DI mana-mana sahaja kita berada, irama muzik pasti berkumandang sama ada di corong radio, telefon bimbit ataupun komputer peribadi.
Ia bagaikan sudah menjadi kemestian kepada orang ramai untuk mendengar atau menonton muzik kegemaran apabila mempunyai kelapangan.
Hari ini, lebih 13 juta pelanggan Maxis Berhad (Maxis) boleh menikmati muzik atau klip video dengan melanggan perkhidmatan muzik integrasi ONEmusic.
Naib Presiden dan Ketua Produk, Peranti dan Inovasi Maxis, T. Kugan berkata, sebagai permulaan ONEmusic menawarkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 lagu antarabangsa dan tempatan untuk para pelanggan Maxis.
“Pelanggan-pelanggan boleh memilih pelbagai genre muzik dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.
“Perkhidmatan OneMusic yang diperkenalkan kali ini sesuatu yang menarik kerana pelanggan Maxis boleh memuat turun seberapa banyak lagu dan muzik video pada harga langganan RM8 sebulan,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran perkhidmatan muzik integrasi ONEmusic di Ecobar, Menara Bata, Pusat Perdagangan PJ, Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean Pascal van Overbeke, Pengerusi One Stop Music Sdn. Bhd. (OSM), Ng Cheong Hock dan Pengarah Eksekutif OSM, Edwin Tan.
T. Kugan menambah, para pelanggan boleh mendengar lagu kegemaran mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Mereka bukan sahaja dapat mendengar lagu melalui telefon mudah alih tetapi juga komputer peribadi dan televisyen.
Dalam pada itu Jean-Pascal berkata, sehingga kini pengguna perkhidmatan data melalui telefon bimbit adalah seramai tujuh juta orang manakala Internet pula mencecah sejuta orang.
“Kami sentiasa menawarkan perkhidmatan yang berkaitan kehidupan. Ia bukan sekadar mengenai telefon bimbit dan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi semata-mata.
“Pada masa akan datang, kami merancang untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan berasaskan kehidupan untuk pengguna di Malaysia,” katanya.
Perkhidmatan ONEMusic boleh dilanggan dengan menghantar mesej pesanan ringkas On ONEMusic kepada 29000 atau dail *100# bagi menu mudah di telefon.
Pelanggan-pelanggan juga boleh melayari laman web www.musicunlimited.com.my atau www.maxis.com.my untuk keterangan lanjut mengenai perkhidmatan terbaru itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: