Sunday, October 31, 2010

Crayon mirip karyaYasmin


PETIKAN beberapa adegan menarik dalam Crayon, sebuah filem kemasyarakatan yang berjiwa muda.


SENTUHAN pengarah baru, Dean A. Burhanuddin ini mirip karya Allahyarham Yasmin Ahmad. Tidak keterlaluan dikatakan industri perfileman tanah air sedikit suram selepas pemergian Yasmin. Penghasilan Crayon ternyata mampu mengubat kerinduan penonton yang merindui stail filem-filem sentuhan beliau.

Menggunakan bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin, ia dirasakan tidak dibikin dengan tujuan meraih populariti atau mengaut keuntungan cara begitu.

Jalan penceritaannya mudah, mesej ringkas tetapi berkesan serta mencuit emosi penonton sehinggakan ada babak yang mampu menakung air mata dan ada ketika yang lain, hilai tawa boleh pecah berderai.

Barisan pelakon juga bukan wajah asing dalam filem terdahulu Yasmin. Dean menjinakkan Hon Kahoe dan Adibah Noor bagi mengepalai Crayon.

Memusatkan hak anak yatim sebagai tema penceritaan, Crayon mengajak penonton mencermin tanggungjawab diri sebagai pembela nasib anak-anak malang itu.

Tanggungjawab sosial yang kian luput dalam nilai masyarakat saat ini mampu digilap kembali menerusi penyampaian bersahaja Crayon.

Kisah bermula apabila dua orang sahabat baik, Adam (Hon Kahoe) dan Rafaat lakonan Ariff Faisal Abdullah, pelajar di sebuah universiti di Singapura yang diarahkan menjalani tugas khidmat sosial sepanjang cuti semester.

Rafaat, pelajar berketurunan Melayu Singapura dengan berat hati bersetuju berkerjasama dengan Adam yang merupakan warga Malaysia berketurunan Cina untuk menjadikan sebuah rumah anak yatim di Pantai Timur Malaysia sebagai destinasi tugasan mereka.

Aksi lucu babak-babak awal ini menghidupkan cerita dan membuatkan penonton tidak henti-henti ketawa. Ketibaan mereka dipaparkan menerusi aksi berbalas tembakan menggunakan ‘pistol angin’ oleh dua anak muda ini bersama sekumpulan anak yatim yang diketuai oleh Afiq (Joshry Adamme).




Rumahku, tempat berteduh anak-anak yatim ini terletak di pedalaman kampung yang kaya dengan pemandangan indah pesisir pantai. Mak Engku (Adibah Noor) bertindak sebagai ibu kepada semua kanak-kanak ini.

Kedatangan Adam dan Rafaat amat dihargai anak-anak yatim berkenaan terutama Afiq, kanak-kanak yang aktif, periang serta tinggi budi pekertinya.

Keakraban terbit dengan sempurna umpama satu keluarga bahagia. Adam dan Rafaat jatuh cinta dengan gelagat anak-anak malang itu.

Kemelut timbul ketika Mak Engku diugut oleh pihak pemaju yang menginginkan tanah miliknya untuk dijadikan pusat pelancongan. Hutang tidak terlangsai dengan pihak bank kerana Rumahku tiada dana bagi menampung perbelanjaan anak-anak yatim itu sekali gus menambahkan lagi kekusutan Mak Engku mencari jalan penyelesaian.

Adam dan Rafaat menguatkan semangat anak-anak yatim tersebut untuk mempertahankan tempat mereka menumpang hidup. Dua anak muda ini berpakat dengan anak-anak yatim ini mengadakan konsert amal bertujuan mengumpul dana bagi melunaskan segala hutang dan menaik taraf infrastruktur rumah kebajikan yang uzur itu. Penganjuran konsert tersebut menarik minat masyarakat untuk sama-sama menghulurkan sumbangan melalui pembelian lukisan hasil usaha penghuni Rumahku sendiri.

Air mata berjujuran tatkala anak-anak ini melantunkan melodi Ibu Kau Ratu Hatiku sebagai satu kejutan kepada Mak Engku yang langsung tidak mengetahui perancangan Adam dan Rafaat itu.

Naratif menuju puncak apabila Rumahku dibakar oleh samseng yang diupah pihak pemaju sejurus konsert berlangsung. Kesudahannya bakal terjawab apabila penonton menyaksikannya sendiri filem yang diangkat berdasarkan kisah nyata ini pada 11 November nanti.

Komen Alif: Tidak rugi menonton filem ini kerana mesejnya kuat walaupun dilabel tidak komersial.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: