Friday, October 29, 2010

Kurier dadah guna kereta curi


SEORANG pegawai polis memeriksa sebuah kereta Audi yang dirampas daripada seorang lelaki di Petaling Jaya semalam.


KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki memandu sebuah kereta curi jenis Audi untuk mengedar 25 ketulan mampat ganja memakan diri apabila dia ditahan dalam satu serbuan di kawasan Mentari Court Petaling Jaya dekat sini kelmarin.

Serbuan pukul 5 petang itu dilakukan oleh sepasukan polis daripada bahagian risikan jenayah curi kenderaan (D4C) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kereta mewah model A4 bernilai RM234,000 itu dilaporkan dicuri di ruang pameran sebuah syarikat kereta di Bukit Jelutong, Shah Alam Ogos lalu.

Jurucakap polis memberitahu, sebaik diserbu, pihaknya dapat menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang memandu kereta itu.

"Sebaik membuat pemeriksaan kita terkejut apabila menemui sebanyak 25 ketulan mampat ganja seberat 25 kilogram bernilai RM45,000 yang disembunyikan di dalam dua buah beg plastik hitam di dalam but kereta tersebut.

"Soal siasat mendapati kereta tersebut telah dicuri di Shah Alam dua bulan lalu dan kita percaya suspek bertindak sebagai kurier yang ditugaskan oleh pihak tertentu untuk menghantar bahan khayal itu ke lokasi yang ditetapkan," katanya kepada Kosmo! semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: