Wednesday, October 27, 2010
Tiada persamaan dengan Twilight
Puntianak sering dikaitkan dengan perempuan berambut panjang, berpakaian serba putih disertai dengan suara mengilai. Tidak hanya itu, puntianak diibaratkan sebagai sesuatu yang perlu dijauhi.
Drama atau filem tidak kira tempatan atau luar negara, yang menggunakan karakter puntianak ini sering kali memberi pengalaman ‘tak tidur malam’ kerana ada sahaja kejutan daripada setiap adegan yang dipertontonkan.
Namun, bagi pengarah muda Nizam Zakaria, mewarnai watak puntianak adalah suatu kelainan yang perlu diketengahkan agar audiens tidak terus disogok dengan perasan takut seterusnya tidak mahu menonton lagi.
Tahun lalu, Nizam tampil dengan telefilem Ponti Anak Remaja (PAR), yang mana watak puntianak tidak lagi seram, malah memberi hiburan kepada penontonnya. Ternyata, usahanya itu membuahkan hasil apabila mendapat jumlah penonton tertinggi di saluran Astro Ria.
Setelah setahun, Nizam kembali lagi dengan tajuk yang sama cuma dengan format yang sedikit berbeza. Mengikuti arus perkembangan semasa yang mana penonton lebih suka drama siri yang singkat, PAR diangkat sebagai drama mini dengan hanya menampilkan empat episod.
Pada sesi pelancaran drama mini ini, rata-rata menganggap ada persamaan antara drama mini ini dengan filem pecah panggung Twilight, yang dihasilkan sekitar 2006. Menemu bual anak kelahiran Singapura ini, Nizam menyatakan tiada persamaan di antara dua naskhah yang sama ini. Ikuti temu bual bersama Nizam Zakaria.
Bagaimana datangnya idea untuk menghasilkan PAR?
Sejak kecil saya sudah didedahkan dengan filem dalam genre seram. Novel pertama saya juga merupakan novel seram iaitu Awang Vampiro sekitar 2005, di mana saya wujudkan watak puntianak. Saya sangat suka watak itu dan mahukan ia diperkembangkan lagi. Setelah empat tahun barulah saya berani untuk ‘keluarkan’ puntianak di dalam novel itu kepada skrin. Cuma saya kemaskan dengan idea dan unsur lain.
Apakah kelainan drama siri mini PAR ini?
Berbeza sedikit dengan telefilem, kali ini saya banyak menggunakan teknik janaan imej berkomputer (CGI). Saya mahu hasilnya seperti sebuah filem. Saya memikirkan kualiti sesebuah karya dan akhirnya saya berpuas hati dengan hasil kerja ini.
Menonton promo yang sudah ditayangkan, ada beranggapan Nizam seakan meniru filem antarabangsa Twilight, bukan sahaja jalan ceritanya sama, malah pada permulaannya juga hampir sama.
Saya tidak menafikan ada sedikit persamaan dengan filem Twilight. Seperti karya saya sebelum ini Hotel Mania, yang mana ramai mengatakan ia sama seperti The High School Musical dan Glee, tetapi setelah menontonnya barulah tahu sangat berbeza dengan apa yang dinyatakan. PAR tidak sama dengan filem-filem puntianak Barat mahupun Indonesia. Karya saya sangat berbeza.
Cabaran menghasilkan PAR?
Saya tidak menghadapi kesukaran untuk PAR kerana semua pelakon dan krew memberikan kerjasama yang sangat baik. Walaupun ada antara mereka merupakan pelakon baru, tetapi komitmen yang diberikan membuatkan saya lebih mudah bekerja bersama mereka.
Apa perancangan Nizam selepas ini?
Saya ingin sekali menjadi seperti mentor saya iaitu pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohameddin. Buat masa ini saya bermula dengan cerita remaja dan akan menghasilkan karya yang lebih serius.
Selepas PAR, saya akan menghasilkan skrip untuk sebuah teater muzikal yang bakal dipentaskan di Istana Budaya dan filem pertama saya akan menyusul pada awal tahun hadapan.
Dibintangi oleh pelakon popular seperti Liyana jasmay, Nazim Othman, Tam Shuhaimi dan Azlee Khairi, siri ini disiarkan di Astro Ria bermula 25 Oktober.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: