JAKARTA – Angka kematian akibat tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dekat Pulau Sumatera meningkat kepada 282 orang manakala 411 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.
Tsunami itu berlaku akibat gempa bumi bawah laut yang kuat pada Isnin lalu di Kepulauan Mentawai dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter.
Pihak berkuasa menyatakan beberapa bekalan seperti makanan, selimut dan khemah telah dihantar ke kawasan bencana.
Bagaimanapun, air minuman bersih masih sukar untuk diperoleh dan risiko untuk mendapat penyakit kian tinggi.
Beberapa buah helikopter yang menghantar bekalan kecemasan mendarat di Kepulauan Mentawai semalam.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan lawatan ke Vietnam ekoran bencana tsunami dan Gunung Merapi di Pulau Jawa.
Tinjauan udara yang dibuat di Kepulauan Mentawai yang dilanda tsunami setinggi tiga meter menunjukkan beberapa kawasanditenggelami air.
Dalam tinjauan itu, sejumlah rumah musnah akibat ombak tsunami.
Sebuah rumah kelihatan senget selepas kejadian ombak tsunami itu berlaku.
Kepulauan Mentawai terletak berdekatan dengan pusat gempa bumi itu.
Menurut seorang pegawai bencana, Ade Edward, sebuah pesawat kargo pertama yang membawa 16 tan khemah, bekalan perubatan dan pakaian tiba pada tengah hari semalam.
Empat buah helikopter mendarat di Sikakap, sebuah bandar di Pulau Pagai Utara di Kepulauan Mentawai.
Ade berharap, operasi menyelamat dan mencari akan ditingkatkan.
“Kami mempunyai peluang kini untuk mencari mangsa yang hilang dengan menggunakan pesawat dan meninjau skala kemusnahan,” katanya.
Seorang mangsa yang terselamat, Borinte, 32, petani dari Kampung Detumonga di pantai Pagai Utara, berkata, dia terselamat selepas berpaut pada sebatang kayu.
Namun, isteri dan tiga anaknya meninggal dunia.
“Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi itu, kami mendengar bunyi yang kuat, bunyi seperti guruh. Kami keluar dari rumah dan melihat ombak datang. Kami cuba berlari ke tempat lebih tinggi tetapi ombak itu lebih pantas daripada kami,” katanya.
Beberapa pelancong Australia turut terperangkap dalam bencana itu.
Sebuah bot pelancong dibadai dengan satu tembok air dan mangsa-mangsa yang menaikinya dibawa arus ke dalam hutan tetapi mereka selamat.
Satu lagi kumpulan sembilan peluncur ombak ditemui hidup selepas dilaporkan hilang.
Menurut beberapa pegawai, tsunami itu melanda sejauh 600 meter ke daratan di Pulau Pagai Selatan di Kepulauan Mentawai.
Di Pulau Pagai Utara, sebuah resort dan hampir 200 buah rumah musnah akibat tsunami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: