UWE Kliemt yang berusia 61 tahun beredar dari sebuah piano besar dan memulakan persembahan minuetnya.
"Lihat bagaimana kepantasan boleh menyembunyikan sifat sebenar sesuatu? Hanya apabila saya memperlahankannya, saya dapat benar-benar mendengarnya. Cuma dengan cara itu saya berjaya menghayatinya."
Resort Ski Wagrain, Austria, terletak di sebuah lembah yang dikelilingi oleh gunung-ganang. Hanya bunyi loceng sesekali memecah kesunyian malam yang disinari cahaya bulan.
Kliemt, seorang ahli muzik dari Hamburg, Jerman yang berjanggut putih dan bermata biru itu merupakan salah seorang daripada berdozen pemikir dan ahli perniagaan yang menghadiri mesyuarat tahunan Persatuan untuk Memperlahankan Masa yang diadakan di situ.
Katanya: "Kelajuan dalam muzik klasik merupakan satu dogma terhadap kualiti dan erti karya-karya asli."
Kerana itu juga dia enggan beralih kepada kelajuan yang luar biasa, yang ramai orang mengaitkannya sebagai 'kesucian dalam bermuzik'.
Ditubuhkan 20 tahun lalu di Universiti Klagenfurt, Austria, kumpulan pemikir itu kini mempunyai kira-kira 700 ahli di Eropah, Amerika Utara dan Selatan. Mereka terdiri daripada ahli akademik dan artis, usahawan, ahli terapi, peguam serta ahli politik.
Kesemua mereka percaya bahawa gaya hidup yang pantas memberi kesan kepada masa depan manusia, jadi mereka menganggap adalah penting manusia kembali kepada cara hidup yang asal.
"Setiap ahli berusaha memperlahankan kehidupan demi 'memikirkan semula hubungan kita dengan masa' dan 'mencari kembali kebahagiaan dan kehidupan yang penuh makna'," kata pengerusi persatuan itu, Erwin Heller, seorang peguam di Munich.
"Jika ditanya apa yang saya ingat tentang kehidupan yang saya lalui sejak dua tahun yang lalu, saya percaya kebanyakan orang hanya menjawab, 'tiada apa-apa'," kata pakar terapi seksual dan guru, Imre Marton Remenyi.
"Kita harus meluangkan sekurang-kurangnya dua jam untuk melakukan perkara yang benar-benar menyeronokkan diri kita, seks juga salah satunya," tambah Marton.
Sepanjang tiga hari di Wagrain, kira-kira 50 ahli persatuan kebanyakan mereka dari Jerman, Switzerland dan Austria, membawa idea dan cadangan untuk dibahaskan sambil diselang-seli dengan aktiviti senaman kesihatan, makanan sihat dan sauna.
Seni perlahankan masa
"Adakah gaya hidup masyarakat pada zaman moden ini berjaya menghentikan dunia daripada pelbagai krisis?
"Masalah kewangan global, alam sekitar ataupun krisis yang disebabkan oleh perangai dan sikap mereka sendiri?" tanya seorang ahli ekonomi dari Jerman, Dietrich Kropfberger.
Bagi ahli sosiologi Switzerland, Mark Riklin, seni ialah salah satu cara untuk memperlahankan masa dan memberi ruang untuk berfikir khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar utama.
"Orang berhenti dan senyum. Dengan memperlahankan kehidupan, kita menyedari perkara-perkara yang boleh membuatkan kehidupan sangat indah."
Bagi seorang pakar falsafah dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat, Frithjof Bergmann, 80, yang pernah menjadi penasihat General Motors dan tinggal berseorangan di sebuah rumah papan selama dua tahun, meyakini ia ialah satu bentuk kerja dan budaya baru.
Syarikat-syarikat kecil memberikan peluang untuk pekerja mengenal pasti apa yang mereka mahu dalam kehidupan.
Ahli perniagaan Martin Liebmann, 40-an dari Luebeck, Jerman memandu kereta Citroen Deesse ke Wagrain berkata: "Sebuah kereta untuk keseronokan, satu kepuasan."
Firma pemasarannya beroperasi dengan jaya, dia berpuas hati dengan tahap rangkaian perhubungan khususnya dalam memilih pelanggan dan dia juga mengakui dirinya diperlahankan secara rohani.
Bagi pakar linguistik Karl Auwaerter dan lain-lain, proses 'memperlahankan kehidupan' yang menjadi intipati pertemuan ahli-ahli persatuan itu telah mendekatkan diri mereka kepada kehidupan spiritual kerana 'tanpanya tiada apa yang boleh berlaku'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: