PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Amirah Ali,27, mengaku serasi melakukan persembahan dengan iringan saksofon Patrick Terbrack, pemain saksofon jaz dan komposer dari Amerika Syarikat (AS).
Baru-baru ini, Amirah atau nama sebenarnya Amirah Ameer Ali muncul bersama Patrick ketika membuat persembahan di Power Down Music Festival sempena kempen cintai alam yang dikenali sebagai Go Green Campaign.
Selain itu, pasangan itu juga pernah sama-sama membuat persembahan di kelab No Black Tie. Mengenali Patrick, Amirah selesa bekerja dengan pemuda berasal dari Lansing, Michigan A.S itu.
“Patrick merupakan seorang pemain saksofon dan komposer yang hebat dan dia telah membuat persembahan dengan ramai pemuzik hebat antarabangsa seperti Benny Golson, Curtis Fuller, Jimmy Heath dan Jimmy Cobb.
“Patrick juga terlibat dalam rakaman EP saya untuk lagu Malaysia dan Joget Lebaran bagi menampilkan unsur pop dan jaz,” kata Amirah kepada mStar Online.
Amirah terkenal sebagai penyanyi yang membawakan lagu-lagu menggabungkan irama etnik. Sekarang dia telah menghasilkan sebuah EP bertajuk Koleksi Lagu Aidilfitri Syawal Amirah Ali yang memuatkan lima buah lagu iaitu Syawal, Joget Lebaran, Dondang Raya, Katakanlah dan Malaysia.
Selain Patrick, Amirah turut bekerjasama dengan pemain selo, Mariamlisa Zainal Abidin dan pemain saksofon, Julian Chan dari New York.
Amirah pernah belajar di Northen Illinois, Amerika Syarikat dalam bidang gamelan, seni Asian dan teater. Selepas menyelesaikan pengajian sarjananya pada Mei 2009, anak sulung dari dua beradik itu mencuba nasib sebagai penggubah lagu selama setahun di negara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: