Thursday, October 28, 2010

Siaran MyTV3 Selama 30 Minit Mulai 7 November

Aidid Marcello semasa sesi penggambaran MyTV3.

PETALING JAYA: Kapsul MyTV3 yang bersiaran selama 2 minit di TV3 bakal berwajah baru dengan kelahiran program 30 minit yang akan mula ditayangkan pada 7 November ini, setiap hari Ahad pukul 6.00 petang.

Dihoskan oleh personaliti televisyen yang tidak asing lagi, Aidid Marcello, MyTV3 memberi peluang kepada ahli-ahlinya untuk mengikuti perkembangan terkini MyTV3 menerusi empat segmen eksklusif iaitu MyDREAMS, MyMEMBERS, MyDAY dan MyZONE.

Menerusi program 30 minit tersebut, MyDREAMS merealisasikan impian ahli MyTV3 yang terbuku di dalam hati mereka seperti mahu melancong ke luar negara, ingin memandu kereta mewah, beramah mesra dengan pujaan artis dan sebagainya.

Dalam segmen MyMEMBERS, ia memaparkan keunikan kisah hidup ahli MyTV3 untuk dijadikan sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia supaya berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing.

Seterusnya dalam MyDAY, krew MyTV3 akan menerjah ahli-ahli MyTV3 tanpa dijangka dan memberi kejutan yang seperti meraikan hari jadi dan menjalankan aktiviti-aktiviti spontan bersama MyTV3 Roverz.

Manakala dalam MyZONE pula, ia memaparkan pelbagai informasi dan paparan buletin tentang ahli-ahli MyTV3 yang terlibat dalam acara-acara yang dianjurkan oleh TV3 seperti Karnival Jom Heboh, MyTV3 Campus, School Attack, Kids Parade, Anugerah Juara Lagu dan sebagainya.

Krew MyTV3.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, penubuhan keahlian MyTV3 bertujuan memberi pendekatan kepada ahli-ahli untuk menjadi sebahagian daripada warga TV3.

“Mereka bukan sahaja dapat jemputan eksklusif di acara berprestij stesen seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin dan juga acara padang seperti Jom Heboh, School Attack, Kembara TV3, Seminar Untukmu Wanita dan lain-lain.

"Malah mereka juga diberikan keutamaan untuk diterima sebagai pelatih stesen TV3 dalam menimba ilmu di bidang penyiaran. Kami berasa ia suatu pemberian yang amat bermakna kepada para penonton setia kami khususnya ahli-ahli MyTV3.

“Kami amat berbesar hati kerana MyTV3 masih menerima pendaftaran ahli baru di gerai MyTV3 semasa Karnival Jom Heboh, aktiviti bersama kolej dan universiti serta pendaftaran SMS. Dengan pembaharuan yang dilakukan pada program MyTV3 dan dipanjangkan masa siarannya kepada 30 minit, kami berharap dapat memberi manfaat maksimum kepada ahli-ahli My TV3 di seluruh Malaysia,” kata beliau.

Pelancaran wajah baru MyTV3 akan diadakan di gerai MyTV3 bersempena dengan Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 7 November ini.

Ahli-ahli MyTV3 dialu-alukan untuk meraikannya bersama krew MyTV3, MyTV3 Roverz dan juga artis-artis jemputan seperti Intan Ladyana, Erry Putra, Comel Hotel Mania dan Munir.

Selain itu, MyTV3 juga mewujudkan interaksi dua hala dengan ahli-ahli MyTV3 menerusi laman web MyTV3, laman sosial Facebook dan Twitter untuk berkongsi informasi-informasi terkini serta menerima sebarang maklum balas dan cadangan daripada mereka. Malahan, mereka juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan menjawab soalan mingguan.

Sejak memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jom Heboh) pada tahun 2004, sesi pendaftaran dan pengambilan ahli-ahli baru MyTV3 rancak dijalankan selama tujuh tahun. Sehingga kini, MyTV3 masih berdiri kukuh dengan jumlah keahlian hampir 1 juta orang. Setiap ahli ditawarkan keahlian seumur hidup dengan bayaran RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Sebarang maklum balas, sila hubungi talian MyTV3 03-77242485, melalui Facebook www.facebook.com/mytv3 dan emel kepada mytv3@tv3.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: