TIGA gadis manis, bergaun labuh dan bersolek lebih daripada biasa. Tiga anak muda berjiwa besar berstatus aktres dan membawa emosi itu sepanjang diri mereka dilihat umum.
Hakikatnya Diana Danielle, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani masih berada dalam fasa mekar. Mereka masih membawa emosi dan pergerakan anak muda di awal usia ranum. Tuntutan kerjaya dan status meletakkan mereka tampak lebih matang berbanding usia. Bukan hanya fizikal yang dihiasi solekan dan busana, malah pengalaman serta emosi mereka sudah diajar dengan variasi rasa sekali gus menempatkan aktres-aktres ini di sebuah fasa yang lebih tinggi berbanding usia yang dikandung. Sensasi Bintang menanyakan aktres popular Malaysia ini akan kedewasaan mereka yang disambut awal berbanding perjalanan jasad. Mereka tampil jelita dibalut busana rekaan Rizman Ruzaini dan digemerlapkan dengan perhiasaan tajaan Rafflesia.
Kalian dilihat matang sebelum usia kerana penglibatan dalam industri seni. Bergelumang dengan watak dan jadual penggambaran, apa yang paling kalian rindui atau ketinggalan sebagai remaja?
SHARIFAH AMANI (SA): Saya rindukan perjalanan remaja saya yang ditinggalkan terlalu awal. Tapi pada masa yang sama saya merasakan apa yang saya lalui bagus untuk diri sendiri. Saya tidak terdedah untuk 'kantoi' dengan perkara-perkara yang tidak baik. Saya banyak menghabiskan masa dengan keluarga, tengok wayang dengan keluarga.
DIANA DANIELLE (DD): Zaman persekolahan saya. Itu yang dirindui tetapi kini terubat pula dengan zaman universiti. Saya tidak mahu ketinggalan momen-momen ini dalam kehidupan saya.
LIYANA JASMAY (LJ): Saya rindu untuk pakai apa sahaja seperti remaja di luar sana. Maksudnya tanpa diperkatakan khalayak. Rindu juga untuk berlagak seperti remaja biasa yang boleh berpegangan tangan jika berpacaran. Realitinya, saya tidak boleh buat perkara-perkara begitu.
Jadi bagaimana kalian berseronok dalam usia begini?
SA: Bersama keluarga. Saya juga banyak menghabiskan masa dengan menjelajah negara- negara luar. Antara kenangan jelajah saya ialah bersama arwah Yasmin Ahmad, kami ke Jepun melihat kembangnya bunga sakura. Sangat cantik apabila ia jatuh ke tanah, seperti salji bunga.
DD: Saya boleh bertukar mengikut suasana. Saya juga sudah belajar untuk mengawal diri dan tatatertib. Saya berseronok mengikut suasana.
LJ: Masih dengan keluarga. Saya banyak menghabiskan masa bersama anak saudara saya yang kembar. Kadangkala menonton konsert kegemaran bersama rakan-rakan.
Sebenarnya selesa atau tidak bergaun labuh dan bersolek tebal? Kalau di luar tugas 'pelakon', kalian bagaimana?
SA: Jujurnya bila berpakaian begini, saya tidak begitu selesa. Saya tidak pandai bergaya begitu dan kekok. Pakaian harian saya hanya berseluar denim dan berbaju-T. Tetapi bila lagi mahu rasa selain ada acara-acara sebegini. Saya selalu meletakkan satu-satu watak jika saya bergaun labuh dan bersolek. Hari ini saya meletakkan watak, Amani seorang gadis moden.
DD: Bila bergaun begini, saya rasa sangat matang seperti usia 20-an. Di luar saya ialah seorang yang selekeh. Saya akan memakai seluar ¾ saya dan baju-T potongan besar. Saya memang tidak bersolek atau beraga. Cuma mengenakan balsam bibir, itu sahaja sampai orang tidak mengenali saya di luar kalau saya tidak bersolek.
LJ: Saya bukanlah jenis orang yang memakai perhiasan atau aksesori yang berlebihan. Itu hanya untuk acara-acara tertentu. Saya lebih selesa berseluar jean atau legging. Memakai jaket. Itu saya. Kalau solekan, saya hanya mengenakan penggaris mata, maskara dan balsam bibir.
Bagaimana orang sekeliling bergaul dengan kalian dan sebaliknya?
SA: Ramai yang menganggap saya seorang yang sombong tetapi sebenarnya saya jenis yang susah bercampur. Saya tidak 'sekecoh' kakak saya, Sharifah Aleya yang pandai bercakap dan bergaul dengan ramai orang. Saya tidak pandai bab-bab itu. Tapi apabila saya sudah rapat dengan seseorang, saya akan jadi diri saya sendiri. Saya dibesarkan dengan kawan-kawan ayah dan ibu. Itu cara kami daripada kecil. Jadi kebanyakan pertanyaan atau isu akan kami tangani cara orang dewasa. Begitu juga cara mereka melayan kami adik-beradik, cara dewasa.
DD: Saya boleh berbual apa sahaja topik dengan golongan berusia atau tua. Sejak memasuki industri seni, saya belajar bagaimana untuk bergaul dan belajar mengawal emosi kebudak-budakan. Orang nampak saya seperti orang berusia, jadi apabila saya melompat-lompat, khalayak akan cop saya gedik. Padahal saya masih remaja. Jadi segalanya terhad tetapi juga merupakan proses pembelajaran buat saya.
LJ: Saya sekarang belajar untuk menjalani hidup sebagai gadis berusia 22 tahun. Tetapi daripada aspek pemikiran, saya sudah semakin ke hadapan. Saya sudah berfikiran matang dan sudah pandai membuat keputusan sendiri. Ada orang yang tidak menyangka usia saya sudah 22 tahun, dan ada yang melayan saya dengan cara keanak-anakan. Apa yang penting, keluarga melayan saya sebagai orang dewasa dan matang. Ayah selalu mengingatkan bagaimana kehidupan saya jika dia tiada satu hari nanti.
Pada usia sekarang, berapa usia fizikal dan jiwa yang diletakkan kepada diri sendiri?
SA: Secara fizikal saya rasakan diri saya baru berumur 17 tahun tetapi jiwa saya sudah berusia 36 tahun.
DD: Masih lagi 19 tahun. Cuma daripada kecil lagi saya sudah dilihat matang. Itu apa yang orang cakap. Tetapi bila bersama kawan-kawan saya yang Pan Asia, saya rasa kami di umur yang sepatutnya, masih belasan tahun.
LJ: Saya rasa matang tetapi tidak terlebih usia. Masih di usia 22 tahun. Tidak rasa muda atau tua.
Apakah faktor yang paling mematangkan kehidupan kalian?
SA: Pengalaman, bagaimana saya berdepan dengan banyak perkara dalam hidup. Saya pernah melalui zaman 'muda' di mana saya akan kuat melenting tetapi zaman itu sudah berlalu. Malah saya dapat rasakan melenting itu tidak membawa apa-apa faedah jika terus-terusan begitu.
DD: Pengalaman banyak mengajar saya. Juga kerja sebagai pelakon dengan bergaul dengan pelbagai watak. Itu membuahkan kematangan dalam diri saya. Juga cara saya dibesarkan.
LJ: Aspek membuat keputusan dalam hidup kini mematangkan saya. Saya sudah boleh tentukan apa yang saya
mahu dan tidak. Saya juga sudah tahu bagaimana untuk mengendalikan kewangan dan buat keputusan dalam hal itu. Itu mematangkan saya.
Jadi untuk Amani, berapa peratus perubahan sebenarnya?
SA: Boleh saya katakan 78 peratus berubah. Saya berubah mengikut pengalaman hidup saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: