Sunday, October 31, 2010

Lima syarat Aaron




BERTUBUH kekar dan memiliki aura tersendiri dalam lakonan, jejaka berusia 33 tahun ini tidak lagi menoleh ke belakang malah dia semakin ligat memahat namanya dalam industri perfileman tanah air.

Aaron Aziz kekal utuh di persada seni sejak memulakan kerjaya seninya di Malaysia menerusi drama bersiri Summaiyah arahan Erma Fatima.

Namanya kini melonjak naik menerusi filem-filem lakonannya yang acap kali mendapat sambutan luar biasa penggemar filem tempatan.

Bakat besar aktor kacak kelahiran Singapura ini dibuktikan melalui filem Pisau Cukur, Evolusi KL Drift, dan Bohsia yang sering memaparkannya sebagai salah seorang tunggak cerita.

Pucuk dicita ulam mendatang, pelakon drama Emil Emilda ini semakin ‘laku’ di pasaran perfileman kerana bakal muncul dengan filem terbaru berjudul KL Gangster dan Ombak Rindu tahun hadapan. Nama Aaron juga bakal menjadi ‘panas’ apabila filem 2 Alam lakonannya akan ditayangkan pertengahan November ini.

Ayah kepada dua cahaya mata ini meletakkan lima syarat sebelum bersetuju melakonkan sesuatu watak.

“Saya tidak cerewet tetapi jika watak yang ditawarkan itu memenuhi lima kriteria ini, saya tiada masalah untuk menerimanya,” ujarnya yang pernah tersenarai dalam Cleo’s 50 Eligible Bachelor oleh majalah Cleo Singapura.

Penentu syaratnya mudah, jika watak tersebut menarik perhatiannya, dia akan meneliti jalan ceritanya dan kemudian melihat sendiri pengarahnya.

Tidak kisah bekerjasama dengan pengarah baru, Aaron menegaskan baru atau lama bukan ukuran kejayaan, tetapi apa yang menjadi titik kepercayaannya ialah prestasi pengarah tersebut dalam menjalankan tugas dengan dedikasi dan bertanggungjawab terhadap keseluruhan produksi.

Melengkapi lima syaratnya, jurucakap L’oreal Men Expert ini akan melihat senarai nama pelakon yang bakal bekerja bersamanya.

“Bukan bermakna saya hanya memilih segelintir pelakon, tapi saya perlu meneliti keserasian watak yang saya bawa dan pelakon lain.

“Keserasian penting untuk menghidupkan cerita,” jelasnya.

Terbaru, menerusi drama bersiri Habil Qabil, Aaron menjanjikan persembahan mantap yang berjaya menarik penonton untuk terus mengikuti kisah kehidupannya sebagai Habil Najmi.

Dalam naskhah tesebut, keinginan untuk menjadi seorang usahawan terkemuka memaksa Habil berdepan pasang surut dunia perniagaan yang tiada belas kasihan hingga akhirnya dia berjaya mengecap impian yang dihajatinya.

Jerit perihnya digugat dengan dugaan besar daripada teman lamanya, Qabil (lakonan Zed Zaidi) yang juga merupakan saingan syarikatnya. Persahabatan mereka turut teruji apabila masing-masing jatuh cinta pada wanita yang sama, Maria (lakonan Siti Saleha).

Saksikan kehebatan lakonan Aaron menerusi slot Samarinda yang bersiaran setiap Selasa hingga Khamis pada pukul 10.30 malam di saluran TV3 bagi mengikuti kisah selanjutnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: