POLITIK penjurian dan lobi-melobi dalam mencapai sebuah keputusan rasmi telah tertulis, itu antara igauan yang masih menjadi kekesalan penganalisis, karyawan serta peminat tegar filem tanah air tatkala mengenangkan percaturan Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) pada Ahad lalu. Festival yang dinanti-nantikan itu ibaratnya hilang sinar berganti sirna! Ada berdesis, ia barangkali juga antara jenaka terhebat sebelum 2010 menutup tirai.
Festival tahun ini disifatkan festival paling janggal dalam sejarah FFM yang dimulakan sejak 1980. Ia tidak membuahkan banyak harapan dan lebih teruk lagi perca-perca idealistik sedang ingin bercantum membentuk rangkaian revolusi filem Malaysia yang berjiwa besar, ada yang terputus dan hancur berkecai.
Tidak terlalu kejam apabila kedaifan yang diperkatakan ramai, luahan-luahan hati pencinta filem bahkan akbar harian terhadap kemarau FFM23 mungkin berpunca daripada politik dan terlepas pandangan di pihak juri.
Ke mana perginya serangkap kata hikmat yang sering menjadi modal cendekiawan berbahas, 'lihatlah dari mata burung bukan lihat dari mata tempurung'. Hakikatnya, filem-filem terbaik yang ditayangkan khas untuk bahan penjurian baru-baru ini kelihatan tidak mampu diperhalusi sang cerdik pandai hakim mahkamah tahunan industri filem Malaysia.
|
|
Jika ada yang mempersoalkan ketelusan kehakiman, sepertinya juga sistem penjurian festival filem negara ini sedang dipulau oleh kebanyakan penganalisis, pembikin dan peminat filem itu sendiri.
Jika tidak, masakan ramai lagi pembikin serta bintang besar tanah air tidak ingin menjenguk ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Alasan di lokasi penggambaran atau ke acara lain hanyalah sekadar ayat untuk berdalih.
Kepada penerima trofi, pastinya FFM23 mencetuskan momen paling bahagia. Tahniah untuk trio adik-beradik kumpulan KRU, Edry, Norman dan Yusry Abd. Halim yang menang besar termasuk menggondol anugerah Filem Terbaik hasil 'magis' yang tercipta menerusi filem muzikal Magika.
Seikhlas puji dan setinggi tahniah juga juga kepada penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Bront Palarae hasil impak yang ditinggalkannya menerusi Belukar. Pelakon tinggi lampai yang dikira sempurna pakejnya itu berada di kedudukan yang tepat pada malam FFM23. Begitu juga dengan Lisa Surihani yang menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan. Secara pukul rata, Lisa boleh dikatakan cukup bertuah. Walaupun muncul hanya untuk sebahagian daripada keseluruhan cerita dan sebahagian lagi hanyalah lakonan suara, dia masih diberi penghargaan untuk aktres terbaik tahun ini.
Kepada barisan pemenang, terasa beban, penat-lelah serta idea-idea yang dicanai selama pembikinan terubat dengan sebuah anugerah. Pemenang harus meraikan kemenangan kerana bukan mereka yang memutuskan hak itu. Namun, perlu dinyatakan di sini, tidak semua anugerah FFM23 jatuh ke tangan pemilik yang layak.
Paling ketara, trofi Pengarah Terbaik yang memihak kepada Syamsul Yusof hasil sentuhanya menerusi Evolusi KL Drift 2.
Filem sekuel daripada Evolusi KL Drift itu hanya memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan berkesan Shaheizy Sam manakala Penyunting Terbaik terpaksa dikongsi bersama Syamsul sendiri dan Hisyam Jupri. Itu sahaja markah yang mengangkat Syamsul untuk dijulang sebagai Pengarah Terbaik serta termuda sepanjang dua dekad penganjuran FFM di Malaysia.
Syamsul menewaskan empat lagi calon kategori berkenaan, Ahmad Idham menerusi Adnan Sempit, Jason Chong (Belukar), Farid Kamil (V3: Samseng Jalanan) dan Mamat Khalid (Estet).
Bukan tidak layak seratus-peratus tetapi melihatkan pencapaian Evolusi KL Drift 2 (bukan daripada aspek jualan tiket, aksi perlumbaan dan membakar kereta) dari segi naratif serta kekuatan jalan ceritanya, filem itu belum layak sepenuhnya untuk menonjolkan Syamsul sebagai pengarah terbaik. Mungkin jika itu filem pertamanya, dia terlebih layak menerima anugerah Pengarah Harapan, malangnya tidak.
Itu semua berbalik kepada pencapaian filem berkenaan sendiri, dua anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Penyunting Terbaik bukan asas yang cukup teguh untuk jejaka yang baru setahun jagung dalam industri itu mencatat nama di barisan ulung pengarah terbaik sinema Malaysia.
Tidak selesai dengan kategori pengarah terbaik, persoalan kegagalan Estet karya Mamat Khalid dan ketiadaan pencalonan Mualaf sebuah filem terakhir sentuhan sutradara hebat, Yasmin Ahmad yang telah meninggalkan urusan duniawi juga tidak selesai menjadi perbahasan.
Memetik kata-kata Mamat Khalid dalam satu temu bual selepas FFM23 Ahad lalu, dia meluahkan kekesalan atas kegagalannya membuahkan kegembiraan khalayak yang menaruh harapan terhadap Estet.
|
|
"Selama ini kita sering dilaung-laungkan untuk menghasilkan filem berkonsepkan kemalaysiaan. Tapi apabila saya buat filem seperti Estet, ia seolah-olah tidak memberi sebarang impak. Terus terang, bukan mudah untuk menghasilkan filem yang menyatukan dua bahasa dalam sebuah filem.
" Apa salah filem saya sehingga ia diketepikan begitu saja? Saya akui, memang saya berjauh hati apabila Estet hanya layak untuk Anugerah Khas Juri. Pada saya Anugerah Khas Juri itu hanyalah pemberian berikutan dasar kasihan semata-mata. Kalau betul filem saya tak layak, tak perlu nak beri anugerah atas dasar kasihan. Saya tak memerlukannya," kata Mamat.
Luahan Mamat pasti dilihat cengeng oleh jawatankuasa anugerah serta barisan juri FFM tahun ini yang terdiri daripada Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin selaku Ketua Juri, seterusnya Panshah (bekas penerbit filem), Dr. Naim Ahmad (ahli akademik), Kamaruddin Abu (penyunting filem) dan Akmal Abdullah (wakil media).
Melihat senarai juri sahaja, pasti ramai yang tidak terkata apa-apa. Ada persoalan atas persoalan yang tidak terungkai dan ada juga pelbagai andaian yang bermain di benak. Bukan juri sedia ada tidak layak tetapi mengapa tidak diambil kira buah fikiran orang-orang filem tulen seperti Adman Salleh, Othman Hafsham atau Hassan Abd. Mutalib. Tidak layakkah mereka di kerusi juri. Atau kebimbangan untuk
cenderung kepada mana-mana kroni menyebabkan handalan-handalan filem seperti itu tidak diketengahkan ke medan penjurian?Itu semua antara yang menjadi perbualan yang terluah secara lantang hanya di kedai kopi, habis secangkir, bicara pun menerawang ke udara, tidak dipedulikan sesiapa. Bilakah agaknya urat tegang yang bersirat di pangkal FFM akan terurai.
Pandangan sinis terhadap FFM tidak terbatas kepada percaturan penganugerahan sahaja. Pemilihan SACC bukan suatu masalah tetapi kecacatan susun-atur antara dewan anugerah dan ruang legar yang sempit menyukarkan urusan media bersama artis dan tetamu jemputan. Ibarat bazar Ramadan, segala-galanya disumbat dalam satu ruang yang sendat.
Begitu juga dengan kehadiran Hezrie Hashim yang kelihatan seperti 'pak sanggup' apabila digandingkan bersama Sharifah Shahira dan Zizan sebagai pengacara. Sedikit pesanan kepada penganjur, tolonglah pelajari kesilapan itu. Seiring tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, seiringkan juga konsep dan persembahan majlisnya agar acara besar itu tak hilang prestij.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: