Friday, October 29, 2010

Impian Mahawangsa Band


MAHAWANGSA dianggotai (dari kiri) Azuar, Alan dan A. Saiful.


DIANGGAP masih hijau berdasarkan hayat penubuhannya, sebuah formasi yang dibentuk dengan nama Mahawangsa sejak Disember 2009 sebenarnya diisi dengan tiga ahli yang cukup berpengalaman dalam lapangan seni tanah air. Bukan sembarangan, setiap daripada mereka pernah membarisi dua kumpulan popular sedikit masa lalu.

Jejaka-jejaka dengan impian tinggi melangit itu terdiri daripada Saiful Azlan Ahmad atau Alan dan Azinny Azuar Mohamad Anuar (Azuar). Sebelum ini mereka punya peranan masing-masing dalam perjalanan kumpulan Sweet Child manakala Saiful Nizam Mohamed Khalid (A. Saiful) pula bergelar bekas pengetuk drum bersama kumpulan Umbrella.

Kini mereka yang menumpahkan seluruh jiwa dan raga terhadap genre progresif rock baru, bersatu dengan tujuan sama memunculkan lebih ramai anak seni tempatan agar mampu mengurangkan atmosfera kemasukan pemuzik luar terutama dari negara seberang. Itulah yang sering dilaungkan oleh Mahawangsa kepada para peminat.

Selaku pengasas dan jurucakap kumpulan tersebut, Alan, 37, mengaku isu lambakan pemuzik Indonesia yang memenuhi ruang persada seni Malaysia sudah dianggap basi. Tetapi, pada waktu sama, ia tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa mengambil tindakan tertentu bagi menangani keadaan kurang enak itu.

“Banyak sebab sebenarnya mengapa kami mewujudkan Mahawangsa. Umum tahu kita kekurangan kumpulan yang mampu bersaing dengan orang lain. Cuba kita perhatikan, buat masa ini tidak ada mana-mana grup boleh mengalahkan pemuzik luar. Kami hendak merobah situasi ini agar tidak lagi berpanjangan.

“Selain itu, kalau kumpulan lain yang pernah mencipta populariti sebelum ini berlumba-lumba untuk melakukan kemunculan semula, kami pula lebih senang menggabungkan bekas anggota Sweet Child dan Umbrella dalam konsep berserta idea baru di pasaran. Ini lebih menarik pada pandangan peminat,” jelas pemetik gitar Mahawangsa itu.

Meskipun baru hendak bertatih, tiada yang lebih membahagiakan Mahawangsa apabila nama mereka mula menjadi sebutan umum menerusi single perdana, Epik 1 yang dilancarkan baru-baru ini. Paling menarik, karya 100 peratus mereka itu didedikasikan khusus kepada saudara sesama Islam yang mendepani penderitaan di bumi Palestin.

Menjadikan konsep muzik U2, Pearl Jam, Creed dan Collective Soul sebagai rujukan, Mahawangsa membikin single terlebih dahulu menggunakan bajet sendiri sebelum mengikat kontrak dengan Sonic Velocity milik Datuk Shafik Rizal.

Azuar berkongsi cerita tentang signifikan lagu Epik 1. Katanya: “Kalau hendak bercakap erti perjuangan, ia memang menyeluruh. Justeru, kami ingin memperlihatkan rasa simpati kepada seluruh rakyat Palestin. Hakikatnya, soal perjuangan ini tidak akan habis dibincangkan atau kita sendiri kurang pasti bila ia dapat diselesaikan.”

Melodi dan lirik lagu dalam single itu dihasilkan dalam tempoh seminggu.

Sebelum mengakhiri bicara, kumpulan yang berhasil menghimpunkan seramai 4,400 peminat dari seluruh negara dalam laman sosial Facebook milik mereka, Mahawangsa Band, menekankan ciri khas mereka. Kalau boleh, mereka mahu dilihat, diselam dan didengar berbeza berbanding grup muzik lain.

“Kami akui kami berdepan dengan persaingan para pemuzik terutama generasi baru yang semakin mendapat tempat di hati peminat di negara ini. Begitupun, paling nyata, Mahawangsa ada keistimewaan sendiri kerana kami merupakan kumpulan matang dalam berkarya serta memiliki pengalaman walaupun tidaklah sebanyak mana.

“Anggota Mahawangsa tidak menyanyi di atas pentas sambil melompat tidak tentu pasal. Kami sebaliknya membuat persembahan dengan gaya santai dan bersahaja,” luah A. Saiful pula sambil meminta masyarakat menerima kehadiran Mahawangsa dalam industri hiburan dengan lapang dada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: