dengan masalah penglihatan yang rendah dan hilang penglihatan.

Keadaan itu semakin meningkat dengan pertambahan bilangan warga emas dan perubahan kepada pemakanan serta gaya hidup yang memberi kesan kepada kesihatan.

Tanpa langkah pencegahan yang berkesan, angka mereka yang mengalami masalah penglihatan di seluruh dunia dijangka mencecah 76 juta orang menjelang tahun 2020.

Namun, 80 peratus daripada kes tersebut boleh dielakkan sama ada ia boleh dicegah (20 peratus) atau boleh dirawat (60 peratus) yang membolehkan daya penglihatan dikekalkan.

Degenerasi makular berkaitan umur (AMD) merupakan sejenis penyakit mata yang kronik. AMD merupakan salah satu punca utama kehilangan penglihatan yang serius di kalangan orang dewasa yang berumur 50 tahun ke atas.


Pemeriksaan mata secara kerap dapat mengesan AMD pada peringkat awal.


Ia juga merupakan salah satu punca hilang penglihatan di kalangan orang dewasa. Berbeza dengan tanggapan orang ramai, hilang penglihatan, khususnya merujuk kepada AMD, boleh dielakkan.

AMD adalah sejenis penyakit yang boleh menjejaskan penglihatan pusat tajam yang diperlukan untuk aktiviti pandangan lurus ke depan mata seperti membaca, memandu kereta, membaca masa dan mengecam muka.

Pakar Runding Oftalmologi, Dr. Lim Kian Seng memberitahu, kadangkala AMD berkembang sangat perlahan sehingga seseorang itu tidak dapat mengesan sebarang perubahan pada penglihatan mereka.

"AMD tidak menyebabkan kesakitan tetapi ia melemahkan daya penglihatan untuk melihat apa yang berada di depan mata. Ada dua faktor utama seseorang berisiko menghidap AMD. Pertama, peningkatan usia kerana AMD dialami sekitar 30 peratus daripada mereka yang berusia 70 tahun ke atas dan kedua, salah satu mata telah diserang AMD," katanya pada forum Age-Related Macular Degeneration (AMD) di Hotel Armada, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Kian Seng, kira-kira 40 peratus daripada penghidap AMD sebelah mata akan diserang AMD pada mata yang lain dalam tempoh lima tahun.


PENGHIDAP AMD berhadapan dengan visual skotoma pusat yang menjejaskan penglihatan.


Antara faktor risiko yang menyebabkan AMD adalah tabiat merokok, genetik, kurang sesetengah vitamin dan zat mineral, kurang senaman, kaum dan jantina.

"Penghidap AMD akan menghadapi kesukaran hidup dan keadaan ini menyebabkan kualiti hidup terjejas kerana mereka tidak boleh membaca, memandu, berisiko untuk jatuh, mengalami tekanan hidup dan sukar mengurus diri," ujarnya.

Kesedaran rendah

Dalam pada itu, seorang lagi pakar runding oftalmologi, Dr. Ahmad Fauzi Md. Sharif memberitahu, kesedaran AMD di Asia masih rendah.

"AMD menyebabkan pendarahan dan parut pada pertengahan retina yang boleh menyebabkan kecacatan penglihatan dan hilang penglihatan.

"Kajian mendedahkan faktor gabungan seperti merokok, usia meningkat, obesiti, genetik, darah tinggi dan pendedahan sinar UV secara berlebihan pada mata menyumbang kepada risiko AMD," katanya.

Salah satu simptom AMD adalah gangguan penglihatan pada garisan lurus. Bagaimanapun, penyakit itu mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awal.

"Tanda-tanda lazim AMD yang lain termasuklah ruang putih atau gelap yang kabur pada pertengahan penglihatan, persepsi warna yang pudar dan peningkatan rasa sensitif pada cahaya.

"Pada peringkat lewat, pesakit-pesakit mungkin akan mengalami penglihatan terhad atau hanya dapat melihat dari pandangan sisi akibat tersasarnya penglihatan induk," jelas Ahmad Fauzi.


RETINA normal yang dilihat menerusi kamera fundus.


Walaupun tiada kaedah yang dapat menyembuhkan AMD pada peringkat lewat, pengurusan dan rawatan yang teratur boleh memperbaiki penglihatan seseorang pesakit itu untuk menikmati hidup yang lebih baik.

"Menangani AMD pada peringkat awal sangat penting untuk mengurangkan risiko hilang penglihatan dan kami mengesyorkan supaya individu yang berusia 60 tahun ke atas menjalankan pemeriksaan mata setiap tahun.

"Rawatan degenerasi makular biasanya diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan mereka hilang penglihatan. Antara pilihan penglihatan lazim termasuklah terapi antiVEGF, terapi fotodinamik dan terapi laser," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: